Rabu, November 23, 2011

Mahasiswa Perlu Pandai Menilai – Muhyiddin

Putrajaya, 22 Nov : Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan percaya suasana harmoni di universiti dapat diwujudkan dengan adanya sikap kebertanggungjawaban di kalangan para mahasiswa itu sendiri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Perlembagaan negara menjamin kebebasan setiap warganegara termasuk mahasiswa untuk berpersatuan dan bersuara tetapi ia seharusnya diiringi dengan kesedaran serta tanggungjawab mereka bagi mewujudkan suasana yang kondusif kepada perkembangan keilmuan dan kesarjanaan universiti.

Beliau berkata, kebebasan tersebut juga perlu dipastikan dapat menyokong perkembangan intelektual dan sahsiah para mahasiswa secara seimbang sepanjang pengajian mereka.

”Ini menuntut para mahasiswa untuk sentiasa berfikir dengan matang dalam menilai sama ada sesuatu perkara yang dilakukan itu boleh memberi manfaat kepada mereka atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Bil 2/2011 di Putrajaya.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Elakkan terbabit aktiviti jejas akademik

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, usaha murni kerajaan itu hanya akan berhasil sekiranya ia disambut oleh para mahasiswa dengan menjadikan universiti sebagai medan terbaik untuk menimba ilmu pengetahuan.

”Tumpukan sepenuhnya perhatian kepada pengajian dan elakkan daripada terbabit dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan pencapaian akademik masing-masing.

”Peranan kerajaan pula adalah untuk memastikan wujud persekitaran yang kondusif dan harmonis di universiti yang dapat membantu mahasiswa mengikuti pengajian dengan sempurna,” katanya.

Lancar Portal Career4u

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Portal Career4u.

Menyentuh Career4u, beliau berkata, portal itu dapat membantu mahasiswa mendapatkan maklumat berhubung peluang pekerjaan dan tempat latihan industri.

”Ia juga menyenaraikan peluang latihan industri kepada pelajar universiti di samping membolehkan pihak berkepentingan mengakses maklumat berkenaan keluaran institut pengajian tinggi (IPT) dan status kebolehpasaran graduan,” katanya. – GZDaily