Oleh Abdul Razak Hussin
Foto oleh Abd Raai Osman
BANGI, 21 Ogos 2011 – Setelah mencecah usia 40 tahun, UKM yang ditubuhkan untuk mendukung agenda kebangsaan, kini harus diangkat kedudukannya menjadi “Universiti Kebanggaan Malaysia”.
Ini bererti, usaha yang berlipat ganda harus dilakukan dengan menggunakan pendekatan Strategies, Energize dan Synergise (SES) iaitu strategi yang tepat, mengupaya semua sumber untuk bergerak dengan lebih pantas dan mensinergi segala kekuatan yang dipunyai bagi melonjakkan UKM kepada kedudukan yang jauh lebih baik berbanding sekarang.
Demikian gesaan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Ab Rahim Md. Noor yang juga ahli Lembaga Pengarah UKM kepada pemimpin pelajar dalam Majlis Iftar KSU KPT bersama Majlis Perwakilan Pelajar UKM di Kampus Bangi kelmarin.
Pendekatan SES perlu dilaksanakan oleh semua peringkat termasuk pelajar yang perlu diterajui para pemimpinnya.
Selaras dengan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara, beliau menyeru pemimpin pelajar mendukung cita-cita menjadikan semua universiti di negara ini termasuk UKM sebagai universiti ternama serta menjadi rujukan dunia.
Kementerian Pengajian Tinggi, katanya, beriltizam untuk meningkatkan keupayaan pelajar sehingga dihormati di peringkat antarabangsa dan menjadi ikon kejayaan Malaysia. Pembudayaan penyelidikan, pembangunan dan inovasi turut menjadi tujahan utama kementerian yang perlu disuburkan bagi menonjolkan kehebatan universiti khususnya universiti awam di negara ini.
Sekiranya perkara-perkara ini berjaya disemai, disubur dan dibudayakan di UKM pastinya UKM akan menjadi sebuah universiti yang terus dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Dato’ Ab Rahim turut menggesa semua pelajar berusaha mengukuhkan perpaduan antara mereka selain mempunyai fikiran terbuka, tidak taksub dan mudah terpengaruh kepada sesuatu aliran pemikiran tanpa berfikir secara objektif dan adil.
Generasi muda hari ini harus bersyukur dengan pencapaian negara hasil sumbangan generasi terdahulu, namun perlu terus bersama membangunkan negara dengan meningkatkan pencapaian sedia ada serta memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan yang wujud.
Beliau mengajak pimpinan pelajar menjadi pemimpin membawa perubahan dikalangan pelajar untuk mendokong usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 nanti.
Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Dr Othman Abdul Karim, Presiden PMUKM, Ahmad