Khamis, November 24, 2011

Siswi Mantap, Pasti Tersentap !


Satu pertemuan antara Exco Hal Ehwal Siswi JAKSA Kolej dan Persatuan UKM bersama MPP siswi PMUKM telah diadakan di Bilik Gerakan HEP pada jam 8.30 malam semalam.

Pertemuan ini diadakan atas kesedaran bahawa semua pimpinan siswi di setiap peringkat kawasan perlu bersemuka untuk membincangkan mengenai permasalahan siswi yang merupakan satu perkara yang sangat perlu dititikberatkan. Malahan, sejak akhir-akhir ini, pelbagai insiden berlaku yang melibatkan siswi seperti kemalangan, kes-kes gangguan dan sebagainya.

Satu pertemuan yang cukup santai memandangkan sesama siswi sahaja menjadikan suasana mesyuarat cukup meriah. Hubungan yang baik dapat dijalinkan antara semua wakil siswi baik dari peringkat kolej, anak negeri, persatuan mahasiswa fakulti serta juga dari persatuan mahasiswa Islam yang lebih dikenali sebagai Ikatan Studi Islam (ISIUKM). 



Pelbagai isu dan permasalahan siswi telah dibincangkan dan masing-masing juga turut melontarkan penyelesaian untuk mengatasi masalah yang berlaku.

Selain itu, MPP Noraini juga turut menyatakan hasrat beliau untuk menubuhkan Sekretariat Pembangunan Siswi atas inisiatif dan bertitik tolak dari komposisi mahasiswa dan mahasiswi yang cukup berbeza dan memberi impak kepada persaingan sengit sesama siswi apabila bergelar graduan nanti.

Melalui sekretariat ini, pelbagai perkara dan cadangan dapat dikongsi dengan mudah dan keterikatan yang ada sesama semua siswi diharap dapat membina kredibiliti mahasiswi yang lebih terkehadapan. Malah, pelbagai program untuk membangunkan siswi juga akan dijalankan bertepatan dengan slogan MPP Noraini sendiri, "SISWI MANTAP, PASTI TERSENTAP".

Terima kasih diucapkan kepada semua wakil siswi yang cukup bersemangat pada malam tadi terutama dalam membincangkan isu siswi, kerana DIRI KITA BEGITU BERHARGA. Juga terima kasih tidak terhingga atas sokongan yang padu kepada barisan MPP Siswi anda.


"SISWI MANTAP, PASTI TERSENTAP"