Jumaat, Ogos 12, 2011

Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin Negara..


Putrajaya, 10 Ogos 2011- Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak beserta isterinya, Datin Sri Paduka Rosmah Mansor yang diadakan berhampiran kediamannya di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya hari ini dilihat cukup meriah dengan kehadiran barisan Majlis Perwakilan Pelajar serta mahasiswa/wi dari 38 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan juga Swasta (IPTS). Turut hadir juga wakil-wakil dari luar negara yang tidak ketinggalan meraikan bulan Ramadhan bersama pemimpin negara. Turut dijemput adalah adik-adik Permata Pintar dan Permata Seni, Anak-anak Yatim dari Pasir Gudang dan ramai lagi yang menambah seri majlis ini. Difahamkan bahawa majlis ini adalah yang ketiga selepas beliau dibenarkan keluar dari hospital setelah menjalani pembedahan lutut. 




Selain berbuka puasa, para hadirin juga turut menunaikan solat Maghrib secara berjemaah bersama Perdana Menteri dan seterusnya menunaikan solat Isyak berjemaah dan juga solat Tarawih selepas menikmati jamuan makan malam yang disediakan. 

Dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah hadir beberapa orang wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PMUKM diketuai oleh Saudara Presiden, Leftenan Muda Ahmad Muzzammil Bin Muhd Hairi serta Sekretariat Pesta Konvokesyen ke 39 yang telah bertungkus lumus bekerja keras demi menaikkan nama universiti. 



"Saya kira majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri ini sebagai satu tanda penghargaan kepada ahli-ahli Pesta Konvokesyen ke 39 yang tidak pernah berputus asa menjalankan tugas mereka," kata MPP Noraini Jumahir, selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM yang turut hadir pada majlis ini.

Turut hadir di samping pemimpin negara adalah Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato' Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni UKM, Prof. Ir. Dr Othman A. Karim.