Sabtu, Februari 18, 2012

Loji diselenggara, bekalan air di Hulu Langat terputus - SYABAS

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air yang mungkin dialami di beberapa kawasan di Hulu Langat sekarang disebabkan kerja penyelenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Langat.

Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Abdul Halem Mat Som berkata kerja penyelenggaraan tidak berjadual itu susulan kerosakan pada satu daripada 13 pam di loji tersebut.

"Bagi mengelakkan kerosakan lebih serius, maka kerja penyelenggaraan kecemasan terpaksa dilakukan. Berikutan itu pihak pengendali loji terpaksa mengurangkan kadar pengeluaran air terawat sebanyak 13 peratus iaitu pengurangan 60 juta liter sehari," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.



Keadaan itu katanya menyebabkan tekanan air rendah atau gangguan bekalan air membabitkan 170,000 akaun di kawasan terbabit.

Bekalan air dijangka pulih apabila kerja penyelenggaraan siap pada lewat petang esok (18 Februari 2012), katanya.

Pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air atau ingin mendapat maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan di talian bebas tol 1-800-88-5252. - BERNAMA