Isnin, November 21, 2011

PMUKM : 'Selamat Berjaya' kepada finalis bola sepak


Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) mengucapkan selamat berjaya kepada skuad bola sepak Bawah 23 tahun negara yang bakal menghadapi perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA dengan tuan rumah ke-26, Indonesia.

Perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, pada pukul 8.30 malam nanti dijangka sekali lagi dihangatkan dengan kehadiran hampir 100,000 penyokong pasukan masing-masing. Ini kerana perlawanan akhir ini seolah-olah 'perlawanan semula' selepas skuad Malaysia menewaskan pasukan tuan rumah pada perlawanan peringkat kumpulan tempoh hari.

Sebagai tersenarai antara pasukan terbaik di Asia Tenggara, pastinya kedua-dua pasukan ingin memperlihatkan aksi yang lebih bertenaga terutama skuad Malaysia selaku penyandang pingat emas bola sepak Sukan SEA yang lalu.

Walaubagaimanapun, berdasarkan kelebihan di tempat sendiri dan 'dendam' ditewaskan pada peringkat kumpulan, pasukan Indonesia dijangka akan lebih mempamerkan semangat dan daya juang bermati-matian dengan menggunakan segala kelebihan yang ada demi memastikan kemenangan berpihak pada mereka.

Apa pun di peringkat mahasiswa, PMUKM mengharapkan kedua-dua pasukan bakal mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi semasa perlawanan akhir nanti.



BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI