Ada sesuatu yang sedikit menganggu fikiran saya kini, selepas mengikuti beberapa perkembangan di media massa arus perdana kebelakangan ini. Saya melihat perihal ini juga mengganggu fikiran beberapa rakan di luar sana, dengan kondisi kita yang kini berada di bulan penuh barakah bagi umat Islam, iaitu bulan Ramadhan yang mulia ini.
Saya bersetuju dengan pandangan rakan MPP saya, saudara Wan Ahmad Fahmi dalam ucapannya bahawa sebagai umat Islam yang berpegang dengan ajaran agama yang meraikan semua manusia yang diciptakan berbeza-beza dari sudut bahasa, warna kulit, pengalaman budaya dan tidak terkecuali berbeza dari sudut kepercayaan beragama.,maka proses berkenalan dan memahami (at-ta'aruf & at-tafahum) akan membentuk sikap saling menghormati (at-takaful) sesama manusia sebagai langkah awal pencegahan dalam menghindari permusuhan selain dapat meleraikan persengketaan yang ada. (Baca artikel beliau di sini )
Terbaru insiden yang terjadi di media arus perdana, iaitu iklan komersil di televisyen dan ‘menu hidangan berbuka’ yang sedikit kontroversi dilihat oleh saya secara peribadi sebagai tindakan yang tidak seharusnya berlaku. Namun begitu, sebagai Muslim yang menjadi majoriti penduduk di Malaysia, kita juga tidak harus melatah dan bertindak ‘menyerang’ tanpa menyelidik terlebih dahulu apa sebenarnya berlaku. Tindakan kurang matang ini dilihat juga lebih kepada memburukkan keadaan kerana mungkin di sebalik insiden ini, masih ramai rakyat bukan Islam di luar sana yang sebenarnya masih tidak memahami perkara-perkara yang menjadi ‘taboo’ atau sensitif bagi rakyat Malaysia beragama Islam.
Sebagai Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM, saya lebih gemar untuk membawa rakan-rakan melihat insiden ini dari sudut pandangan yang lain. Cuba kita lihat, insiden ini adalah bukti bahawa hubungan antara kaum di Malaysia ini masih di tahap memuaskan, dan perlu banyak dibaiki lagi. Jika kita selidiki, insiden ‘iklan kontroversi’ di musim perayaan juga pernah berlaku pada tahun lalu, dan telah ditarik balik setelah didesak oleh rakyat Malaysia. Ironinya perkara ini masih berlaku pada tahun ini. Justeru itu, saya mengesyorkan lebih banyak program-program berbentuk silang budaya dapat diadakan di segenap peringkat agar kita semua selaku warganegara Malaysia dapat memahami antara satu sama lain sebelum timbul insiden-insiden yang bakal menggugat keharmonian dan kesejahteraan negara tercinta hari ini. Sebagaimana yang diulas oleh Stephen Covey dalam buku beliau “7 Habits Of Effective People” , kita perlu mengamalkan sikap ‘seek first to understand, then to be understood’
Saya juga berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan tidak menimbulkan sebarang komplikasi di masa hadapan. Biarpun ada segelintir pihak yang beranggapan ini merupakan isu penting bagi umat Islam untuk pertahankan, saya lebih memilih agar ianya dikira sebagai isu yang masih boleh dikawal dan dibetulkan dengan sesi dialog dan program-program yang membentuk kefahaman tentang adat resam dan budaya kaum-kaum di negara ini. Saya juga menyeru agar perkara ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang dan memohon agar semua pihak berhati-hati dalam merencanakan sesuatu agenda untuk kepentingan bersama.
"BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI"
Noraini Binti Jumahir
Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan
Persatuan Mahasiswa UKM 10/11