Khamis, Februari 23, 2012

Surat dari alumni (MA)

Alhamdulillah. Segala puji dan syukur hanya kepada Dia, Tuhan yang Maha Mencipta setiap satu makhluk di atas dunia ini.

Semalam, 22 Februari 2012 merupakan tanggal setahun Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) ditadbir oleh ahli-ahli MPP Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM).

Jika setahun yang lalu, ketika ini seluruh jentera GMUKM sedang bergembira meraikan kemenangan pertama di peringkat GMUKM yang menyambung perjuangan MAMPU (Mahasiswa Membina Peradaban Ummah). 

Namun ketika saat ini, di tahun 2012 saya percaya barisan MPP GMUKM mungkin sedang sibuk menyelesaikan beberapa hal-hal penting sebelum menyerahkan 'kerusi panas' ini kepada barisan kepimpinan seterusnya.

Saya mengikuti perjalanan PMUKM sejak tahun pertama saya di UKM, iaitu sekitar tahun 2004-2005. Dan hari ini saya masih mengikutinya biarpun sudah hampir 5 tahun meninggalkan bangku pengajian saya dahulu.

Ketika itu Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) baru hendak ditubuhkan. Jelas ketika itu tiada kemudahan akses capaian kepada 'student' seperti yang kalian ada hari ini.Secanggih peralatan yang kami ada hanya beberapa buah telefon bimbit; itupun harga sebuah SIM Card mencecah puluhan ringgit.

Malah ketika itu ramai yang masih samar-samar dengan agenda penubuhan GM ketika itu. Dan kami selaku pengasas awal GM tetap berusaha meraih sokongan rakan-rakan agar menyokong GM yang baru setahun jagung.

Kenangan ini saya kongsikan dengan rakan-rakan lama. Ada beberapa orang aktivis GM yang sehingga sekarang saya masih hubungi; menyelitkan perbualan mesra berkenaan kehidupan mereka hari ini dengan tidak kurang diseling dengan perbualan berkaitan GM yang kami gagaskan bersama hampir tujuh tahun yang lalu. Sekadar menghangatkan memori yang semakin padam.

Pemilihan warna ungu dan motto selepas itu, 'Harapan Baru Mahasiswa' rupa-rupanya bukan omong-omongan kosong. Saya secara peribadi terharu dengan aktiviti-aktiviti kalian yang menyambut mata-mata rantai perjuangan kami; menyambutnya dengan mengadakan 'Hari Ungu' biarpun motto kini bertukar kepada 'Ber-GM Lebih Baik.' 

Ditambah dengan kemenangan di PMUKM pada sesi kali ini, kalian dilihat di hari ini berjaya merencana menyampaikan agenda yang kami gagaskan dahulu.

Saya secara peribadi berasa amat berbangga dengan pencapaian kalian hari ini; di samping terharu kerana kalian berjaya membawa agenda kebajikan dan Falsafah UKM yang kami cuba terapkan dahulu.

Apa pun, tahniah dan syabas buat kalian kepimpinan GMUKM yang berjaya mendapatkan sokongan rakan-rakan demi meraih undi dan meletakkan GM sebagai 'penguasa' di badan tertinggi pelajar di UKM iaitu Persatuan Mahasiswa UKM.

Semoga kalian berjaya dalam pilihanraya kampus seterusnya. Kalah atau menang, di mata peribadi kami selaku alumni, kalian sudah menjuarai 'perlawanan' ini.

Salam ikhlas,

MA