Khamis, Mac 14, 2013

TAHNIAH UKM : UKM BEDAH PESAKIT SEDAR

Keratan Akhbar BH, 14 Mac 2013
Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat pencapaian menakjubkan apabila melakukan pembedahan pertama iaitu Awake Craniotomy dalam situasi pesakit masih sedar.


Pembedahan dilakukan sekumpulan pakar di Pusat Perubatan UKM bagi mengeluarkan ketumbuhan dikenali sebagai Eloquent Brain tanpa memberi kesan kerosakan kepada otak.


Ia adalah bahagian yang mengawal fungsi penting seperti komunikasi, persepsi, interaksi dan pergerakan.


Pakar Bedah Neurologi, Profesor Madya Dr Ramesh Kumar, berkata pesakit perlu disedarkan ketika pembedahan bagi membolehkan pemotongan maksimum bagi memastikan tiada kecederaan berlaku pada tisu otak normal.

Tidak hilang fungsi

Katanya, ia untuk menentukan pesakit tidak kehilangan fungsi yang boleh menjejaskannya ketika proses pembuangan ketumbuhan.


Caranya melalui maklum balas pesakit ketika pembedahan. Pesakit ditanya beberapa soalan dan disuruh melakukan perkara mudah.


Ia bertujuan memastikan bahagian otak yang mengawal fungsi itu tidak mengalami kerosakan. Jika terdapat perubahan negatif pada fungsi dan reaksi, pembedahan akan dihentikan, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada BH, di sini, semalam.


Dr Ramesh dibantu tiga pakar bedah, Dr Toh Charng Jeng, Dr Sanmugarajah Paramasvaran dan Dr Ainul Jaffar serta pakar bius, Dr Esa Kamaruzaman.

MRI tak cukup tepat

Katanya, walaupun terdapat teknologi pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk mengesan ketumbuhan, tetapi belum cukup tepat, malah kerosakan pada bahagian ini walau cuma satu milimeter, boleh menyebabkan pesakit cacat.


Walaupun imbasan MRI dapat menunjukkan bahagian pertuturan dan pergerakan, tetapi ia tidak menunjukkan bahagian penting dan tepat. Justeru, pemetaan otak dibuat dengan rangsangan elektrik ketika pesakit sedar, katanya.


Sumber : www.bharian.com.my



AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI