Ahad, Januari 01, 2012

KENYATAAN RASMI PERSATUAN MAHASISWA UKM (PMUKM) : Kezaliman Tindakan FRU Membelasah Mahasiswa Di UPSI Diselar

Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) memandang serius dan menyelar sekeras-kerasnya tindakan ganas yang diambil oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (Federal Reserve Unit - FRU) Polis Diraja Malaysia yang membelasah beberapa orang mahasiswa yang berhimpun secara aman di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tadi.

Dalam tragedi tersebut, beberapa mahasiswa telah mengalami kecederaan yang serius termasuk  Pengerusi BEBAS, saudara Safwan Anang yang kini dilaporkan kritikal apabila dibelasah bertubi-tubi oleh FRU-PDRM.

Tindakan yang diambil pada waktu kejadian seolah-oleh menggambarkan pihak polis terlalu terdesak dan kelihatan seolah-olah tiada jalan lain menangani himpunan tersebut.

Ini merupakan satu tindakan yang tidak wajar kerana secara terang-terangan bertentangan dengan roh Perlembagaan Persekutuan yang sememangnya memberi hak kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat.

Polis 'double-standard'

Sikap 'double standard' PDRM dalam menangani himpunan mahasiswa juga amat jelas apabila layanan yang sebaliknya terhadap pihak yang menyokong kerajaan ketika berdemostrasi di Putrajaya 21 Disember baru-baru ini.

Seharusnya pihak polis menjadi badan yang bertanggungjawab dalam memastikan keharmonian, keadilan, dan kesaksamaan semua pihak khususnya rakyat jelata dan bukannya bertindak di luar peri kemanusiaan.

Oleh itu, PMUKM mendesak supaya Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar supaya bertanggungjawab atas tindakan ganas pihak polis terhadap mahasiswa yang berhimpun di UPSI pada awal tahun baru 2012.


Mahasiswa Menjulang Kebebasan Akademik


BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI


Tarikh : 01 Januari 2012