PMUKM bersama pihak JPP |
UKM Bangi, 19 Feb – PMUKM telah membawa satu
pertemuan dalam memperjuangkan isu kerosakan jalan raya antara PMUKM dengan
Timbalan Pengarah (Penyelenggaraan) Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP),
Ir. Ab. Ghani Wahab dan juga beberapa wakil daripada Unit Awam JPP. PMUKM yang
diwakili oleh Marwan bin Mohd Khir selaku Pengerusi Biro Penerangan dan
Komunikasi berusaha mendapatkan penjelasan berkenaan kerosakan jalan raya yang
berlaku.
Menurut Timbalan Pengarah JPP, baru-baru ini
pihak Bendahari UKM baru mendapat peruntukan daripada Kementerian Pengajian
Tinggi (KPT). Pihak JPP memaklumkan bahawa dalam masa terdekat, mereka dalam
proses untuk melantik kontraktor untuk melihat sebut harga kerosakan jalan raya
di sekitar kampus Bangi. Proses penyelenggaraan jalan raya akan dijalankan
dalam tempoh masa yang terdekat.
Kami MPP GMUKM memberikan beberapa cadangan
kepada pihak JPP untuk penambahbaikan jalan raya di kampus Bangi. Cadangan
pertama adalah untuk menggantikan jalan bertar dengan memasang ‘paving block’
di setiap kawasan hentian bas di UKM. Pemasangan ‘paving block’ mungkin memakan
sedikit masa tetapi ia mampu bertahan dalam jangka masa yang lebih panjang berbanding
jalan bertar.
Cadangan kedua pula, MPP GMUKM mencadangkan agar
paras air di dalam Alur Ilmu UKM Bangi berdekatan dengan Fakulti Sains &
Teknologi (FST) dan Fakulti Ekonomi & Pengurusan (FEP) dikurangkan. Hal ini
berikutan dengan kerosakan jalan yang berlaku di belakang Pusat Pengajian Sains
Matematik FST akibat tanah mendap. Pihak JPP menerima baik cadangan yang dikemukakan
dan mereka akan membincangkan cadangan tersebut untuk diberi pertimbangan.
Apa pun, kami di peringkat PMUKM menggesa isu ini akan segera diselesaikan demi kemaslahatan seluruh warga UKM Bangi.