Sabtu, November 26, 2011

Hanya 3.2% hasil R&D IPTA dikomersialkan - Timb. Menteri

KUALA LUMPUR, 14 Nov. – Hanya 3.2 peratus daripada hasil aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dikomersialkan tahun lepas dengan penjanaan pendapatan sebanyak RM7.6 juta, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung menjelaskan terdapat projek R&D asas yang memakan masa untuk matang sebelum ia dapat dikomersialkan yang memerlukan tambahan penyelidikan dalam bentuk prototaip dan sebagainya sebelum berjaya menjadi produk untuk dikomersialkan.

Justeru, katanya kerajaan menyasarkan prestasi pengkomersialan hasil R&D dapat meningkat kepada empat peratus tahun ini dan lima peratus menjelang tahun 2015.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ong Tee Kiat (BN-Pandan) yang bertanya sejauh manakah hasil R&D yang dijalankan oleh IPTA berjaya dikomersialkan.

Hou memberitahu Dewan Rakyat terdapat empat universiti yang mampu menjana pendapatan tinggi iaitu Universiti Utara Malaysia (RM3.48 juta), Universiti Malaya (RM1.27 juta), Universiti Sains Malaysia (RM1.02 juta) dan Universiti Teknologi Malaysia (RM1 juta).

Kok Chung juga memberitahu Dewan Rakyat sebanyak 1,511 pemohonan untuk projek R&D oleh IPTA telah diluluskan untuk 2011 melibatkan dana hampir RM200 juta.

Katanya kementerian juga telah menerima 8,425 permohonan daripada IPTA untuk projek R&D tahun ini berbanding 7,055 permohonan pada tahun 2010.

Hou juga memberitahu Dewan Rakyat bahawa sumbangan dana R&D yang diterima daripada sektor swasta ialah hampir RM18.5 juta pada 2010 manakala sehingga Jun tahun ini hanya sebanyak RM8.3 juta sahaja. - Bernama