JUMAAT, 6 Jan. - Barisan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) yang terdiri dari saudara Mohd Abdullah bin Mohamed Yusoff, Wan Ahmad Fahmi bin Wan Abdul Hamed, Mohd Izzuddin bin Mohd Pisol, dan Mohd Faizal Ahmad telah berkunjung sendiri ke Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang terletak di Hulu Langat, Selangor kira-kira pukul 11 pagi untuk mendapatkan penjelasan dari pihak syarikat tersebut berkenaan krisis air yang sedang melanda kampus UKM Bangi.
Perbincangan PMUKM bersama dengan wakil pihak Syabas |
Di sana wakil PMUKM tersebut telah dipertemukan dengan Pegawai Eksekutif Khidmat Pelanggan, Encik Mokhzani bin Mokhtar.
Berdasarkan maklumat beliau, masalah ini berpunca dari paras air di loji yang tidak mencukupi untuk disalurkan. Ironinya loji air tersebut juga tidak dapat dibuka buat sementara waktu ini dan sekatan air berkemungkinan terpaksa dilakukan sehingga paras air mencapai piawaian dan mengikut keperluan.
Pihak PMUKM bersama pegawai SYABAS |
PMUKM juga sempat bertanya mengenai permasalahan air yang pernah berlaku di UKM acapkali sebelum ini lagi. Respon yang diberikan oleh Encik Mokhzani, masalah tersebut mungkin berlaku disebabkan masalah teknikal dalam UKM yang dilaporkan telah berusia lebih 30 tahun. Cadangan yang diutarakan beliau adalah agar pihak UKM menyelenggara sistem perpaipan tersebut.
Wakil PMUKM rujuk Konsortium ABASS
Seusai solat Jumaat petang tadi, wakil PMUKM segera bertindak merujuk pula masalah yang dibangkitkan oleh SYABAS kepada pihak Konsortium Abass Sdn Bhd (ABASS) untuk kawasan Dengkil. Loji ini berperanan membekalkan air mentah ke loji rawatan air di Putrajaya.
Namun dukacitanya pihak ABASS menafikan berlakunya sekatan air sebagaimana yang didakwa oleh pihak SYABAS. Logiknya, sekiranya air disekat sudah pasti bukan UKM sahaja yang bermasalah tetapi seluruh Bangi, Putrajaya, Dengkil dan tempat-tempat yang lain.
Ketika di syarikat Konsortium Abass di Dengkil |
Kira-kira pukul 4 petang pula, wakil PMUKM telah merujuk kepada pegawai yang berada di Loji Rawatan Air ABASS di Presint 19 Putrajaya berkenaan masalah air tersebut. Pegawai bertugas juga MENAFIKAN KENYATAAN BAHAWA PARAS AIR TIDAK MENCUKUPI DI LOJI TERSEBUT SEHINGGA PERLU DISEKAT SEPERTI DAKWAAN SYABAS.
Menurut petugas tersebut, 150 MGD air daripada loji rawatan air adalah sudah mencukupi untuk dihantar ke SYABAS bagi tujuan pengedaran air ke kawasan Putrajaya, Dengkil, Bangi, Kajang dan lain-lain lagi. Dan kenyataan beliau sememangnya bertentangan dengan apa yang dimaklumkan oleh pihak Syarikat SYABAS pada awalnya.
Di loji rawatan air milik Konsortium Abass Sdn Bhd, Putrajaya |
PMUKM tubuh jawatankuasa khas
Oleh kerana permasalahan ini dilihat saling menunding jari dan menimbulkan tanda tanya, PMUKM telah bertekad menubuhkan jawatankuasa Khas Menuntut Air (TUNTUT AIR), yang diketuai oleh Presiden PMUKM sendiri, LT M Ahmad Muzzammil bin Muhd Hairi.
PMUKM juga berkira-kirauntuk membawakan isu ini ke peringkat Menteri Besar dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sekiranya krisis air masih berlanjutan dan tidak menemui penyelesaian.
PMUKM sangat memandang serius isu air yang telah berlaku sejak 4 tahun yang lalu tanpa ada usaha menangani yang serius daripada pihak yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan masalah air semakin meruncing sejak akhir-akhir ini.
Sebarang persoalan dan permasalahan berkenaan masalah air ini boleh dirujuk kepada talian aduan SYABAS 03-87331666 dan 1-800-88-5252