Isnin, 20 Feb - Beberapa SMS dan emel telah diterima oleh PMUKM daripada beberapa orang yang didakwa penghuni Kolej Pendeta Za'ba sejak hari pendaftaran kolej kediaman semalam, 19 Februari 2012.
Ada di kalangan mereka melahirkan kekecewaan ekoran tindakan pihak pentadbiran Kausar Corporation Sdn Bhd yang mengenakan yuran tambahan RM 30.00 ketika para penghuni hendak mendaftar masuk dan mengambil kunci bilik di pejabat pentadbiran.
Malah ada di kalangan mereka yang menghantar SMS meminta PMUKM segera mendesak pihak UKM bertindak berunding dengan pihak Kausar untuk tidak 'mencekik darah' mahasiswa.
Caj yuran tidak berbaloi
Ini kerana, menurut mereka dengan nilai yuran mencecah hampir RM 700 setiap semester untuk yuran kolej adalah tidak berbaloi dengan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat Kausar sebagai pemunya kolej kediaman terbesar di UKM itu.
Suka untuk di peringkat PMUKM memaklumkan kita sudah berhubung dengan beberapa orang pegawai pentadbiran UKM untuk mengadakan meja rundingan, tetapi sehingga kini kita di PMUKM masih belum mendapat maklum balas yang positif.
PMUKM pertimbang rundingan dengan pihak Kementerian
Pihak PMUKM juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku satu rundingan yang lebih besar yang melibatkan pihak Kerajaan pula sekiranya pihak UKM masih gagal mengatur rundingan dengan pihak syarikat Kausar.
Ini kerana pelbagai isu timbul di Kolej Pendeta Za'ba hampir 3 tahun yang berlarutan sehingga kini masih gagal diatasi oleh pihak UKM.
Justeru itu tindakan yang difikirkan wajar adalah PMUKM yang membawa suara mahasiswa UKM khususnya penghuni KPZ yang semakin ditindas dan 'dicekik darah' dilihat memerlukan kuasa yang lebih besar seperti pihak Kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Apa pun di peringkat PMUKM masih di peringkat diplomasi dengan pihak-pihak bertanggungjawab walaubagaimanapun tidak menolak untuk mendesak pihak-pihak berkenaan dengan lebih keras demi kepentingan dan kebajikan mahasiswa.
BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI