Ahad, November 27, 2011

BERNAMA : Teksi Wanita mula beroperasi di Lembah Klang hari ini

KUALA LUMPUR: Kegelisahan penumpang teksi wanita berhubung keselamatan mereka kini berakhir dengan pelancaran projek 'Teksi Wanita'.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Heng Seai Kei berkata fasa perintis projek itu, dengan kerjasama ABEX Manufacturing Sdn Bhd, akan menyasarkan 400 teksi beroperasi secara 'on-call' di sekitar Lembah Klang secara berperingkat.

"Setakat ini, kami telah ada 50 pemandu teksi wanita dan kita menggalakkan mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini, terutama suri rumah, ibu tunggal dan pesara," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Terminal Bersepadu Selatan di sini hari ini.

Beliau berkata teksi itu akan dipandu oleh wanita dan bersedia memberi perkhidmatan kepada penumpang wanita yang bersendirian atau membawa anak agar mereka dapat menjalankan urusan harian dengan selesa serta lancar.

"Sehingga kini, terdapat tiga buah syarikat iaitu Destination Transport, Zalnas Sdn Bhd serta Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya yang boleh dihubungi bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut," katanya.

Heng juga meminta golongan wanita yang berminat membawa teksi menghubungi ABEX untuk keterangan lanjut dan latihan serta kursus akan diberikan.

"Projek ini juga secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan wanita bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah yang berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata penumpang boleh mengenal pasti teksi tersebut dengan stiker khas iaitu TeksiWanita yang dilekatkan pada kenderaan.

"Penumpang juga boleh menghubungi talian 03-80240507, 03-26926000 dan 03-88884020 untuk mendapatkan pemandu wanita," katanya.

Sekadar gambar hiasan
Dalam perkembangan lain, Heng berkata dianggarkan seramai 10 wanita menjadi mangsa pelbagai bentuk keganasan setiap hari di Malaysia manakala 60 peratus yang terselamat dalam kes itu mengalami depresi teruk sehingga cenderung untuk membunuh diri.

"Ini membuktikan bahawa masih wujud di zaman ini kelompok manusia yang melakukan kezaliman dan penindasan terhadap wanita bagi membuktikan kekuatan dan kekuasaan mereka," katanya.- BERNAMA