Selasa, Ogos 09, 2011

NewsPortal : UKM Lancar Bulan Sambut Kemerdekaan 2011



Foto: Hairul Azmi Jahid

BANGI,  8 Ogos 2011 -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan pelancaran sambutan bulan kemerdekaan 2011 peringkat universiti dengan mengedarkan bendera sempena Penyerahan Jalur Gemilang hari ini di Foyer Bangunan Canselori.

Tujuh wakil mewakili fakulti, institut, perkhidmatan, pelajar, pasukan latihan pegawai simpanan (PALAPES), sukarelawan polis (SUKSIS) dan kolej menerima bendera masing-masing daripada Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato' Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni) selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan, Prof Ir Dr Othman A. Karim, tiga timbalan naib canselor, Dekan-dekan fakulti dan para pegawai kanan Universiti.

Majlis berkenaan turut menyaksikan acara simbolik mengimbarkan bendera Malaysia yang dilakukan oleh Prof Dr Othman Karim. Prof Tan Sri Sharifah sebagai Kolonel Kehormat, Pelapes UKM memberi tabik hormat dengan iringan musik dan nyanyian lagu-lagu Jalur Gemilang dan Satu Malaysia dari Kumpulan Koir Perpustakaan Tun Sri Lanang.

Sempena sambutan peringkat kemerdekaan ini juga diadakan pertandingan menghias bangunan peringkat Pusat Tanggungjawab dan kolej serta kempen mengibar bendera jalur gemilang dan beberapa aktiviti lain di kampus.