Bangi, 9 Jan - Satu mesyuarat di antara Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof Dr Ir Othman A.Karim dan pengurus-pengurus kolej, wakil JPP, Unit Perumahan serta Presiden PMUKM, LT M Ahmad Muzzammil Muhd Hairi di Kafeteria Kolej Keris Mas pada jam 9 pagi semalam.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh ayahanda TNC (HEPA) sendiri berkenaan berkaitan agenda pelan tindakan penyelesaian masalah air di UKM.
Mesyuarat bentang masalah, langkah kawal penggunaan air
Sebagai mukadimah, ahli mesyuarat dimaklumkan kadar penggunaan air yang tinggi menyebabkan paras air dalam kolam (reservoir) cepat habis. Ini juga ekoran bekalan air tersebut turut disalurkan ke kawasan berhampiran seperti di Alam Sari, Germany-Malaysia Institute (GMI-UNIKL) dan beberapa kawasan lain di Sungai Tangkas.
Prof Dr Ir Othman melalui laman sosial Facebook beliau memaklumkan secara terperinci perbincangan di dalam mesyuarat tersebut mengenai beberapa langkah jangka masa pendek dan panjang yang telah dipersetujui bersama dalam menangani krisis air ini. Antaranya
- Pengurus kolej akan menjadi pihak hubungan (contact person) dengan pihak JPP bagi mengetahui status semasa masalah air dan jadual lori air yang tiba.
- Sekiranya bekalan adalah daripada lori Syabas atau UKM, keutamaan diberikan kepada pengisian tangki statik, bukan tangki utama bangunan. Semua tangki statik perlu dipastikan mengandungi air yang mencukupi terlebih dahulu untuk kegunaan seluruh blok.
- Para penghuni kolej dinasihati menyimpan bekalan air di bilik masing-masing di bekas/botol air untuk kegunaan masing-masing.
- Para penghuni juga diminta memberikan kerjasama MENGELAKKAN penggunaan air untuk perkara tidak perlu seperti mencuci kenderaan.
- Terdapat laporan pihak luar (termasuk caterer) mengambil air dari kawasan kolej kediaman. Jika ternampak sila tegah dan/atau laporkan kepada pengurus kolej.
- Pengurus dengan kerjasama semua penghuni, JAKSA dan felo memeriksa dengan kerap memastikan tidak berlaku sebarang kebocoran sepanjang laluan paip air (pipeline). Mana-mana penghuni kolej juga diminta memainkan peranan sekiranya ternampak segera laporkan kepada pengurus kolej.
Menurut ulasan Presiden PMUKM , LT M Ahmad Muzzammil Muhd Hairi yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut, "Semua warga UKM perlu memainkan peranan masing-masing dalam menangani masalah air ini.
"Ada hikmah disebalik masalah ketiadaan air (baru-baru) ini. Saya menyeru kepada rakan-rakan agar berjimat-cermat dalam penggunan air secara optimum," ujar beliau.
PMUKM agresif depani isu air
PMUKM dalam mendepani krisis masalah pembekalan air ini , kini sedaya-upaya untuk memastikan masalah ketiadaan air ini sekurang-kurangnya mempunyai alternatif dalam masa yang secepat mungkin agar tidak menganggu 'mood study' rakan-rakan mahasiswa untuk menduduki peperiksaan akhir semester.
Melalui Jawatankuasa Bertindak Khas Menuntut Air (TUNTUT AIR), PMUKM juga giat berusaha untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berkenaan dalam mengenalpasti masalah ketidaan air ini yang kerap kali berlaku termasuk dengan pihak SYABAS dan pihak Konsortium ABASS seperti yang telah dilaporkan hunjung minggu lalu.
Kempen 'Jom Jimat Air'
Dalam pada itu PMUKM juga mengulangi harapan ayahanda TNC (HEPA), Prof Dr Ir Othman A. Karim agar semua warga UKM berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha menyelesaikan masalah ketiadaan air ini juga
Gunakanlah air yang ada dengan cermat agar tidak berlaku pembaziran air.
Singgah berehat di kota lama,Kuih dijamah air dihirup,Berjimat-cermat suruhan agama,Jika diamal sejahteralah hidup.
Inderagiri pasirnya lumat,Tempat berkelah putera raja,Baik sedikit tetapi berjimat,Daripada banyak membazir sahaja.
Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti