Ahad, Ogos 14, 2011

Majlis Berbuka Puasa 2011 Bersama Masyarakat Kundang Ulu Pagoh

Pada hari sabtu 13 Ogos 2011, Unit Kebajikan Pelajar JPPEL  telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa bersama masyarakat kampong Kundang Ulu, Pagoh. Program ini telah dikelolai oleh Urusetia Kebajikan Pelajar yang terlibat secara langsung dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan. Program ini disertai oleh hampir 70 peserta daripada perbagai persatuan pelajar, PMUKM dan Sekretariat Pesta Konvokesyen Ke-39 UKM. Antara objektif program ini ialah dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara universiti dengan masyarakat. Disamping itu, mewujudkan peluang komunikasi yang berkesan dalam kalangan para peserta dan menanamkan dalam diri seluruh pihak yang bekerjasama dalam menjayakan aktiviti ini bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan ini.  Bertolak daripada Kampus Induk UKM Bangi jam 9 dan tiba di sana pada jam 12 tengahari. Program ini dimulakan dengan aktiviti gotong-royong mengemas sebuah rumah orang kurang upaya, kawasan luaran dan dalaman Masjid Kundang Ulu dan aktiviti memasak juadah berbuka puasa bersama masyarakat kampung tersebut.

Selain itu, Majlis Pengimarahan Ramadhan telah diadakan dengan bacaan berzanji, tazkirah Ramadhan yang disampaian oleh Dr. Razaleigh bin Muhamat@ Kawangit Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan FPI UKM yang bertajuk “ Kelebihan yang terdapat di Bulan Ramadhan” dan majlis diakhiri dengan bacaan Al-Quran oleh Saudara Khair bin Sujud.

Program tersebut diteruskan lagi dengan Majlis Berbuka Puasa bersama Penduduk kampung. Program ini dihadiri oleh Prof Ir. Othman A. Karim TNC Hal Ehwal Pelajar UKM, pegawai-pegawai universiti dan ramai lagi. Kehadiran ramai orang memeriahkan lagi program yang diadakan. Majlis diteruskan lagi dengan solat maghrib, solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah. Sedikit sumbangan daripada Pihak Universiti Kebangsaan Malaysia turut diberikan kepada Masjid Kundang Ulu dan penduduk kampung yang kurang bernasib baik.

 Program ini diakhiri dengan jamuan moreh dan sesi bergambar bersama semua pihak yang menjayakan program ini. Semoga program yang diadakan ini memberikan seribu satu kenangan kepada seluruh pihak yang menjayakannya. Ribuan tahniah dan terima kasih diatas kerjasama yang diberikan.




BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI