Selasa, November 01, 2011

NewsPortal : Dr Nik Anuar Sempat Siapkan Buku Syarahan Perdana

BANGI, 1 Nov. 2011 – Ketika hayatnya tokoh sejarah Prof Emeritus Dr. Dato’ Nik Anuar bin Nik Mahmud memberi tumpuan kepada isu politik dan persempadanan serta pergolakan membabitkan negara-negara berjiran di Asia Tenggara.


Hampir semua isu dan permasalahan itu berjaya dibukukan oleh profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu lengkap dengan butir terperinci dan penyelidikan bukan sahaja di dalam negara malah hingga ke United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Antara bukunya yang menonjol adalah Konfrontasi Malaysia-Indonesia (2000); Sejarah Perjuangan Melayu Pattani (1999), Duri Dalam Daging: Singapura dalam Malaysia (2001) dan Tuntutan Filipina ke atas Borneo Utara (2001). Karya penyelidikan sejarawan Allahyarham Dr Nik Anuar mendapat sambutan dan telah diulang cetak dua kali.

Namun sebagai penyelidik gigih walaupun beliau tidak begitu sihat beberapa bulan sebelum pemergiannya, Dr Nik Anuar tetap terus menulis dan ini terserlah pada majlis Syarahan Kenangan Nik Anuar di sini, Jumaat lalu. Pada 28 Oktober lalu, genaplah setahun Dr Nik Anuar pulang ke Rahmatullah pada usia 61 tahun.


Pada syarahan bertajuk “Sejarawan Dalam Kenangan” disampaikan oleh Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali, dari Jabatan Sejarah Universiti Malaysia, kira-kira 150 hadirin mendengar nukilan daripada buku Syarahan Perdana yang sudah siap dan sepatutnya dibentangkan Dr Nik Anuar ketika hayatnya.

Bagaimanapun, beliau meninggal dunia sebelum Syarahan Perdana dengan tajuk”Mencari Perdamaian di Asia Tenggara – Merungkai Konflik di Selatan Thailand” dapat disampaikan.

Pada majlis anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM itu, Prof Ghazali menjelaskan selain buku, penulisan Dr Nik Anuar juga merangkumi kertas kerja, makalah, bab buku.

“Kesarjanaannya juga menyebabkan beliau seringkali dijemput dan diterima sebagai pembentang kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dalam pada itu beliau juga menjadi pakar rujuk institusi, seperti Muzium, Arkib Negara dan Kerajaan Malaysia.

“Sumbangan besar kepada Negara yang tidak ternilai harganya adalah penglibatannya dalam komiti penyelidikan Isu Tuntutan Bertindih, Pulau Ligitan dan Sipadan, dan juga Pulau Batu Putih.

“Beliau dengan gigih dan tekun melakukan penyelidikan, mengumpul bahan untuk mempertahan tuntutan negara, menjelajah ke merata tempat di dunia, yang dirujuk sebagai tempat menyimpan dokumen yang berkaitan. Malah beliau sendiri hadir di Mahkamah Antarabangsa di The Hague, membantu Kerajaan Malaysia,” kata Dr Ghazali.

Khusus mengenai masalah di Patani, menurut cebisan daripada buku Syarahan Perdana dibacakan oleh Dr Ghazali, Dr Nik Anuar berpendapat ibu segala masalah di wilayah Selatan Thailand itu adalah apabila ia dikecualikan daripada Perjanjian Bangkok 1909.

Di bawah perjanjian itu, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diserahkan kepada Britain, manakala Patani kekal sebagai jajahan Siam walaupun ia adalah negeri Melayu-Islam.

Keadaan bertambah buruk apabila Kerajaan Thai berusaha untuk mengasimilasikan penduduk Melayu melalui dasar kebudayaan Paksaan atau Thai Rathaniyom.

Penduduk ditindas itu berpaling kepada perjuangan bersenjata setelah gagal mencari huraian melalui perlembagaan. Cara untuk menyelesaikan ketegangan di Patani hanyalah dengan memberikan wilayah itu autonomi atau merdeka penuh, kata Dr Nik Anuar