Khamis, Ogos 11, 2011

KEROHANIAN : Ayuh kembalikan momentum di fasa kedua Ramadhan!

Assalamu'alaikum wbt dan selamat sejahtera kepada semua rakan mahasiswa UKM. Semoga keberadaan kita di dalam bulan Islam yang penuh barakah ini akan membawa 1001 rahmat dan maghfirah serta dimudahkan dalam segenap perkara yang kita lakukan seharian kini.

Selaku Pengerusi Biro Kerohanian & Pembangunan Insan pada sesi kali ini, suka untuk saya mengingatkan diri saya dan rakan-rakan khususnya di kalangan warga Muslim agar sama-sama kita meningkatkan amal kebajikan di samping melakukan kebaikan-kebaikan dan belas kasihan sesama kita makhluk tanpa membezakan warna kulit, pangkat dan agama; kerana itulah semulia-mulia perbuatan yang dituntut dalam ajaran Islam.
“Kami jadikan kamu berpuak-puak dan bersuku-suku untuk kenal mengenali antara satu sama lain” - Surah al-Hujurat :13
Bagi kita umat Islam, kita mempunyai pegangan agama yang menganjurkan kepada semua manusia yang diciptakan oleh Allah SWT berasal dari Adam dan Hawa kemudian dijadikan-Nya berpuak-puak dan berbangsa-bangsa untuk berta'aruf, saling mengenal dan saling hormat-menghormati. Anjuran sedemikian adalah kerana manusia itu sifatnya akan berbeza-beza bahasa, warna kulit, pengalaman budaya dan yang paling menonjol ialah perbezaan dalam kepercayaan beragama.

Maka at-ta'aruf, saling mengenal dan saling hormat yang dituntut oleh Allah itu antaranya boleh dilakukan dalam bentuk dialog sebelum dan setelah terjadi sengketa. Tegasnya hendaklah sentiasa ada kesediaan untuk menghindari permusuhan, menghuraikan persengketaan.

"Ramadhan bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya rahmat, di tengah-tengahnya maghfirah (keampunan) dan di hujungnya kebebasan dari api Neraka".

HARI ini sudah masuk ke fasa kedua umat Islam menunaikan ibadat puasa Ramadan. Fasa pertama yang menjanjikan rahmat seluruh alam sudah berlalu. Kini kita semua umat Muhammad SAW mula berada di tengah-tengah di antara fasa, iaitu fasa penganugerahan rahmat dan di hujungnya dijanjikan pembebasan dan pelepasan daripada seksaan api Neraka.


Akan tetapi, jika mengikut Indek Prestasi Kerja (Key Performance Index - KPI), adakah kita sudah mencapai standard yang ditetapkan Allah; atau sebenarnya masih jauh daripada sasaran awal?

Melihat tabiat umat Islam di negara ini setiap kali kehadiran Ramadan, kadangkala kita tertanya-tanya, adakah kita faham kenapa kita berada di bulan Ramadhan sekali lagi?

Di malam hari, masjid-masjid mula surut sedangkan pada malam permulaannya, begitu 'dasyat' penangan umat Islam berbondong-bondong mengerjakan solat Isyak dan Taraweh di masjid. Apakah sekali lagi pada tahun ini masjid akan 'kalah' dengan penangan jualan murah di samping rancangan-rancangan televisyen yang tidak pernah habis-habis itu ?

Ada sebuah hadis oleh baginda Rasullullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, baginda ada bersabda, "Sesungguhnya Syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut 'Rayyan'. Akan diseru pada hari kiamat: "Mana orang yang berpuasa?" Lalu bila orang yang terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itupun ditutup,"

Ayuh bersama kita kembalikan momentum juang di bulan Ramadhan ini di fasa kedua bulan penuh barakah ini !


Wan Ahmad Fahmi bin Wan Abdul Hamed
Pengerusi Biro Kerohanian & Pembangunan Insan PMUKM
MPP Kerusi Umum Tahun 3/4