Assalamu'alaikum warahmatullah & salam hormat.
Mungkin esok ramai yang bakal memulakan 'pertempuran sulung' di perbukitan ilmu ini. Bagi pelajar tahun akhir Fakulti Pendidikan, peperiksaan pada semester kali ini merupakan yang terakhir kali buat mereka sementelah pada semester hadapan mereka akan berpraktikum. Oleh itu, buatlah persiapan terakhir sehabis baik. Perancangan yang rapi pasti akan membuahkan hasil yang berkualiti.
Elakkan daripada membuat persiapan di saat akhir. Persiapan di saat akhir tanpa dimulakan dengan satu susunan jadual pembelajaran yang sistematik boleh merencatkan sasaran kita dlm mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan kali ini.
Dalam fasa terakhir 'study week' ini, saya menasihati rakan-rakan supaya mendapatkan rehat secukupnya bagi mengelakkan kelesuan pada waktu pagi. Lebih malang lagi jika rakan-rakan terlewat bangun pagi sehingga boleh menyebabkan terlepas mengambil peperiksaan pada hari tersebut.
Dalam kesibukan kita mempersiapkan 'kelengkapan perang', bagi mereka yang beragama Islam jangan lupa tuntutan kita sebagai umat Islam. Segala usaha yang kita lakukan ini perlulah disandarkan kepada Allah s.w.t
Bertawakkal selepas berusaha sehabis daya, berdoalah memohon dipermudahkan segalanya. Insyaallah, kejayaan milik kita.
فاذا عزمت فتوکل علی الله(Setelah kamu berazam, maka bertawakkallah)
Akhir kata, semoga Allah memberikan ganjaran yang terbaik kepada kita. Namun, seandainya keputusan peperiksaan kita nanti tidak mencapai apa yang disasarkan, janganlah berdukacita sebaliknya sematkan rasa syukur serta redha dengan ketentuanNya kerana setiap yang berlaku ke atas diri kita seseungguhnya terkandung suatu hikmah yang tersirat dan di luar bidang ilmu kita.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud;
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud;
"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu, padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu, dan ALLAH jualah yang mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui". - (Surah Al-Baqarah, 2:216)
Wallahu a'lam.
Mohamad Ezuan Bin Mohd Saad Setiausaha Agung
Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM)
Sesi 2010-2011 Merangkap
MPP FSSK Tahun 1/2