Isnin, Ogos 08, 2011

Salam Takziah Daripada PMUKM

Kredit : Utusan Online / MOHD. NAJIB. MOHD. NOR


Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, Cameron Highlands semalam. Kejadian yang berlaku kira-kira 5.45 petang semalam dilaporkan telah meragut tujuh nyawa dan dua lagi cedera parah dalam kejadian tanah runtuh yang dipercayai berpunca akibat hujan lebat di kawasan berkenaan sejak jam 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan Wan Mohd Dahari Wan Busu, berkata mayat pertama seorang wanita dikeluarkan pada jam 6.30 petang, manakala lelaki jam 11.25 malam. Dua lagi masing-masing jam 12.25 pagi dan 12.35 pagi. Tiga mangsa terakhir dikeluarkan jam 1.30 pagi.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang mencemar duli melawat tempat kejadian telah bertitah agar Kerajaan negeri Pahang diminta mengkaji mengenai perancangan penempatan semula perkampungan Orang Asli tersebut.

"Saya harap dalam jangka panjang, kerajaan negeri dapat mengkaji penempatan semula khususnya di Kampung Sungai Ruil ini, sudah lama mereka berada di kawasan itu," titah baginda ketika melawat pusat pemindahan mangsa tanah runtuh perkampungan Sungai Ruil di sini di pusat Pemindahan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Brinchang di sini.

Untuk rekod, perkampungan Orang Asli Sungai Ruil terletak di Tanah Rata dan kebanyakan penduduknya terdiri daripada masyarakat Suku Semai.