YB. Dato' Saifuddin Abdullah |
Pada hari Selasa, saya di forum anjuran MPP Universiti Malaya (UM), bertajuk “Dimensi politik baru mahasiswa”, bersama Bukhairi Sufian, Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) dan Marwan Kahar, Presiden Karisma. Moderatornya Izham Ismail, Yang Dipertua MPPUM.
Keesokannya pula, saya di program bedah buku saya, Politik Baru, anjuran MPP Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Moderatornya Yang Dipertua MPPUKM, Ahmad Shukran Shaharudin.
Kehadiran mahasiswa di kedua-dua program itu amat menggalakkan, iaitu hampir memenuhi tempat-tempat yang disediakan. Kedua-dua mahasiswa yang menjadi ahli panel di forum MPPUM itu telah mengutarakan penghujahan dengan begitu baik dan beretika.
Begitu juga kedua-dua moderatornya. Soalan-soalan hadirin di kedua-dua program pula banyak dan berkualiti.
Kedua-dua buah universiti ini antara universiti tertua negara dan terkenal dengan sejarah dan tradisi gerakan mahasiswanya. Justeru, perbincangan di kedua-dua program di ambang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini, sedikit sebanyak dapat memberi gambaran akan pemikiran mahasiswa terhadap PRU tersebut.
PRU13 ialah PRU pertama yang berlangsung setelah kita meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik. Ia sebahagian daripada transformasi politik yang digerakkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Beliau memahami dan mengiktiraf suara dan peranan mahasiswa dalam politik.
Kini, mahasiswa bebas berpartisipasi dalam PRU13 dan tiada siapa boleh menggunakan Auku untuk menakut-nakutkan.
Pertama, mahasiswa boleh bertanding sebagai calon bebas, calon gerakan mahasiswa, calon gerakan masyarakat sivil dan calon parti politik.
Kedua, mahasiswa boleh menjadi pencadang, penyokong dan wakil calon bagi mana-mana calon yang bertanding, tidak kira calon itu mahasiswa ataupun tidak.
Ketiga, mahasiswa boleh berkempen. Mereka boleh melakukannya dengan turun padang, iaitu berceramah, bertugas di bilik gerakan, menjadi jentera di pusat daerah mengundi, menemui pengundi secara bersemuka dan sebagainya; atau berkempen melalui media, terutamanya media sosial.
Keempat, mahasiswa boleh menjadi pemerhati PRU13. Mereka boleh mendaftar dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), atau dengan Bersih dan badan-badan lain, atau secara gerakan mahasiswa sendiri.
Kelima, berperanan dalam media, iaitu sebagai penulis, wartawan, jurugambar dan jurukamera yang menganalisis, melapor dan merakam perjalanan PRU13.
Keenam, sebagai penyelidik atau pembantu penyelidik yang membuat kajian tentang perkembangan, perjalanan dan keputusan PRU13.
Dan akhirnya, ialah sebagai pengundi. Umumnya, kebanyakan mahasiswa dianggarkan bersikap non-partisan. Mereka dianggap pengundi atas pagar. Saya menggunakan istilah “golongan pertengahan”.
Apabila dicampurkan dengan kumpulan-kumpulan lain, contohnya, mereka yang berpendidikan tinggi, pensyarah, guru, profesional, usahawan dan aktivis masyarakat sivil, maka, golongan pertengahan membentuk kira-kira 30 peratus daripada jumlah pengundi.
Bagi kerusi-kerusi yang dimenangi dengan majoriti kecil dalam PRU12, kali ini, undi golongan pertengahan amat menentukan.
Satu daripada kerusi itu ialah Parlimen Temerloh. Ia saya menangi pada PRU12 dengan majoriti 2,441 undi. Pada masa itu, jumlah mahasiswa yang mengundi di kerusi ini tidak dapat dipastikan. Untuk PRU13, dianggarkan terdapat lebih 1,200 pengundi mahasiswa. Jadi, bayangkanlah kuasa mahasiswa dalam PRU13.
Saifuddin Abdullah
18 Mac 2013
Sumber : www.sinarharian.com.my
AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI