Jumaat, Mac 18, 2011

Mahasiswa Sumbang Tabung Bantuan


Setelah pelancaran Tabung Bantuan Mangsa Gempa Bumi-Tsunami di Jepun pada 14 Mac lalu, mahasiswa terus menyumbang sebagai tanda prihatin.

Saya dan MPM lain menyokong usaha universiti dalam misi bantuan ini dengan mengutip derma di peringkat mahasiswa.



Bencana gempa bumi yang menimpa Jepun pada 12 Mac dengan 8.9 skala Ritcher (main event) kemudian disusuli 150 gempa susulan tidak kurang dari 5 skala Ritcher. Gempa yang kuat itu mengakibatkan Tsunami setinggi lebih 10 meter meranapkan bangunan, ladang, dan harta benda yang berada di laluannya. Lebih parah lagi apabila bencana yang menimpa Jepun ini membawa kepada insiden kemalangan di reaktor nuklear Fukushima Daiichi.

Ulasan mengenai insiden nuklear ini telah diberikan oleh speaker PMUKM iaitu Saudara Arif Misrol. Katanya, letupan yang berlaku bukanlah letupan daripada tindak balas nuklear, tetapi berpunca daripada tindak balas kimia gas hidrogen dengan oksigen dan kesan kemalangan tidak merebak ke Malaysia. Beliau yang mengambil Sarjana Keselamatan Sinaran dan Nuklear menasihatkan supaya pengamal media tidak harus menggunakan peristiwa itu sebagai bahan sensasi yang menimbulkan suasana yang tidak selesa di negara ini.

Oleh itu, takziah buat masyarakat Jepun dan wajarlah kita mengambil iktibar dan memandang bencana ini bukanlah semata-mata sebagai peristiwa semulajadi, tetapi pandanglah bencana ini sebagai satu peringatan daripada Allah SWT supaya kembali kepadaNya. Allah berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 41:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”

Kutipan sumbangan adalah sehingga hari esok, Jumaat 18 Mac. Sudahkah anda menderma?