Assalamualaikum wbt.
Selawat dan salam buat Junjungan Baginda Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga Baginda, para sahabat, tabien, serta mereka yang bersama meneruskan risalah dakwah hingga hari kiamat.
Fasa Terakhir Bulan Ramadhan
Alhamdulilah kita kini sudah memasuki fasa terakhir bagi bulan penuh barakah, bulan Ramadhan al-Mubarak. Di sana sini kedengaran suasana Aidil fitri itu sudah mula terasa dan menjelang tiba, dengan alunan lagu lagu raya telah mulai berkumandang di radio juga kaca televisyen.
Kebanyakan umat Islam juga sudah mulai mengunjungi pasaraya dan gedung perniagaan bagi membeli keperluan pakaian dan peralatan untuk berhari raya. Tidak kurang juga sesekali kita akan melihat lori-lori kecil berselisih menghantar sofa, permaidani, TV, peti ais dan meja makan yang kesemuanya dibeli baru demi menyambut Hari Raya Aidil Fitri.
Inilah penangan Aidilfitri. Pendek kata semua pihak telah bersedia benar untuk menyambut hariraya Aidilfitri pada tahun Hijrah 1432 ini.
Cuba imbas kembali sepuluh hari sebelum kita menyambut Ramadhan tiba pada bulan lalu, kita tidak begitu gembira dan riang sebagaimana hari ini, malah kita jadi risau dan bersedih pula kerana bakal menghadapi keadaan tidak makan dan minum pada siang hari, di samping terpaksa pula menjaga kesopanan diri demi menghormati Ramadhan
Ironinya apabila sepuluh hari lagi untuk menyambut hari lebaran ini, maka keriangan pada wajah kita dan cara menyambutnya jelas di luar kebiasaan.
Sekadar renungan, tidakkah kita takut jika ini adalah Ramadhan terakhir bagi kita?
Memburu Malam al-Qadr
“Sesiapa yang ingin mencari Lailatulqadar hendaklah pada malam kedua puluh tujuh (27)” dan dikuatkan lagi dengan hadis riwayat Muslim yang bermaksud “ Carilah dengan segala upaya kamu malam al-Qadar pada malam ganjil dari 10 malam akhir Ramadhan”.
Kini kita telah masuk pada penghujung bulan Ramadhan, yang bererti kini kita telah masuk pada sepertiga terakhir yang berisikan sepuluh atau barangkali hanya sembilan hari saja untuk kita rebut ganjaran Ramadhan yang berlipat kali ganda.
Maha Benar Allah SWT bahawa ketika menyebut hari-hari di bulan Ramadhan hanyalah ayyaam ma’dudaat (beberapa hari yang telah ditentukan) yang cepat dan singkat, namun di dalamnya berisikan kemuliaan dan keberkatan yang luar biasa.
Kita sedia maklum mengetahui malam al-Qadar itu hanya berlaku pada satu malam daripada sebulan di bulan Ramadhan. Maka al-Qadr ini menjadi suatu perangsang motivasi kepada seluruh umat Islam yang beriman agar berebut dan berlumba-lumba untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan cara melipatgandakan amal ibadat pada di malam-malam terakhir Ramadhan al-Mubarak ini.
Sekali pandang, inilah taktik dan ujian serta hikmah untuk kita mengapa Allah menyembunyikan Lailatulqadar itu dari pengetahuan kita.
Sebagai penutup, sebagai motivasi kepada kita semua umat Muhammad, Dari Abu Hurairah r.a , Nabi s.a.w telah bersabda; Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan (imaanan) dan penuh mengharap (ihtisaaban) nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu (Al-Bukhari:1901 dan Muslim: 760).
اللهم إنك عفو تحب العفوفاعف عني
"Maksudnya: Ya allah! Engkaulah yang Maha Pemaaf dan Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah diriku."
Wan Ahmad Fahmi bin Wan Abdul Hamed
Pengerusi Biro Kerohanian & Pembangunan Insan PMUKM
MPP Kerusi Umum Tahun 3/4