Jumaat, Februari 24, 2012

Komited selesai isu KPZ, PMUKM serah memorandum

KUALA LUMPUR, 23 Februari- Satu memorandum mengenai tuntutan pengurangan harga yuran kolej Pendeta Zaaba (KPZ) telah diserahkan oleh Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Al- Falah Sejati Sdn Bhd, En Muhammad Kamil bin Baharin.


Memorandum yang turut memperincikan mengenai bantahan caj tambahan RM 25 baru-baru ini telah diserahkan sendiri oleh Saudari Muslimah Marsi ( Naib Presiden II ), Saudara Mohamad Ezuan Mohd Saad (Setiausaha Agung PMUKM ), Saudara Fariq Fitri (Ahli Majlis Tertinggi GMUKM) dan Saudari Aqilah Baharin ( Ahli Majlis Tertinggi Angkatan Siswi Dinamis -AKSIS ).



Hasil pertemuan tersebut, pihak Kausar yang diwakili En Kamil Baharin memuji tindakan PMUKM yang komited membawa isu ini ke pihak mereka. Mengenai isu caj tambahan RM 25 tersebut, beliau turut berjanji akan mengeluarkan surat maklumbalas dalam kadar segera sebagai penjelasan terhadap isu terbabit.


Melalui pertemuan tersebut, pihak PMUKM juga menyuarakan tuntutan untuk penurunan harga yuran di kolej tersebut kepada pihak Kausar Corporation yang merupakan anak syarikat kepada syarikat Al-Falah Sejati Sdn Bhd. Pihak Kausar juga bersetuju untuk mempertimbangkan memorandum yang diterima dan turut berjanji akan memberi respon dalam kadar yang segera. 


PMUKM menyeru sokongan seluruh mahasiswa untuk turut bersama menyelesaikan isu yuran yang sudah tertangguh sekian lama. Isi kandungan mengenai memorandum akan dijelaskan pada makluman berikutnya.



"Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti"