Presiden PMUKM bersama wakil gabungan MPP IPTA Lembah Klang. |
Putrajaya, 17 April – Presiden Persatuan Mahasiswa
Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), saudara Ahmad Shukran bin Shaharudin
mewakili gabungan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA sekitar Lembah Klang
telah menghantar surat dan memorandum menuntut cuti tambahan bagi memudahkan
mahasiswa untuk pulang ke kampung menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia
pada Pilihan raya Umum 13.
“Mahasiswa merupakan antara kumpulan terbesar dalam kalangan
30% pengundi pertama. Tidak hairanlah sekiranya mahasiswa sangat teruja untuk
terlibat secara langsung dalam proses demokrasi negara, Pilihan raya Umum 13 (PRU13).
Tambahan pula, PRU13 kali ini menyaksikan mahasiswa punyai ruang yang sangat
baik untuk memainkan peranan dalam arena demokrasi apabila AUKU telah dipinda
pada Perkara 15”, katanya.
Presiden PMUKM, Ahmad Shukran Shaharudin. |
Turut hadir bersama, wakil MPP Universiti Putera Malaysia (UPM)
dan Universiti Malaya (UM). Memorandum tuntutan cuti tambahan ini juga
ditandatangani oleh wakil MPP Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Memorandum tersebut diserahkan
kepada pegawai khas Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di
pejabat kementerian itu di Putrajaya hari ini.
Selain itu, terdapat juga wakil MPP yang terus berhubung
dengan pentadbiran universiti masing-masing berkenaan permohonan cuti tambahan
tersebut. Antaranya UKM, UIAM, UPM dan beberapa buah universiti lagi.
“Kami juga turut meminta Datuk KSU KPT jelaskan semula
berhubung dengan kenyataan tak rasmi beliau pada wakil MPP berkenaan
''permohonan ini tertakluk kepada universiti'' kerana berlaku percanggahan atau
ketidaksampaian makluman apabila pihak universiti sendiri tidak dapat membuat
sebarang keputusan berkenaan cuti tanpa arahan daripada KPT”, kata wakil MPP
UPM.
Pemberian cuti tambahan ini dilihat sebagai bukti keseriusan
pihak KPT dalam memberi ruang kepada mahasiswa untuk terlibat secara langsung
dalam PRU kali ini, selain merupakan pendidikan politik yang terbaik buat
mahasiswa.