KENYATAAN AKHBAR
MENTERI PENGAJIAN TINGGI
YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENGENAI PENANGGUHAN YURAN PENDAFTARAN
BAGI PELAJAR-PELAJAR BAHARU SESI AKADEMIK 2011/2012
DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM (IPTA)
TARIKH : 24 OGOS 2011.
Sebanyak 41,267 tempat telah ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf di 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Sesi Akademik 2011/2012. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 1.9% berbanding tahun sebelumnya apabila hanya menyaksikan jumlah pengambilan pelajar sebanyak 40,506.
Bagi memudahkan urusan pendaftaran kelak, para pelajar baharu tidak perlu membayar yuran semasa sesi pendaftaran. Yuran pendaftaran itu hanya akan ditolak daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dipohon sebaik sahaja pinjaman mereka diluluskan.
Keputusan ini diambil bagi meringankan beban pelajar dan keluarga khususnya mereka yang berpendapatan rendah. Ini juga bertepatan dengan hasrat kerajaan memperjuangkan pendemokrasian pendidikan yang ingin memastikan akses kepada pengajian tinggi di kalangan rakyat sentiasa dipertingkatkan.
Penangguhan yuran pendaftaran ini pernah diperkenalkan pada tahun lalu dan pada tahun ini ia diteruskan lagi bertujuan membantu dan memudahkan urusan pendaftaran.
Sesi pendaftaran pengajian 2011/2012 akan bermula 3 September 2011.