Sabtu, November 19, 2011

Kenapa IPT dan belia patut sertai Debat 211 jam UiTM ?


DEBAT merupakan salah satu kaedah terbaik untuk mempertajamkan kemahiran berucap seterusnya memperkukuhkan kualiti seseorang pemimpin. Tidak hairanlah kemahiran berdebat ini dipupuk sejak dari peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat universiti.

Kelab-kelab debat telah ditubuhkan dalam berbagai bahasa seperti kelab debat bahasa Melayu, kelab debat bahasa Inggeris, kelab debat bahasa Arab dan sebagainya.

Aktiviti utamanya adalah mengadakan latihan perdebatan dan mengenal pasti pendebat terbaik untuk dipilih menyertai sesuatu pertandingan.


Di Universiti Teknologi Mara (UiTM), aktiviti perdebatan tidak terhad kepada latihan di peringkat kelab dan pertandingan. Debat juga dijadikan kursus kokurikulum yang ditawarkan di bawah komponen pembinaan diri.

Kursus ini bertujuan untuk memberi pengenalan dan pemahaman tentang konsep-konsep perdebatan terbuka ala parlimen.

Pelajar akan mempelajari komponen asas perdebatan, peranan setiap pendebat dalam setiap kumpulan, membina dan membidas hujah serta membuat celahan semasa perdebatan berdasarkan isu-isu semasa yang ditentukan.

Tidak semua pelajar yang menjadi ahli kelab debat atau mengikuti kursus kokurikulum berpeluang menyertai sesuatu pertandingan atau lebih tepat lagi menunjukkan kemahiran mereka di khalayak.

UiTM menyedari hakikat ini lantas memberi ruang kepada mereka untuk beraksi dalam program yang dikenali sebagai Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti atau Debat 211.

Tema dan objektif

Seiring dengan hasrat kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti kepimpinan generasi muda melalui kemahiran berhujah dan isu yang didebatkan serta mengukuh jati diri kebangsaan masing-masing maka UiTM memperkenalkan tema Transformasi dan Perpaduan Bangsa. Antara objektif Debat 211 ialah:

* Merangsang minat dan keyakinan ke arah peningkatan kemahiran insaniah para penonton dan peserta.
* Bertukar maklumat, pengetahuan dan sikap baru berhubung dengan tema transformasi dan perpaduan bangsa yang diperdebatkan.
* Memartabatkan tahap penggunaan Bahasa Melayu.
* Memperluaskan perkongsian intelektual antara institusi-institusi pengajian (awam dan swasta) berbagai peringkat.
* Memecah rekod sedia ada dan mencipta rekod baru.
* Memperkembangkan seni pengucapan awam.
* Menjalin hubungan semua yang terlibat sebagai peserta dan penganjur.

Debat 211 adalah anjuran UiTM dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia dan Yayasan Oreator. Program ini dijadualkan pada 24 November ini hingga 3 Disember 2011 bertempat di Anjung Sri Budiman, UiTM Shah Alam.

Penyertaan secara berkumpulan pada program Debat 211 adalah terbuka kepada semua yang berusia 15 tahun ke atas. Ini termasuklah institusi pengajian awam dan swasta seperti sekolah, politeknik, kolej komuniti, institusi pengajian tinggi dan universiti.

Alumni IPT dan orang awam turut dijemput. Debat 211 tidak mewajibkan penyertaan hanya kepada mereka yang terbaik, tetapi terbuka kepada semua peserta yang berminat untuk berdebat tetapi tidak berpeluang.

Setiap pasukan akan mengandungi dua kumpulan iaitu kumpulan pencadang dan kumpulan pembangkang. Bilangan peserta pencadang bagi setiap pasukan ialah tiga orang dan seorang lagi sebagai calon simpanan.

Bilangan peserta pembangkang pula ialah seramai tiga orang dan seorang lagi sebagai calon simpanan. Bahasa yang diperdebatkan ialah bahasa Melayu. Kaedah perdebatan terbuka kepada mana-mana kaedah yang digunakan di sekolah dan universiti.

Setiap pasukan akan berdebat mengikut keupayaan masing-masing. Tiada tempoh masa mutlak yang dihadkan. Bagaimana pun setiap pasukan dinasihatkan berdebat dalam masa lebih kurang satu jam untuk memudahkan perancangan.

Tempoh peralihan masa dari satu pasukan ke satu pasukan ialah tidak melebihi 1 minit. Setiap pasukan akan berdebat berdasarkan usul daripada tema yang telah ditetapkan.

Rakaman video akan dibuat secara berterusan. Sebuah buku log akan diselenggarakan sepanjang program berjalan.

Majlis Pelancaran Debat 211 telah diadakan pada 13 Oktober 2011 yang lalu. Setakat ini sebanyak 110 pasukan menyatakan kesanggupan untuk menyertai program ini.

Pihak penganjur berharap lebih banyak pasukan luar UiTM khususnya institusi swasta dan belia mengambil bahagian.

Pengiktirafan

Debat 211 akan diaudit dan dinilai oleh The Malaysia Book of Records (MBR). Sebelum ini rekod sedia ada di MBR untuk perdebatan bahasa Melayu tanpa henti adalah 100 jam: 10 minit: 44 saat.

Rekod ini dicipta oleh pelajar-pelajar UiTM dan sebilangan pasukan dari IPT luar pada 2006. Sasaran rasmi yang ditetapkan pada kali ini adalah 130 Jam dan akan diteruskan sehingga 211 Jam bagi memberi peluang lebih banyak pasukan mengambil bahagian.

Sehubungan itu, keterangan lanjut mengenai Debat 211 boleh dilayari di http://debat211jam.blog.com atau facebook: Debatbahasamelayu211jam atau emel: zafaran@salam.uitm.edu.my

Penulis, DATUK IRMOHIZAM IBRAHIM ialah Fellow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM merangkap Naib Presiden Majlis Belia Malaysia

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) mengajak pelajar untuk menjadi pencipta sejarah dalam Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti selama 211 jam mulai 24 November hingga 2 Disember ini.

Program debat ala perbahasan di Parlimen itu merupakan usaha UiTM untuk memecahkan rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) selama 100 jam, 10 minit 44 saat yang dicipta oleh pelajar UiTM pada 2006.


Sebanyak 211 usul akan dikemukakan dalam debat yang berlangsung secara berterusan selama sembilan hari itu dengan tema ‘Transformasi dan Perpaduan Bangsa’.

Borang penyertaan dan maklumat lanjut, sila layari laman sesawang http://debat211jam.blog.com atau hubungi talian 019-3470300 dan 019-2702020.