PRU 13 |
Akhirnya saat yang dinantikan
telah tiba. Tanggal 3 April 2013 sudah tentu menjadi tarikh yang akan terus dikenang
dalam lipatan sejarah. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak
dengan rasminya telah mengumumkan pembubaran Parlimen. Maka, pembubaran ini
menandakan Pesta Demokrasi buat seluruh rakyat Malaysia sangat dekat. Rakyat
sekali lagi berpeluang untuk turun beramai-ramai ke lapangan demokrasi Pilihan
raya Umum ke 13 (PRU13) bagi memilih dan menentukan kepimpinan negara yang
dicintai ini.
Kita dikejutkan dengan Tsunami
Politik pada PRU12. Iklim politik hari ini bakal menjanjikan sesuatu yang menarik
dan berbeza bagi PRU13 kali ini bahkan mungkin lebih dahsyat daripada Tsunami
Politik PRU12. Analisis berkenaan dengan keputusan PRU13 telah dibuat oleh
beberapa pihak. Antaranya ialah berkenaan dengan penglibatan “first time voter”,
30% daripada jumlah pengundi keseluruhannya. Mereka ini dilihat sebagai penentu
kepada kalah menang parti politik yang bertanding. Lebih menarik lagi, hampir
kesemua golongan “first time voter” merupakan kumpulan anak muda termasuklah
mahasiswa.
Mahasiswa sangat sinonim sebagai
suara ketiga, “check and balance” bagi pihak pemerintah. Kelantangan mahasiswa
dalam menyatakan pandangan dan pendapat terhadap polisi-polisi kerajaan merupakan
antara sebab diwujudkan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU). Lalu,
apabila AUKU dipinda pada tahun lepas, terutamanya pindaan pada perkara 15
berkenaan penglibatan mahasiswa dalam politik, gerakan-gerakan mahasiswa tidak
melepaskan peluang untuk memeriahkan lagi Pesta Demokrasi Malaysia. Muncul
gerakan seperti Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13), Kelab Penyokong BN IPTA, Siswa4U,
Gelombang Anak Muda Tolak UMNO BN (Tolak).
Harapan saya buat seluruh
mahasiswa, terutamanya yang sudah layak mengundi, laksanakan tanggungjawab kita
sebagai rakyat Malaysia. Selain itu, buktikan pada masyarakat Malaysia yang
mahasiswa hari ini sangat ambil berat soal urus tadbir negara dan pembangunan
rakyat dalam segenap aspek. Gunakan peluang yang ada untuk terlibat secara
langsung dalam pilihan raya kali ini, hatta sebagai calon seandainya layak dan
mampu. Penglibatan kita ini, sebenarnya merupakan pendedahan yang terbaik buat
generasi anak muda untuk terjun ke lapangan demokrasi seterusnya membentuk
negara impian anak muda.
Akhir sekali, impian saya untuk
melihat universiti menjadi institut yang terbuka dalam memberi pendidikan
politik kepada mahasiswa dan masyarakat umumnya. Bezakan antara doktrinisasi
ideologi politik dan pendidikan politik. Pendidikan politik yang sebenarnya
ialah pendidikan yang dapat memberi kesedaran buat mahasiswa akan pentingnya
untuk terlibat secara langsung dalam urus tadbir negara. Mahasiswa harus
berperanan dalam membentuk negara yang mereka idamkan, negara yang
berintegriti, bebas daripada politik wang. Inilah peranan universiti yang
sebenarnya, institut pendidikan yang berpegang teguh dengan prinsip keadilan
dan kebenaran.
Presiden
Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM)
Sesi 2012/2013
AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI