Khamis, Ogos 25, 2011

Pameran Kemerdekaan Sedang Berlangsung di UKM


Oleh Mohd Yazid bin Mohd Abzal, Kurator Muzium UKM
Foto oleh Mohd Noor

BANGI, 23 Ogos 2011 - Muzium Warisan Akademik, Perpustakaan Tun Seri Lanang dan Penerbit UKM dengan kerjasama Muzium Tentera Darat, Port Dickson dan Arkib Negara Malaysia sedang mengadakan pameran sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-54 dan Hari Malaysia peringkat UKM.
Pameran  selama sebulan itu sehingga 16 Sep nanti berlangsung di Foyer Canselori, Bangunan Canselori dan di Perpustakaan Tun Sri Lanang di UKM di sini dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Pameran itu memaparkan secara umum perjalanan sejarah negara hingga ke era kemerdekaan, kepimpinan Perdana Menteri dari awal negara merdeka hingga kini dan pengorbanan wira-wira negara seperti anggota keselamatan dalam perjuangan menuju ke arah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia tahun1963.
Tokoh-tokoh yang di ketengahkan adalah mereka yang telah mengorbankan jiwa serta raga bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan negara ini sebelum dan selepas kemerdekaan sama ada dalam bentuk keselamatan negara ataupun perjuangan politik dan sosial.  
Jasa dan bakti mereka sebagai wira di belakang tabir kemerdekaan ini akan menjadi pedoman dalam menanamkan semangat cintakan pertiwi serta perlu diteladani lebih-lebih lagi oleh generasi muda kini dan akan datang adalah merupakan antara objektif pameran ini. Disamping itu ia juga bertujuan menyebarkan maklumat dan sejarah negara melalui pendekatan pameran. 
Koleksi senjata yang pernah digunakan semasa era Perang Dunia Ke Dua dan era Darurat dipamerkan termasuk Meriam Tentera Jepun dan Tentera British yang pernah digunakan waktu itu.
Turut dipamerkan koleksi penerbitan khas ulang tahun kemerdekaan negara (himpunan koleksi Harun Aminurrashid yang dipinjam dari Koleksi Arkib dan Khas PTSL).

Pihak penganjur juga telah menyediakan sudut bacaan dan tayang yang berkaitan dengan kepimpinan dan sejarah negara ini untuk memberikan maklumat yang lebih bermakna.  Semua warga UKM dan masyarakat sekitar dijemput berkunjung dan menyaksikan pameran itu.