Selasa, Mac 22, 2011

Sekitar KOMSIS 2011


Bersatu Menerajui Profesion Kesihatan” adalah tema Konvensyen Mahasiswa Sains Kesihatan yang pertama kali diadakan. Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (PMFSKB) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Persatuan Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (PMUSM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan “Konvensyen Mahasiswa Sains Kesihatan Se-Malaysia”, dengan harapan dapat menjadi medan perkongsian ilmu pengetahuan sesama mahasiswa sains kesihatan seluruh Malaysia. Penganjur berharap mahasiswa/i dapat bekerjasama sebagai satu entiti kebangsaan dan seterusnya menjadi medium untuk meningkatkan kualiti semua mahasiswa sains kesihatan, dan memacu mereka ke peringkat yang lebih tinggi dalam rangkaian global.


Seramai 258 mahasiswa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Program yang berlangsung selama dua hari, 19 mac hinggga 20 mac 2011 ini bertempat di Kompleks Tun Abdullah Mohd Salleh, UKM Bangi.


Majlis pembukaan dimulakan dengan ceramah bertajuk “Pemanasan Global dan Kesannya kepada Kesihatan: Apa yang Perlu Kita Tahu” yang disampaikan oleh Prof Madya Dr. Hidayatulfathi bt Othman, Ketua Jaringan Perhubungan Antarabangsa, FSKB. Slot ini menerapkan kesedaran mahasiswa sains kesihatan untuk sentiasa cakna akan isu-isu kesihatan semasa di peringkat nasional dan global.



Seterusnya, forum “Ke Mana Hala Tuju Kita” kendalian UIAM membincangkan prospek mahasiswa sains kesihatan secara holistik. Perbincangan ilmiah ini menghuraikan perkhidmatan dan sumbangan yang boleh diberikan kepada rakyat dan negara. Profesion sains kesihatan bukan satu yang baru di Malaysia, walhal ia sentiasa berkembang seiring dengan kepesatan pembangunan teknologi. Program diteruskan dengan slot “Interaksi Mahasiswa di bawah kelolaan USM. Slot ini adalah slot suai kenal untuk mengukuhkan hubungan persahabatan antara mahasiswa sains kesihatan Se-Malaysia. Permainan ringan dan aktiviti ringkas memenuhi slot ini. Aktiviti yang paling menarik ialah mewarna dua helai kain rentang sepanjang 100 meter, dengan tulisan KONVENSYEN MAHASISWA SAINS KESIHATAN SE-MALAYSIA, dan juga slogan “BERSATU MENERAJUI PROFESION KESIHATAN”. Semua mahasiswa/i telah terlibat dalam menjayakan aktiviti ini.




Pada sebelah malam pula, forum bertajuk “Uniknya Mahasiswa Sains Kesihatan“ yang lebih kepada pembentangan dari setiap universiti jemputan dalam menerangkan keistimewaan sebagai mahasiswa sains kesihatan di dalam universiti masing-masing. Tujuannya untuk menguatkan kesefahaman dalam penyatuan menaikkan semangat peserta sebagai mahasiswa sains kesihatan yang unik.

Keesokan hari, slot motivasi “Nilai Sebuah Budi” oleh En. Amin Idris bertujuan meningkatkan kekuatan rohani dan jasmani dalam diri mahasiswa untuk sentiasa proaktif dan cemerlang dalam semua aspek khususnya akademik. Seterusnya, forum Sains Kesihatan, bertajuk “Sains Kesihatan dan Perubatan: Adakah Kita Seiring?”. Moderator ialah PM Dr Kaswandi Mat Ambia, Pensyarah Jabatan Bioperubatan UKM. Panelis ialah Puan Tan Yoke Hwa yang merupakan Pengarah Bahagian kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Prof. Madya Dr Siti Balkis Budin, Doktor perubatan dan Pensyarah,UKM. Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Puan Tan Yoke Hwa.