Setelah
saya terbaca ulasan Pengetua Kolej Antrabangsa Ibu Zain yang dibuat beliau di
laman FB berkenaan isu pembubaran PMUKM, saya berasa terpanggil untuk memberi
sedikit ulasan dan respon balas bagi menjelaskan kekeliruan yang mungkin
timbul. Sebenarnya kami barisan pimpinan pelajar PMUKM langsung tidak ada
menyatakan apa-apa persetujuan ketika mesyuarat pertama bersama TNC HEPA yang memutuskan
mengenai pembubaran PMUKM, lalu digantikan dengan nama MPP UKM.
Sesekali kami
tidak menyatakan persetujuan dan langsung tidak mengiyakannya. Oleh sebab itu,
saya berharap agar Pengetua Kolej tersebut yang jelas tidak telibat dalam kehadiran mesyuarat
berkenaan supaya tidak membuat sebarang andaian yang berbentuk persepsi
semata-mata.
Seterusnya,
apabila bercakap soal bidang kuasa kerajaan pimpinan pelajar, kuasa yang
ditetapkan kepada MPP UKM adalah sangat terbatas dengan hanya mengikut kerusi yang
dimenangi sewaktu pilihan raya kampus dahulu. Contohnya, jika seseorang MPP itu
mewakili Fakulti Sains dan Teknologi (FST), maka mereka hanya akan bertindak
menjaga kebajikan di FST semata-mata.
Namun jika mereka bertanding bagi kerusi
Umum, maka mereka berhak untuk membawa isu kebajikan mahasiswa UKM seluruhnya. Perkara
sebegini jika ditinjau sekali lalu memang tidak membawa sebarang masalah, namun
ianya akan mewujudkan keterbatasan dan kesukaran kepada gerak kerja kerajaan
pelajar apabila penubuhan biro seperti mana yang wujud dalam PMUKM ketika ini
dinafikan. Penubuhan Biro Pengantarabangsaan, Biro Kebajikan, Biro Media dan Penerangan,
Biro Pembangunan Mahasiswa serta Biro Sukan dan Kebudayaan itu dikatakan
sebagai bertentangan dengan AUKU kerana ianya langsung tidak disebut secara
langsung di dalamnya.
Pihak HEPA bertegas bahawa jawatan yang dibenarkan kerana
menurut AUKU hanyalah empat sahaja iaitu Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua,
Setiausaha Agung dan Bendahari Kehormat. Oleh yang demikian, semua anggota MPP
yang lain hanya menjadi ahli biasa sahaja.
Kami
melihat bahawa segala perubahan yang cuba dibawa adalah disengajakan untuk
melengah dan menyekat kelancaran pengurusan PMUKM sesi kali ini. Walhal jika
dilihat dalam konteks kabinet Kerajaan Persekutuan Malaysia sekalipun adalah
jelas bahawa ianya juga mempunyai beberapa kementerian (termasuk Kementerian
Pengajian Tinggi) yang diketuai oleh menteri-menteri yang terdiri daripada ahli-ahli
parlimen kerajaan, meskipun kewujudan kementerian-kementerian tersebut juga tidak
termaktub di dalam Perlembagaan Pesekutuan 1957.
Kami berpendapat bahawa,
bersesuaian dengan semangat autonomi universiti dan pengamalan sistem
demokrasi, kewujudan kerajaan pelajar PMUKM yang diwakili oleh
mahasiswa-mahasiswi bakal peneraju masa depan negara tidak sepatutnya
diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.
MPP Arief Othman Speaker PMUKM Sesi 12/13 |
AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI