Isnin, November 28, 2011

Sekretariat Pembangunan Siswi (SPS) - Medium suara siswi UKM

Pada mulanya, idea penubuhannya sekadar perbincangan spontan dengan rakan-rakan sekuliah beliau. Tetapi setelah ditimbang-tara dan dilihat praktikal mampu membawa suara mahasiswi secara konsisten dan bersifat kolektif, maka penubuhan SEKRETARIAT PEMBANGUNAN SISWI (SPS) dilihat wajar direalisasikan untuk kepentingan jangka masa panjang mahasiswi UKM.

Mungkin ada yang berpandangan, penubuhan SPS ini sekadar melengkapkan manifesto MPP Noraini bt Jumahir yang 'dicanangkan' semasa Pemilihan MPP 2011 namun bagi saudari Noraini sendiri, apa yang lebih penting melalui SPS ini bakal meningkatkan kredibiliti mahasiswi di mata masyarakat.

"(Melalui) personaliti dan kemahiran interpersonal yang mantap membuatkan (seseorang) siswi itu (dilihat) terkehadapan dan menjadi pilihan lebih-lebih lagi (di) bidang pekerjaan," ujar gadis manis berusia 21 tahun yang berasal dari Klang ini.

Pertemuan dengan Ketua Pusat Kepimpinan Wanita UKM
Baru-baru ini saudari Noraini bersama-sama MPP siswi lain iaitu saudari Muslimah bt Marsi selaku Naib Presiden 2 (Hal Ehwal Siswi) dan saudari Aida Rahayu bt Mohd Badri telah mengadakan satu perjumpaan khas dengan Prof Dr Madeline Berma selaku Ketua Pusat Kepimpinan Wanita UKM dan Puan Shazlinda binti Md Yusof selaku Ketua Pembangunan Wanita di peringkat fakulti untuk berkongsi idea dan pendapat serta khidmat nasihat mengenai penubuhan sekretariat ini.

Perkongsian yang sungguh menarik pada pagi hari Khamis, 24 November 2011 itu cukup memperlihatkan kemampuan dan kelayakan Prof Dr Madeline selaku Ketua Pusat Kepimpinan Wanita itu. Dengan kepetahan dan keterbukaan beliau, banyak perkara yang dapat dikongsi mengenai strategi pembangunan wanita.


Prof Madeline mengakui bahawa walaupun kuantiti pelajar perempuan adalah ramai di universiti namun ia sesuatu yang merugikan kerana kebanyakannya tidak membantu ke arah produktiviti negara apabila ramai yang tidak bekerja setelah tamat pengajian.

Menurut beliau untuk membangunkan wanita, potensi diri juga perlu dibentuk. Hal ini memang bertepatan dengan hasrat MPP GMUKM ingin bawakan menerusi penubuhan SPS ini agar siswi dilihat terkehadapan seiring dengan siswa dalam pembentukan potensi diri siswi itu sendiri.

Membangunkan potensi mahasiswi UKM
Menurut MPP Noraini, " Kebarangkalian untuk siswi tidak bekerja (adalah) tinggi kerana peluang pekerjaan lebih memihak kepada lelaki walaupun kuantiti (mereka) sedikit di IPT (institusi pengajian tinggi).

"Kita boleh lihat bahawa pemilihan seseorang pekerja wanita bukanlah menerusi kehebatannya di atas kertas peperiksaan tetapi juga melalui penampilan dan gaya interaksi itu sendiri.

Saya lihat sendiri (pada) siswi-siswi kita yang kadang-kadang malu dan segan (untuk ke hadapan) terutama (sewaktu) membuat 'presentation' di hadapan kelas (dan) juga untuk memimpin. Kadang-kadang orang yang sama sahaja yang dipilih (tampil ke hadapan).

"Melalui pertemuan dengan Prof Madeline baru-baru ini, kita (bakal) merangka jalan (untuk) membangunkan potensi siswi UKM sebelum mereka tamat (bergraduasi)," tegas saudari Noraini.

Sekretariat ini, tambah beliau, sekretariat tersebut bukan ditubuhkan untuk memastikan semua siswi UKM mendapatkan pekerjaan tetapi yang lebih utama adalah untuk membangunkan potensi siswi agar mampu menyumbang baik dari segi bakat, tenaga dan lain-lain kepada keluarga mahupun negara walaupun tidak bekerja dan sekadar di rumah menjaga keluarga.
 
Apa pun pesan MPP Noraini, yang lembut jangan disangka lemah. Saudari Noraini bersedia menawarkan diri untuk dihubungi pada bila-bila masa untuk usul cadangan atau komen oleh siswi-siswi sama ada atas kapasiti jawatan atau secara individu berhubung sekretariat ini di talian 013-6242860 atau emel di mpmnoraini@gmail.com  atau akaun 'Facebook' : Nanie Mujahidah

SISWI MANTAP, PASTI TERSENTAP