BANGI - Setelah genap sebulan kampus UKM bercuti, hujung minggu lalu seluruh mahasiswa-mahasiswi telah kembali mendaftarkan diri ke kolej kediaman masing-masing pada 19 Februari yang lalu.
Usai mendaftarkan diri di kolej-kolej kediaman masing-masing, aktiviti mendaftar kursus masing-masing secara dalam talian (on-line) bermula keesokan harinya sebagaimana kebiasaan saban semester baru.
Walaubagaimanapun di pihak PMUKM mendapat makluman dan respon daripada rakan-rakan berkenaan masalah pendaftaran pada semester ini.
Caj Tambahan
Pertama, menurut laporan terdapat beberapa kolej kediaman yang didapati mengenakan caj yuran tambahan.
PMUKM difahamkan wakil pihak kolej yang mengutip caj tambahan tersebut memberi alasan caj tersebut adalah ‘Yuran Khas’ dan belum dimasukkan di dalam penyata kewangan di SisKew (Sistem Kewangan Online) kerana beberapa masalah teknikal.
PMUKM masih mengumpul maklumat-maklumat berkenaan kolej-kolej yang mengenakan caj tambahan tersebut.
'Yuran ekor' ?
Perkara kedua masalah terjadi apabila sewaktu ingin mendaftar kursus semester ini apabila terdapat yuran terdahulu yang ‘tiba-tiba muncul’ sewaktu hendak mendaftarkan kursus.
Ini menyebabkan para pelajar tersebut gagal mendaftarkan kursus bagi semester ini. Akibatnya Kaunter Bayaran di Jabatan Bendahari di bangunan Canselori sesak apabila ramai pelajar berpusu-pusu ingin menyelesaikan ‘hutang yang tiba-tiba muncul’ tersebut dengan kadar segera.
Ini kerana kegagalan mendaftar kursus dengan awal mungkin menyebabkan mereka terlepas mendaftar beberapa kursus umum yang perlu diambil semua pelajar seperti subjek-subjek Bahasa Inggeris dan U2/U3.
Pendaftaran Awal Kursus hilang
Perkara ketiga masalah terjadi semester ini daripada laporan rakan-rakan mahasiswa, kursus yang telah mereka daftar sewaktu Pendaftaran Awal Kursus pada hujung tahun lalu ‘tiba-tiba hilang’ menyebabkan mereka terpaksa mendaftar semula.
Ironinya para pelajar tersebut tidak mempunyai masalah dari segi kewangan (berhutang) atau PNGK/S yang rendah.
Ini juga menyebabkan beberapa kursus umum seperti tadi iaitu Bahasa Inggeris dan Umum (U2/U3) terpaksa didaftarkan semula.
PMUKM prihatin, segera cuba dapatkan penjelasan
Apa pun di pihak Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) akan cuba menyiasat dan mendapatkan penjelasan daripada pihak-pihak yang berkaitan.
Sebarang masalah yang berkaitan atau pun komen, kritikan mahupun cadangan boleh diajukan terus di emel : pmukm1011@gmail.com atau di Fb : PMUKM 2010/2011 (MPP UKM)
Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti