Ahad, Februari 24, 2013

PRESIDEN PMUKM ZIARAH PELAJAR KEMALANGAN

Pres. PMUKM bersama ayah dan
abang Noor Syamim

Jitra, Kedah, 23 Feb - Presiden PMUKM, Ahmad Shukran Shaharudin bersama-sama MPP FSSK, Azrai Ahmad Zamri telah menziarahi seorang pelajar Tahun 1 UKM yang terlibat dalam kemalangan ketika sesi percutian semester baru-baru ini. Pelajar berkenaan ialah saudara Noor Syamim Aizat Bin Mohd Isa (21) yang sedang mengikuti Program Pengajian Bahasa Inggeris di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Pada hari kejadian, 12 Februari 2013, saudara Syamim yang sedang menunggang motosikal telah dirempuh oleh sebuah kereta Myvi yang terbabas dari arah bertentangan. Kemalangan tersebut mengakibatkan beliau mengalami patah paha kanan dan betis kiri, di samping beberapa kecederaan kecil lain. Setelah selamat menjalani pembedahan kemasukan besi, saudara Syamim telah dibenarkan pulang ke rumah pada 20 Februari yang lalu.

Di samping untuk melihat sendiri perkembangan saudara Syamim, kunjungan kedua-dua MPP PMUKM tersebut adalah untuk membantu keluarga beliau bagi menyelesaikan beberapa urusan dengan pihak pentadbiran UKM. Antaranya berkaitan borang bantuan kewangan yang disediakan oleh Unit Kebajikan Pelajar (UKP JPPel) dan urusan penangguhan semester untuk dipanjangkan kepada Bahagian Pengurusan Akademik (BPA). Lain-lain perkara berbangkit yang turut dibincangkan termasuklah soal pembatalan yuran penginapan di kolej kediaman (KBH) dan penerimaan baucer buku 1Malaysia (BB1M).

Memandangkan kondisi Noor Syamim yang masih lemah dan berada jauh dari tempat pengajiannya di UKM, sesi kunjungan kali ini amat dihargai oleh keluarga beliau yang turut berharap agar seluruh warga kampus mendoakan kesihatan anak kesayangan mereka itu. Bagi pihak MPP PMUKM pula, ziarah kali ini meskipun jauh menuju ke utara semenanjung, membuktikan bahawa kami sangat komited dalam memperjuangkan isu kebajikan mahasiswa UKM sebagai tanggungjawab asas yang perlu dipikul, meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran lain yang mendatang.

AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI