Isnin, Januari 02, 2012

Amaran hujan lebat oleh Jabatan Meteorologi Malaysia


2 Jan - Amaran Hujan Lebat Di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis telah dikeluarkan ekoran risiko mengalami banjir berikutan hujan lebat berterusan sehingga malam ini, dalam satu kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini.

Menurut kenyataan jabatan itu, kawasan yang terlibat di Kelantan ialah daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang dan Jeli manakala di Terengganu melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

Di Kedah, kawasan yang terlibat ialah daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pendang, Yan, Sik dan Langkawi, manakala di Perlis melibatkan kawasan Padang Besar, Kangar dan Arau.

Jumlah mangsa banjir di Johor menurun
Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan di Johor kini menurun kepada 220  setakat petang Sabtu berbanding 241 orang pada sebelah pagi.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), enam pusat pemindahan masih dibuka di daerah berkenaan yang menempatkan 54 keluarga.

Kesemua pusat pemindahan tersebut melibatkan Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak, Kampung Sanglang, Kampung Pogoh, Kampung Tandong dan Kampung Kuala Paya, kata MKN melalui laman sesawangnya.

Banjir di Sarawak pulih sepenuhnya
Manakala keadaan banjir di Sarawak dilihat pulih sepenuhnya dengan kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang dan semua pusat pemindahan banjir ditutup pagi Sabtu.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri ketika dihubungi berkata pusat pemindahan terakhir ditutup jam 9 pagi ini di Kampung Pengkalan Pantu.

"Setakat 2 petang (semalam) tiada lagi mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan banjir seluruh Sarawak dan keadaan kini dilaporkan semakin baik," katanya.

Laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dilayari di http://www.mkn.gov.my untuk maklumat berkenaan banjir dan tindakan-tindakan yang seharusnya dilakukan sewaktu menghadapi bencana alam.