Ahad, Mac 03, 2013

BB1M : MAHASISWA CERDIK POLITIK

BB1M

Dalam politik 'kerajaan' dan 'parti politik yang membentuk kerajaan' adalah dua entiti yang berbeza. Kerajaan adalah hak milik seluruh rakyat. Dana kerajaan juga datangnya daripada rakyat dan untuk rakyat. Rakyat berhak menerima agihan hasil titik peluh mereka melalui apa pun cara. Kerajaan pula bertanggungjawab menyampaikan hak rakyat menerusi apa jua cara.

Maka di saat kerajaan persekutuan menjalankan amanah mereka untuk meringankan beban hidup rakyat, kenapa timbul soal balas budi dengan mengundi parti politik kerajaan iaitu UMNO? Kenapa timbul soal sumpah ikrar wajib mengundi parti politik kerajaan iaitu BN? Kondisi sebegini seharusnya tidak berlaku dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. Sama ada BR1M atau BB1M, ianya tidak seharusnya dijadikan 'gula-gula' politik untuk menarik perhatian ramai. Memilih mana-mana parti politik untuk menerajui kerajaan tidak semudah mengira angka 250 atau 500. Terdapat pelbagai lagi faktor pro dan kontra yang harus diteliti dan diadili agar tiada pihak yang dizalimi.

Ini kerana dana kerajaan bukan duit parti politik yang membentuk kerajaan. Dari sumber peruntukan mana pun ianya didapati, yang jelas ianya milik kerajaan atau lebih tepat lagi adalah duit rakyat yang menjadi amanah untuk diuruskan oleh kerajaan. Jadi ucapkan sahaja terima kasih kita kepada kerajaan persekutuan. Ucapan syukur kita pula kepada Tuhan pemilik seluruh kerajaan.

Soal undi untuk memilih parti politik mana yang akan membentuk kerajaan akan datang biarlah rakyat sendiri menentukan. Biarlah mahasiswa sendiri membuat pilihan. Apakah mungkin jika bukan UMNO-BN yang membentuk kerajaan persekutuan nanti maka semakin banyak hak rakyat yang akan tertunai? Mungkinkah juga ianya lebih daripada sekadar BB1M? Mahasiswa cerdik politik pasti memahami semua ini.

 
Azrai bin Ahmad Zamri
Pengerusi Biro Pembangunan Mahasiswa PMUKM
Sesi 2012-2013

Presiden PESEPSI UKM
(Kelab Mahasiswa Sejarah, Politik dan Strategi)



AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI