PMUKM 2014/2015

Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti

Muhammad Sallehudin Bin Khalid

Presiden PMUKM Sesi 14/15

Universiti Kebangsaan Malaysia Varsiti Tercinta

Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan

Ucapan Tun Abdul Razak

Majlis Konvokesyen Pertama UKM

Sabtu, Mei 29, 2010

PERASMIAN MMTK 2010 DAN PENGENALAN MPP PERUBATAN SESI 2009/2010

SUMBER : Dr-Mahasiswa


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera daripada MPP anda!

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kejayaan dan kelancaran program Perasmian Minggu Mesra Tahun Klinikal pada malam 28 Mei 2010 bertempat di Auditorium PPUKM. Jutaan terima kasih buat para tetamu VIP iaitu Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy selaku Timbalan Dekan (Pengajian Pra Siswazah dan Hubungan Masyarakat) Fakulti Perubatan UKM, saudara Mohamad Azizuddin Fahmi Bin Nordin selaku YDP PERSIAP, saudara Mohamad Hafizzudin Bin Mohame Tahir selaku YDP JAKSA KTDI, saudara Syukri Hasim selaku Naib YDP JAKSA KTDI, dan semestinya para pelajar tahun 3 yang menghadirkan diri. Terima kasih juga buat 'senior' yang sudi hadir memeriahkan majlis. Setinggi-tinggi tahniah buat organisasi yang bertungkus-lumus menjayakan acara tersebut.

Program bermula pada jam 8.30 malam dan dirasmikan oleh bonda Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy. Beliau titipkan mutiara kata yang sangat berharga tentang kepentingan untuk melatih diri bersifat rendah diri dan tidak suka menunjuk-nunjuk di samping bersungguh-sungguh menimba ilmu sepanjang pengajian untuk bergelar doktor perubatan.

MPP Fakulti Perubatan, saudari Farih Najihah Hashim turut berucap dengan menyuarakan harapan agar warga baru PPUKM yakni mahasiswa perubatan tahun 3 akan terus bersemangat melibatkan diri dalam program sepanjang MMTK dan program-program anjuran badan-badan organisasi pelajar yang akan datang sebagai sokongan terhadap usaha murni untuk kebaikan bersama.

Hadirin turut diceriakan dengan gimik perasmian yang sesuai dengan tema orientasi kali ini iaitu "Menerokai Gerbang Klinikal". Prof. Dr. Zaleha menggunting riben perasmian serta menyarungkan 'white coat' kepada pelajar tahun 3 yang melangkah ke pintu gerbang sebagai simbolik tema minggu orientasi kali ini.

Setelah Prof. Dr. Zaleha diiringi tetamu-tetamu VIP beredar untuk majlis jamuan, acara malam tersebut diikuti oleh program pengenalan MPP dan sesi ramah mesra yang mendapat sambutan yang baik daripada para pelajar tahun 3. Penekanan diberikan terhadap Kempen 'Saya Mahasiswa Prihatin' yang merangkumi pendedahan tentang prosedur memohon bantuan Tabung Kebajikan UKM untuk membantu para pelajar yang memerlukan. MPP Umum, Alia Suzana Asri menegaskan jika bukan kita yang ditimpa musibah, maka jangan diabaikan rakan-rakan yang dalam kesusahan, pastikan kita berusaha membantu mereka sedaya mungkin dengan menggunakan saluran yang betul.

MPP juga mengajak adik-adik tahun 3 untuk sama-sama rmenyaksikan 'warna sebenar' doktor-doktor atau guru-guru yang dianggap 'garang'. Hakikatnya, mereka menanti para pelajar untuk mencurahkan ilmu mereka dengan harapan para pelajar mampu menjadi doktor yang cemerlang kelak. Akhirnya, program ringkas dan padat tersebut melabuhkan tirainya pada jam 10 malam.

Terima kasih atas kerjasama dan sokongan anda semua. Harapan kami agar anda aktif memberikan masukan yang membina untuk kesejahteraan bersama. Suara anda, tetap menjadi keutamaan kami kerana kami juga mahasiswa yang sama-sama mengejar kejayaan yang diimpikan. Semoga program yang telah dijalankan memberi manfaat buat semua dan mendapat redha Allah subhanahu wataala.


Selamat Menerokai Gerbang Klinikal!



"SUARA ANDA KEUTAMAAN KAMI"
IKHLAS dari KAMI MPP FAKULTI PERUBATAN

~ALIA~FARIH~NASIHA~

Selasa, Mei 25, 2010

KENYATAAN RASMI MEDIA GMUKM TERHADAP PENAHANAN 4 MAHASISWA UKM

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) kesal dengan peristiwa penahanan empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia oleh pihak polis di Hulu Selangor dan menyifatkan tindakan tersebut seolah-olah berundur ke belakang ketika masyarakat dunia khususnya para belia dituntut mempunyai rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap pentadbiran dan pembangunan negara hari ini.

Menyoroti hari kejadian tersebut, mereka ditahan dalam sebuah sekatan jalan raya di Hulu Selangor bersama tiga orang awam yang lain. Kemudiannya, Pihak pentadbiran UKM telah mengeluarkan surat pertuduhan terhadap empat orang mahasiswa tersebut pada 13 Mei lalu.

Empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik tersebut ialah Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai. Mereka akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM pada 2 dan 3 Jun ini atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang di bawah seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang bermaksud;

"Tiada seorang pun pelajar universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut perlembagaan boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap - (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia".

Ironinya semua pertuduhan tersebut ditujukan kepada empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik. Sudah menjadi kebiasaan kepada setiap mahasiswa untuk turun ke lapangan masing-masing bagi menimbau sebanyak mungkin pengalaman dan mengukuhkan pemahaman. Di mana lagi lapangan bagi mahasiswa jurusan Sains Politik sekiranya bukan dalam pilihan raya. Ini ternyata bercanggah dan tidak logik bagi akal apabila seorang yang sedang menduduki jurusan di dalam kuliah universiti secara teori tetapi disekat hak akademik mereka untuk mengorientasikan pembelajaran mereka ke lapangan sebenar.

Dalam sidang media baru-baru ini, Muhammad Hilman selaku Presiden Kelab Sains Politik telah menegaskan bahawa penahan beliau bersama tiga orang yang lain adalah sangat tidak munasabah bagi mereka yang mendalami jurusan Sains Politik.

“Menjadi adat sebagai mahasiswa jurusan sains politik untuk turun ke lapangan pilihan raya. Kalau mahasiswa perubatan turun ke hospital. Bagi jurusan sains politik, kami turun ke lapangan pilihan raya untuk lihat bagaimana politik (yang) sebenar berlaku,"
kata Muhammad Hilman Idham

Dakwaan ‘
menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap - (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia ‘ pula nyata gagal dibuktikan dengan jelas apabila salah seorang mahasiswa yang ditahan menegaskan bahawa mereka kebetulan ‘hanya menumpang kereta seorang aktivis’ dan ‘bukan berkempen’. Justeru tindakan pegawai Hal Ehwal Pelajar yang terus menuduh mahasiswa tersebut menyokong Pakatan Rakyat nyata dikesali dan memalukan seluruh warga Universiti Kebangsaan Malaysia kerana bertindak kurang rasional dan kebudak-budakkan.

AUKU yang sangat diagung-agungkan oleh pihak pentadbiran UKM ternyata sudah tidak releven lagi. Ini ternyata telah membantutkan pertumbuhan idealisme mahasiswa sejurus mengurangkan kredibiliti mahasiswa sebagai pemimpin pada masa akan datang.

“ Kenapa kerajaan perlu sekat kebebasan bersuara mahasiswa melalui AUKU sekiranya kerajaan berada di pihak yang benar. Kami sebagai mahasiswa hanya ingin menyuarakan pandangan serta pendapat terhadap sesuatu isu. Kerajaan sepatutnya menjadikan lontaran idea dari kalangan mahasiswa sebagai batu lonjakan bagi memperbaiki sistem pentadbiran Negara ke arah yang lebih baik.Sepertimana yang kita sedia maklum, kebanyakan IPTA di Malaysia mencatatkan penurunan rangking Asia.Jika kerajaan terus menerus menyekat idealisme mahasisa, saya khuatir kualiti mahasiswa-mahasiswa yang dilahirkan akan terus jatuh dan akhirnya akan menyebabkan Malaysia semakin terkebelakang akibat tidak mampu melahirkan mahasiswa yang berfikiran kritikal dan kritis.” tegas Mohd Hafiz B Abdul Razak selaku Pengerusi GMUKM

Mahasiswa perlu diiktiraf sebagai generasi pelapis kepimpinan negara yang bakal menerajui kemajuan dan ketamadunan Malaysia pada masa akan datang. Hak dan kebebasan mahasiswa seharusnya tidak wajar disekat dan diikat. Justeru, tidak seharusnya kebobrokan dalam kampus terus dibiar berleluasa yang mana ianya melambangkan pentadbiran yang tidak profesionalisme dan korup. Usaha yang gigih tanpa disulami kepentingan politik perlu digarap oleh setiap segmen masyarakat demi melahirkan mahasiswa yang berjiwa pemimpin yang bakal mencorakkan kegemilangan negara.


Justeru itu, GMUKM menggesa;
1. pihak pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menarik balik semua pertuduhan dan prosiding yang bakal dijalankan ke atas empat orang mahasiswa Sains Politik berkenaan.

2. pihak pentadbiran universiti di Malaysia tidak menyekat dan menakut-nakutkan seluruh persatuan mahasiswa dan ahli persatuan dengan menyatakan bahawa tindakan tatatertib akan diambil ke atas mahasiswa sekiranya mereka lantang menyuarakan hak dan pandangan masing-masing kerana hal ini jelas menyanggahi saranan
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah pada 21 Mei 2010 yang lalu; yang antara lain menyebut pihak IPTA seharusnya mewujudkan suasana yang lebih kondusif supaya mahasiswa tidak takut untuk menyuarakan apa saja pendapat mereka termasuk mengenai politik, demi menyemarakkan budaya berfikir secara kritis di kalangan pelajar.

4. Pihak kerajaan Malaysia mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh para mahasiswa selaku orang muda dalam menghidupkan sesebuah kelompok masyarakat negara pada hari ini. Tindakan menyekat dan menakut-nakutkan golongan ini akan membantutkan pertumbuhan dan pembinaan bakal para pemimpin negara yang berkualiti dan berfikiran kritis.

*Kenyataan media, Pimpinan Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM)

Pengerusi GMUKM : Mohd Hafiz Bin Abd. Razak
Presiden MAMPU : Ahmad Firdaus Bin Ahmad Azam
Presiden KAMI : Muhammad Hilman Bin Idham
Presiden GMLN : Mohd Fadhlan Bin Sugiman
Presiden AKSIS : Nabilah Binti Mohd Maiyidin

Isnin, Mei 24, 2010

Memorandum kepada SUHAKAM: Gugurkan kes AUKU 4 Siswa UKM

PENDAHULUAN

Empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM; Hilman Idham (Presiden), Ismail Aminuddin (Naib Presiden), Azlin Shafina Adzha (Setiausaha Agung) dan Woon King Chai (Exco) telah ditahan oleh pihak polis pada 22 April 2010, di Pekan Rasa dan Ampang Pecah semasa berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Perlimen Hulu Selangor.

Turut ditahan bersama mereka adalah tiga orang aktivis parti yang turut menaiki kenderaan yang sama (sebuah kereta dan van). Dalam penahanan itu, polis telah merampas beberapa bungkusan risalah kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga CD kempen. Kemudian pada 23 April 2010, sekitar jam 10 malam, Hilman Idham telah ditahan sekali lagi oleh pihak polis dalam sekatan jalan raya. Bersama-sama beliau adalah empat orang aktivis yang lain. Dalam penahanan ini, polis hanya menjumpai sekeping VCD ceramah parti politik.

Atas kejadian ini, keempat-empat mahasiswa ini akan di dakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 yang berbunyi :

15 (5) Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap-

a. Mana-mana parti politik sama ada di ada di dalam atau di luar Malaysia.

Walau bagaimanapun, keempat-empat mereka akan didakwa pada tarikh yang berbeza. Hilman Idham akan didakwa pada 2 Jun 2010 manakala yang lain akan didakwa pada 3 Jun 2010, pada jam 9 pagi di Bilik Mesyuarat Canselori, Aras 6, Bangunan Canselori UKM.

KEBEBASAN BERSUARA MAHASISWA

Tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap empat orang mahasiswa ini jelas mencabuli hak mahasiswa. Selain itu, tindakan tersebut juga tidak mencerminkan kebebasan akademik oleh universiti. Universiti sepatutnya mempunyai tanggungjawab dalam menyediakan keadaan konduksif yang menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam lapangan bidang yang mahasiswa pilih di universiti.

Universiti juga perlu menggalakkan mahasiswa-mahasiswa menglibatkan diri secara aktif lapangan yang merangsang pemikiran mahasiswa. Pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak seharusnya mengehadkan sebarang aktivism mahasiswa atas alasan berunsurkan politik. Sebaliknya, pihak universiti perlu menggalakkan mahasiswa berkomunikasi dan berinteraksi dengan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik dan ideologi dan ini merupakan entiti mahasiswa selaku 3 force dalam masyarakat. Dengan menghadkan penglibatan mahasiswa dan mengenakan tindakan AUKU sebegini, jelas memberikan kesan yang buruk terhadap kredibiliti universiti.

KEBEBASAN AKADEMIK DISEKAT

Kita juga kesal dan hampa dengan peraturan universiti yang menyekat hak dan kebebasan akademik pelajar dalam mengorientasikan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik kuliah. Ini jelas ditunjukkan oleh HEP UKM yang mendakwa pelajar ini sedangkan pelajar yang dituduh adalah Mahasiswa Jurusan Sains Politik, UKM.

SMM merasa kecewa kerana mahasiswa yang mengambil jurusan Sains Politik sendiri tidak dibenarkan dan hadir untuk menyaksikan pilihan raya untuk pengaplikasian dan memperkukuhkan pemahaman di dalam kos yang mereka ambil dan ini jelas bertentangan dengan hak dan kebebasan akademik mahasiswa itu sendiri.

Jika mahasiswa disekat dengan sebegini rupa, bagaimana daya keintelektualan dan pengembangan akademik dapat diterapkan dan sekaligus memacu pemahaman yang berkesan di dalam sesuatu bidang yang diambil oleh mahasiswa. Tambahan pula, tindakan ini juga telah mencacatkan penjenamaan UKM sebagai universiti penyelidikan.

SMM DESAK GUGUR PERTUDUHAN

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan front-front mahasiswa yang lain dengan lantang mendesak agar pihak Hal Ehwal Pelajar UKM menarik balik segala pertuduhan yang dikenakan ke atas pelajar yang berkenaan kerana telah menyimpang daripada norma-norma kebebasan akademik dan hak dan kebebasan untuk bergerak selaku warganegara di Malaysia ini.

Seluruh mahasiswa mengutuk tindakan HEP UKM yang dengan sengaja dan tidak bertanggungjawab cuba untuk menakut-nakutkan mahasiswa dengan peraturan dan tindakan yang jauh menyimpang dengan nilai intelektual yang seharusnya diterapkan oleh pentadbiran universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

TUNTUTAN MAHASISWA

Justeru itu, mahasisswa berpendirian bahawa beberapa tuntutan dan perubahan harus dilaksanakan dengan kadar segera, iaitu;

1. Membatalkan semua tuduhan dan tindakan tatatertib terhadap empat orang mahasiswa serta-merta dan tanpa sebarang syarat.

2.Menghormati autonomi mahasiswa dalam dalam keterlibatan mahasiswa di lapangan masyarakat serta menghentikan segala intimidasi terhadap mahasiswa-mahasiswa.

3.Mematuhi dan menghormati kebebasan bersuara mahasiswa seperti yang terdapat dalam Artikel-19 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan Artikel-10 Perlembagaan Malaysia.

4. Memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk terlibat dan bersuara di dalam apa jua aktiviti yang membina karisma dan idealisme tanpa dikongkong dan disekat atau diancam dengan ugutan oleh mana-mana pihak mahupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Justeru, Mahasiswa pada hari ini menggesa agar memorandum ini dapat diambil perhatian dengan sewajarnya oleh pihak SUHAKAM untuk diketengahkan dan dibincangkan dari sudut undang-undang dan hak asasi manusia dan tidak ditolak mentah-mentah.

Mahasiswa perlu diiktiraf sebagai generasi pelapis kepimpinan negara yang bakal menerajui kemajuan dan ketamadunan Malaysia pada masa akan datang. Hak dan kebebasan mahasiswa seharusnya tidak wajar disekat dan diikat. Justeru, tidak seharusnya kebobrokan dalam kampus terus dibiar berleluasa yang mana ianya melambangkan pentadbiran yang tidak profesionalisme dan korup. Usaha yang gigih tanpa disulami kepentingan politik perlu digarap oleh setiap segmen masyarakat demi melahirkan mahasiswa yang berjiwa pemimpin yang bakal mencorakkan kegemilangan negara.

Mahasiswa menaruh harapan yang besar kepada pihak SUHAKAM bagi membawa tuntutan dan pendirian ini kepada pihak kerajaan. Kerjasama dan perhatian segera dalam perkara ini sangatlah kami hargai.

PENUTUP

Di peringkat mahasiswa, kita akan melancarkan segala bentuk strategi dan cuba untuk meraih sokongan dari dalam dan luar negara Malaysia berkenaan dengan tindakan pihak Hal Ehwal Pelajar UKM. SMM secara konsisten akan terus membantu dan menyokong penuh perjuangan membela empat orang mahasiswa ini. SMM juga akan melakukan mobilasi untuk menghimpunkan mahasiswa sepanjang tempoh perbicaraan kes ini berlangsung.

Kita yakin bahawa teman-teman kita yang akan didakwa ini telah bersedia untuk berhadapan dengan kes ini. SMM juga dengan ini menyeru seluruh pergerakan mahasiswa dan anak muda termasuk seluruh Persatuan Mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti di Malaysia untuk bangkit menyatakan pendirian masing-masing berhubung kes pendakwaan ini.

*Disediakan oleh SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM).

Sabtu, Mei 22, 2010

'Boleh kritik di Sudut Pidato'

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi memberi jaminan tiada tindakan akan diambil terhadap mahasiswa yang memberikan pandangan kritis, termasuk mengkritik dasar kerajaan atau universiti, ketika berpidato di Sudut Pidato institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pandangan mahasiswa sekali pun berbeza dengan dasar harus dihormati kerana mereka mungkin ada pertimbangan dan rasional tersendiri dalam menilai suatu perkara atau isu.

Justeru, beliau mengingatkan pihak universiti tidak bersikap terlalu `keras’ dalam membuka peluang berpidato itu dan jangan sewenang-wenang mengenakan tindakan tata tertib serta melabel mahasiswa yang meluahkan pandangan berbeza sebagai golongan berhaluan kiri mahu pun antikerajaan.

“Saya memberi jaminan pihak universiti tidak akan, malah mereka tidak sepatutnya mengambil tindakan, selagi mahasiswa yang berpidato tiada melakukan perbuatan menghasut yang jelas melanggar undang-undang.

“Kita mesti menghidupkan budaya berfikiran kritis di kampus, satu daripada tujuh kemahiran insaniah yang penting untuk dikuasai oleh mahasiswa sebagai pemimpin pelapis,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan kebimbangan dikenakan tindakan oleh pihak universiti dan tidak berminat berpidato adalah antara sebab Sudut Pidato di IPTA mendapat sambutan dingin mahasiswa.

Perkara itu didedahkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mendakwa pihak Hal-Ehwal Pelajar (HEP) IPTA juga akan menganggap mahasiswa yang berpidato isu sensitif sebagai penyokong pembangkang.

Dalam konteks ini, Saifuddin turut menasihatkan pihak universiti tidak mengenakan pelbagai syarat yang boleh menyebabkan mahasiswa berasa dikekang untuk berpidato.

Sebagai contoh, beliau berkata, universiti tertentu mensyaratkan mahasiswa mendaftar diri, malah ada yang meminta teks ucapan untuk tujuan saringan, sebelum mereka dibenar menggunakan Sudut Pidato.

“Semua ini tidak perlu, sebaliknya pihak universiti harus memberi sedikit kepercayaan bahawa mahasiswa akan bertanggungjawab (ketika berpidato).

Mahasiswa boleh mengeluarkan pandangan berbeza dan pendapat mereka itu boleh dibalas balik oleh mahasiswa lain yang tidak bersetuju melalui pentas Sudut Pidato,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian tidak berhasrat untuk mengeluarkan pekeliling khusus atau mengadakan perjumpaan khas dengan IPTA sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan mahasiswa dan pentadbir universiti selaras kuasa autonomi yang diberikan.

BH Online

Sudut Pidato: IPTA Diminta Jangan Terlalu Cepat Menghukum

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini diminta agar tidak terlalu cepat menghukum pelajar yang mengutarakan pendapat berbeza di Sudut Pidato yang disediakan di IPTA masing-masing.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata IPTA sebaliknya harus mewujudkan suasana yang lebih kondusif supaya mahasiswa tidak takut untuk menyuarakan apa saja pendapat mereka termasuk mengenai politik, bagi menyemarakkan budaya berfikir secara kritis di kalangan pelajar.

"Saya nak ingatkan supaya sekiranya dalam Sudut Pidato itu pelajar menyuarakan sesuatu yang dianggap bertentangan atau berlainan jangan hukum. Kalau dia salah betulkan dengan cara yang bijaksana.

"Kalau kita mula menghukum siapa pun tak nak pergi ke Sudut Pidato, jadi menghukum itu harus menjadi tindakan yang akhir," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-2 Kolej Antarabangsa Taj, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Jumaat.

Saifuddin sebelum ini menyuarakan kekecewaan apabila Sudut Pidato yang disediakan di IPTA tidak mendapat sambutan. Antara sebab yang dikenal pasti ialah kebimbangan dikenakan hukuman sekiranya meluahkan pendapat berbeza dengan arus perdana.

Saifuddin berkata dunia akademik adalah dunia pemikiran kritis, justeru kementerian mahu mahasiswa mempunyai pemikiran kritis itu di dalam dan luar kuliah.

"Kita jangan cepat sangat melabelkan mereka sebagai pembangkang atau penentang. Ada masanya tak betul pun sebab mereka bukan pembangkang atau penentang sebaliknya cuma berbeza pandangan, mungkin kerana dia memang ada idea yang berbeza atau mungkin kerana dia tak dapat maklumat sebenar.

"Jadi lebih baik diluahkan pandangan yang berbeza itu di dalam kampus, kalau salah boleh dibetulkan, daripada dia pendam dan kita pun tak tahu apa yang dia fikirkan," katanya.

Saifuddin berkata promosi juga perlu dilakukan bagi memastikan pelajar tahu mengenai acara itu.

Sementara itu Saifuddin berkata pihak swasta disaran agar tidak hanya tertumpu ke kawasan Lembah Klang bagi mewujudkan institusi pengajian tinggi, malah turut melebarkan sayap mereka ke kawasan lain di seluruh negara.



-- BERNAMA

RENCANA : Benarkah Teknologi Nuklear Selamat?

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Kira-kira 24 tahun lepas, bumi Ukraine, ketika itu di bawah Kesatuan Soviet, dikejutkan dengan insiden letupan yang berlaku di loji janakuasa nuklear Chernobyl akibat kegagalan reaktor keempatnya.

Insiden yang berlaku pada 26 April 1986 itu menyebabkan kepulan asap radioaktif memasuki ruang udara sebelum menyelubungi kawasan berdekatan, termasuk di bandar Pripyat.

Asap dan debu radioaktif itu kemudian bergerak meliputi sebahagian kawasan barat Kesatuan Soviet dan sebahagian kawasan timur, barat dan utara Eropah, memaksa lebih 336,000 penduduk Ukraine, Belarus dan Rusia dipindahkan.

Dilaporkan beribu-ribu nyawa terkorban ekoran insiden itu, akibat terdedah kepada radiasi dan kemudian ramai lagi mati disebabkan kanser dan komplikasi lain.

Begitulah dahsyatnya risiko membabitkan insiden loji janakuasa nuklear.

Sehingga hari ini, Chernobyl diklasifikasikan sebagai tragedi terburuk dalam sejarah peradaban manusia sejagat dan merupakan satu-satunya insiden tahap ketujuh dalam "International Nuclear Event Scale".

Rentetan daripada fakta sejarah itu, tidak hairanlah kenapa sebilangan besar rakyat, individu atau badan bukan kerajaan (NGO), memberikan reaksi pelbagai mengenai cadangan pembinaan janakuasa nuklear pertama di negara ini pada 2021.

KRISIS TENAGA

Persoalan pokok yang menjadi perhatian ialah adakah loji janakuasa nuklear yang akan dibina itu selamat dan bagaimana sisa buangan radioaktifnya diuruskan?

Beberapa saintis merumuskan opsyen nuklear sebagai sumber tenaga elektrik pasca 2020 tidak boleh ditolak selepas negara diramalkan mengalami krisis tenaga jika masih bergantung kepada sumber fosil yang semakin menyusut.

Hakikatnya, teknologi nuklear bukanlah perkara asing kepada Malaysia kerana negara ini mempunyai reaktor nuklear, Reaktor Triga Puspati (RTP) yang beroperasi sejak 1982 bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan dalam bidang perubatan, pertanian dan kajian neutron.

Malaysia juga dikatakan mempunyai jumlah pakar nuklear tertinggi di rantau Asia Tenggara dengan kebanyakannya bertugas di Agensi Nuklear Malaysia, sebelum ini dikenali sebagai Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT).

Syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad meramalkan keperluan kepada sumber tenaga alternatif bagi menjana elektrik semakin kritikal menjelang 2019 selepas sumber fosil khususnya gas semakin menyusut dan tidak lestari.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin pada 4 Mei lepas mengumumkan kerajaan berhasrat meneruskan projek nuklear yang pernah ditangguhkan pada 1970-an bagi menampung permintaan tenaga yang semakin meningkat ekoran peningkatan populasi dan kepesatan ekonomi.

SYARAT KETAT ANTARABANGSA

Loji janakuasa nuklear yang dicadang dibina pada 2021 dengan anggaran kos RM9.75 billon mempunyai jangka hayat 50 hingga 70 tahun.

Saintis Jabatan Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Sukiman Sarmani berkata pembinaan loji janakuasa nuklear itu tertakluk kepada syarat ketat International Atomic Energy Agency (IAEA) bagi memastikan pembinaannya mengikut spesifikasi keselamatan ditetapkan.

Beliau berkata pembinaannya juga memerlukan persediaan awal, sekurang-kurangnya 10 tahun, bagi memastikan aspek keselamatan, sumber manusia dan lokasinya diperincikan selain pembinaannya juga memakan masa yang lama.

"Reaktor yang akan kita bina ialah rektor generasi ketiga... Ia tidak sama seperti reaktor generasi pertama pada zaman 70-an, termasuk di Chernobyl.

"Reaktor generasi ketiga lebih selamat dan kurang campur tangan menusia," kata Prof Sukiman kepada Bernama menjelaskan insiden di Chernobyl berlaku disebabkan kesilapan manusia dan bukannya teknologi terbabit.

Secara ringkasnya, janakuasa nuklear akan menggunakan uranium dalam bentuk isotop untuk menghasilkan haba yang banyak daripada beberapa siri tindak balas sebelum haba itu digunakan untuk memutarkan turbin menghasilkan elektrik.

SUMBER TENAGA ALTERNATIF

Ketika ini, lebih 80 peratus daripada penjanaan elektrik negara bergantung kepada sumber konvensional fosil iaitu gas (60 peratus) dan arang batu (24 peratus) dengan selebihnya dijana daripada hidro dan biomas.

Ini bermakna sumber tenaga alternatif untuk menjana elektrik masih rapuh dengan sebahagian besarnya bergantung kepada bahan api fosil yang tidak lestari dan tidak mesra alam.

Keadaan ini bertentangan dengan hasrat Malaysia yang mahu bergerak ke arah ekonomi karbon-rendah bagi menangani perubahan iklim dunia akibat pembebasan karbon dioksida, antara lain, melalui pembakaran bahan api fosil.

Malaysia juga menetapkan sasaran mengurangkan 40 peratus emisi karbonnya dan komitmen itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Perubahan Iklim di Copenhangen, Denmark, pada akhir tahun lepas.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sebelum ini dilaporkan berkata, jika projek janakuasa nuklear itu dimuktamadkan, Malaysia akan menggunakan teknologi nuklear dari Korea Selatan, China, Perancis atau Jepun.

KOS YANG KOMPETITIF

Jika projek opsyen nuklear itu diteruskan, seorang pakar tenaga boleh diperbaharui Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) Dr Mohamad Yusof Sulaiman mencadangkan kepada kerajaan supaya menggunakan "Pressurised Water Reaktor" (PWR) berbanding "Boiling Water Reactor".

"Kedua-duanya ialah rektor generasi ketiga tetapi PWR lebih selamat," kata Yusof sebelum ini mencadangkan teknologi kuasa angin "offshore" dikaji sebagai sumber tenaga alternatif sebelum opsyen nuklear digunakan.

Profesor Kejuruteraan Kimia Prof Dr Hamdani Saidi berkata antara kelebihan nuklear ialah ia tidak membebaskan gas rumah hijau dan mengeluarkan tenaga yang tinggi (bermakna lebih banyak elektrik dijana) berbanding sumber tenaga lain.

"Kosnya juga lebih kompetitif berbanding bahan api fosil," kata Hamdani yang juga Pengarah Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Media pada Jun 2008 melaporkan terdapat tarikan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga elektrik memandangkan kosnya hanya USD1.72 per kilo watt berbanding USD9.63 menggunakan petroluem dan USD6.75 bagi gas.

Hamdani bagaimanapun mengakui kos permulaan bagi pembinaan janakuasa nuklear agak tinggi.

PENGURUSAN SISA

Selain aspek keselamatan loji janakuasa nuklear, antara perkara yang menjadi kebimbangan sebahagian besar masyarakat ialah mengenai pengurusan sisa bahan radioaktif yang dihasilkan.

Isu yang sama mendapat perhatian beberapa NGO antaranya Centre for Environment, Technology and Development yang dilaporkan berkata pembinaan janakuasa nuklear itu mendatangkan risiko melalui pembuangan sisa radioaktifnya.

Tidak dinafikan sememangnya terdapat perkembangan dalam teknologi penyimpanan sisa radioaktif, namun pihak berwajib misalnya Agensi Nuklear Malaysia perlu memberi penerangan yang telus mengenai perkara ini.

Ini bagi memastikan insiden membabitkan rare earth processing plant di Bukit Merah, Ipoh, yang mendapat tentangan ramai pihak pada pertengahan 1980-an tidak berulang lagi.

Dalam insiden itu, rare earth processing plant milik syarikat Asian Rare Earth (ARE) yang mengekstrak itrium (sejenis unsur nadir bumi) daripada monazit ditutup pada Januari 1994 selepas didakwa, antara lain, tidak menepati standard penyimpanan sisa buangan radioaktif.

Dalam hal ini, pihak terbabit termasuk kerajaan harus sedar dalam memenuhi keperluan bekalan tenaga untuk memacu ekonomi negara, aspek keselamatan rakyat dan kelangsungan alam sekitar tidak boleh diperjudikan dengan kajian mendalam perlu dilakukan.

Apa yang penting, pertimbangan untuk meneruskan opsyen nuklear perlu berlandaskan kepada pelbagai faktor dengan memastikan negara benar-benar berkeupayaan menguruskan sebuah loji nuklear dengan efisyen dan selamat bagi mengelak insiden seperti di Chernobyl berlaku di sini.

-- BERNAMA

Bernama menyiarkan dua artikel mengenai tenaga nuklear hari ini berikutan pengumuman Malaysia merancang membina janakuasa nuklear pertama menjelang 2021.

Jumaat, Mei 21, 2010

Dana wakaf UKM bantu pelajar miskin

BANGI 21 Mei - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan dana wakaf sebagai usaha membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan dalam membiayai yuran pengajian dan kos sara hidup.

Naib Canselornya, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, dana itu juga akan disalurkan kepada tabung kebajikan kelolaan UKM seperti Tabung Pendidikan dan Kebajikan Pelajar serta Tabung Penyelidikan dan Pembangunan Akademik.

Menurutnya, kejayaan mewujudkan dana wakaf tersebut adalah hasil kerjasama serta sokongan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selaku pemegang amanah tunggal kepada harta wakaf di negeri ini.

''Pihak MAIS juga telah memberi keizinan kepada UKM untuk membuka satu Tabung Dana Wakaf UKM di MAIS Shah Alam.

''Kita harap dengan adanya dana wakaf ini mampu memperkasakan agenda akademik, penyelidikan dan perkhidmatan UKM,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UKM dengan MAIS sempena pelancaran Dana Wakaf UKM di sini hari ini.

Malaysia Bakal 'Muflis' Pemimpin Berwibawa - Pengerusi MPMN

KUALA LUMPUR : Baru-baru ini empat mahasiswa UKM telah dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) kerana dituduh melanggar undang-undang universiti. Arahan itu telah dikeluarkan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) susulan setelah mereka ditangkap oleh pihak polis di Hulu Selangor ketika Pilihanraya kecil berlangsung di sana.

Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) telah membantah keras terhadap tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan norma demokrasi yang telah diamalkan di negara kita. "Sebagai mahasiswa, mereka berhak berada di mana sahaja dan bebas untuk menyuarakan hak mereka. "Tindakan yang dikeluarkan oleh pihak universiti itu jelas melanggar hak kebebasan bersuara di negara ini," kata Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional(MPMN), Muhammad Syafiq Abdul Aziz (gambar) kepada erapakatan.com

Menurut beliau, pihak Universiti harus sedar mahasiswa ialah aset dan agen perubah kepada kepimpinan negara, ini dilihat sebagai salah satu latihan sebelum menceburkan diri selepas keluar dari menara gading kelak.

Bagi Syafiq, jika mahasiswa disekat pemikiran dan perjuangan mereka, sudah pasti negara akan lumpuh dan ‘muflis’ kepimpinan yang berwibawa suatu hari nanti.

"Mereka tertuduh juga merupakan mahasiswa jurusan Sains Politik dan semestinya mereka perlu turun kelapangan untuk menyaksikan sendiri suasana politik Malaysia lagi-lagi ketika pilihanraya sedang berlangsung. "Ini ialah salah satu praktikal dan latihan bagi mereka selaku mahasiswa jurusan Sains Politik," kata beliau lagi.

Syafiq yang mewakili MPMN mempersoalkan mengapa pihak universiti perlu mengenakan tindakan tersebut. Bagi beliau hal ini jelas pihak pentadbiran Universiti menafikan hak kebebasan akademik.

Sehubungan itu, MPMN menggesa pihak Universiti menarik balik tindakan yang telah dikenakan ke atas mereka dan memuji tindakan mahasiswa yang mempraktikkan hak demokrasi. MPMN juga akan terus memperjuangkan kes tersebut dengan segenap rupa dan cara untuk membela dan memperjuangkan hak mereka.

"Pihak universiti jangan cuba untuk memperbodoh dan menakut-nakutkan mahasiswa dengan tindakan yang telah dikeluarkan. Pihak Universiti seharusnya bertindak lebih profesional dalam kes ini."

Tertuduh ialah Hilman Idham, Ismail Aminudin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai.
Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Universiti pada 2 dan 3 Jun 2010. Pihak MPMN mengharapkan dan menyeru kepada gerakan-gerakan kampus, NGO, ahli politik dan indvidu agar terus membela dan memperjuangkan mahasiswa yang jelas telah dicabuli hak mereka oleh pihak Universiti.

Dr. Toh Kin Woon : Mereka Berhak

KL, 20 Mei 10: Pengerusi Pusat Perkembangan Budaya LLG, Datuk Dr. Toh Kin Woon berkata, tindakan empat mahasiswa Sains Politik UKM yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor seharusnya digalakkan dan bukan diambil tindakan oleh pihak Universiti.

Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan empat pelajar tersebut sebenarnya selari dengan Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun berhak menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihanraya.

"Oleh itu, penyertaan politik ialah satu hak yang sah menurut perlembagaan, tiada sesiapa orang termasuk menteri berkuasa mencabuli hak mereka," katanya.

Empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ekoran terlibat pada PRK Hulu Selangor.

Selain itu, Kin Woon berkata tindakan keempat-empat mereka juga wajar dipuji kerana berani mempraktikkan hak demokrasi mereka dikala mendapat tekanan dari Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Akta Universiti dan Kolej Universiti (auku).

Menurutnya, kekurangan ruang demokrasi di universiti telah menjadikan ramai mahasiswa tidak prihatin terhadap masyarakat. Namun empat pelajar UKM tersebut telah membuktikan keprihatinan mereka terhadap masyarakat.

"Dengan suasana intimidasi dan amaran Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin, 4 orang mahasiswa yang mengikuti kursus politik masih berani mempraktikkan hak demokrasi mereka, tindakan ini harus digalakkan dan mendapat sokongan masyarakat.

"Sebab tindakan mereka menunjukkan pemikiran yang matang, rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap masyarakat dan pembangunan negara, ” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa Timbalan Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menggugurkan dakwaan terhadap ke empat-empat yang dituduh dan menghentikan prosiding yang dijadual 4 Jun hadapan..

Pusat Perkembangan Budaya LLG juga katanya menyarankan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menghormati hak demokrasi mahasiswa yang termaktub di dalam perlembagaan, mengusulkan pemansuhan AUKU serta merta.

Khaled katanya juga perlu merancang pelan pembaharuan pendidikan pengajian tinggi jangka masa panjang untuk menunjukkan janji ikhlas beliau dalam peningkatan kualiti IPTA.

Budaya penarafan universiti

Oleh SHAHARUDIN IDRUS
dinn6358@gmail.com

SUMBER : Utusan Online

Mengambil kira sindiran tajam yang dikemukakan oleh pemain perseorangan utama China, Lin Dan bahawa kedudukannya di ranking nombor 2 dunia bukanlah penghalang utama untuk beliau berasa merendah diri dan sukar untuk menundukkan pemain nombor 1 dunia ketika ini iaitu Datuk Lee Chong Wei dalam pertemuan separuh akhir kejohanan Piala Thomas di antara Malaysia dan China baru-baru ini.

Menurut Lin Dan apa yang lebih penting dan utama ialah menjuarai kejohanan-kejohanan utama seperti Olimpik, Kejohanan Dunia, All England dan membantu pasukannya menjuarai kejohanan Piala Thomas daripada memikirkan tentang ranking peribadi sendiri.

Pandangan ini agak menarik sekiranya sindiran ini diaplikasi dan disesuaikan dengan kedudukan ranking universiti di Asia dan di dunia. Tidaklah sukar untuk mengatakan bahawa ranking yang dikejar oleh kebanyakan universiti di Malaysia terutamanya untuk berada di dalam senarai 100 mahupun di 10 ranking terbaik dunia bukanlah sesuatu yang wajar dengan menggemblengkan seluruh tenaga, usaha dan masa warga universiti untuk terlibat sama dalam proses tersebut.

Sementelahan pula senarai kedudukan universiti yang dikeluarkan untuk menarafkan universiti itu bukanlah datang dari sebuah badan yang benar-benar berwibawa dan diiktiraf di peringkat antarabangsa serta menggunakan indikator-indikator yang sepunya serta pengadil yang mendapat latihan dan menggunakan peraturan dan garis panduan yang sama sebagaimana yang digunakan dalam badan sukan antarabangsa, misalnya Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) atau Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Laporan sebuah akhbar baru-baru ini mengenai senarai kedudukan universiti-universiti di Asia dengan meletakkan empat universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM); dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengikut kedudukan 100 di Asia menunjukkan bahawa ranking ini tidaklah menunjukkan sesuatu yang begitu penting dan utama.

Oleh yang demikian, apa yang membuatkan sesebuah universiti itu lebih dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat antarabangsa adalah sumbangan besar yang diberikan oleh universiti tersebut walau dalam apa juga bidang yang ditumpukan dan bukannya ranking itu semata-mata.

Salah satu tugas utama universiti adalah untuk menjana pelbagai ilmu baru yang dapat dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat negara ini dan dunia amnya. Tenaga para ahli akademik universiti perlu digembleng untuk menjalankan penyelidikan yang berterusan dalam bidang kepakaran masing-masing dan mampu menghasilkan teori dan ilmu baru yang mungkin merubah pandangan dunia.

Kerja penyelidikan dan penelitian bersungguh-sungguh yang dilakukan secara berterusan, sistematik, berkala dalam tempoh jangka masa yang panjang (misalnya satu generasi) untuk meneliti pokok persoalan dalam konteks bidang yang dikaji dan disokong oleh dana yang berterusan akan menghasilkan sesuatu yang baru -- teori, konsep, epistemologi, metodologi - yang akan mengubah pandangan dunia serta mengiktiraf kedudukan penyelidik di negara ini.

Penyelidikan yang dijalankan pula tidak seharusnya terkongkong dalam kelambu penyelidikan monodisiplin tetapi harus melewati sempadan penyelidikan bersifat multi-disiplin mahupun trans-disiplin sebagaimana kajian yang dilakukan oleh penyelidik luar negara terutamanya oleh universiti-universiti tersohor dunia.

Penyelidikan yang dijalankan dengan bersungguh-sungguh ini akan mengungkap pemahaman dari fenomena sedia ada dan berdasarkan budaya setempat yang terhasil daripada kekayaan ruang yang diteliti serta keluwesan epistemologi yang dipilih.

Persoalan pokok yang dikaji tersebut sedikit demi sedikit difahami, diperhalusi, dirungkai, digarap dan seterusnya dapat diartikulasikan agar menyerlahkan hubung kait di antara persoalan pokok yang dikaji tadi dengan rangkaian pemacu-pemacunya bagi mendapat bentuk dan memahami proses realiti setempat sepenuh mungkin.

Hasil penyelidikan secara berterusan ini membantu keyakinan dan kejelasan hubung kait fenomena tersebut serta menambah nilai kepada pemacu sedia ada. Penelitian sebegini yang dijalankan secara berterusan dalam tempoh masa tertentu berasaskan kerangka persoalan bidang penyelidikan akan membantu dalam menjana model, metodologi dan teori setempat.

Pembinaan dan peneguhan model, penjanaan metodologi dan teori yang didukung oleh budaya setempat akan menjadi lebih bermakna dalam mengungkapkan ruang dan persekitaran bidang penyelidikan pada masa kini dan akan datang. Teori atau hipotesis yang diungkapkan itu akan mampu menyanggah dan memperdebatkan teori atau model luar yang dipamerkan dan seterusnya meningkatkan wacana dan perbahasan dalam sesuatu bidang penyelidikan yang berhadapan dengan persoalan yang lebih mendalam.

Penyelidikan berasaskan realiti dan budaya setempat ini akan menjadi penyumbang kepada pembinaan korpus ilmu dalam bidang yang diselidiki itu sendiri dan pada masa yang sama akan mencorakkan pembangunan hala tuju bidang tersebut pada masa hadapan.

Perenungan yang dibuat mengandaikan bahawa setelah memerhatikan sekian lama pola dan aturan sesuatu kejadian itu, maka terungkaplah pula dakwaan, hipotesis, metodologi, model dan akhirnya teori yang diasaskan kepada budaya tempatan yang mampu mengungkapkan dan pentafsiran ilmu dalam kosmologi tempatan, melahirkan falsafah dan epistemologi ilmu berdasarkan nilai, pemikiran dan budaya kita sendiri.

Justeru, jika berdasarkan pandangan dan sindiran Lin Dan, menghasilkan seorang penyelidik yang bergelar Nobel Prize atau setaraf dengannya adalah jauh lebih baik daripada mengejar ranking sehingga tersenarai dalam kedudukan 100 mahupun 10 universiti terbaik di dunia.

Janganlah usaha mengejar ranking ini menjadi suatu rally yang cukup panjang dan terlalu terikut-ikut dengan rentak yang tidak mendatangkan keuntungan kepada sesiapa pun dan akhirnya "yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran" atau sekadar "menang sorak kampung tergadai".

PENULIS ialah Felo Penyelidik/Pensyarah Kanan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia

Khamis, Mei 20, 2010

Tingkat Kemahiran Dan Pengetahuan Demi Keperluan Industri

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Kelebihan daya saing hanya boleh dicapai melalui kerjasama. Setiap daripada inovasi teknikal yang diwujudkan oleh sama ada universiti atau institut penyelidikan berpotensi dijadikan produk atau khidmat komersil yang menguntungkan.

Dalam dunia inovasi 'terbuka' hari ini, kejayaan memihak kepada firma-firma yang mengambil kesempatan daripada penemuan serta inovasi saintis dan penyelidik dalam menghasilkan aplikasi komersil yang canggih, produk serta peranti. Kedua-dua pihak mendapat manfaat daripada kerjasama seperti ini.

Para penyelidik mendapat hasil dengan menukar harta intelek (IP) masing-masing kepada bentuk wang sementara syarikat-syarikat membangunkan peluang komersil dengan mewujudkan produk serta khidmat canggih serta berkualiti tinggi menggunakan IP terbabit.

Bersama-sama, mereka boleh wujudkan nilai yang lebih lagi berbanding apa yang mereka boleh lakukan bersendirian. Kemajuan ekonomi oleh itu, sebahagian besarnya, bergantung bagaimana negara boleh menjana permintaan bagi produk serta khidmat yang dijana daripada IP yang diwujudkan di negara ini.

Untuk meningkatkan kapasiti negara daripada segi pengetahuan, kreativiti serta inovasi, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC) mengesyor supaya kejayaan pengkomersilan projek-projek penyelidikan turut diambil kira sebagai antara faktor penyumbang kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi universiti-universiti awam tempatan.

RAPATKAN JURANG

Selaras dengan tumpuan untuk mengkomersil IP tempatan dengan cepat dan jayanya, yang merupakan satu daripada lapan inisiatif reformasi strategik yang digariskan dalam rangkakerja Model Ekonomi Baru (NEM), Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) baru-baru ini melancarkan Program MSC Malaysia IP Connect, yang membolehkan universiti tempatan dan institusi-institusi penyelidikan bekerjasama dengan syarikat-syarikat berstatus MSC Malaysia.

Malaysia IP Connect merupakan sebuah daripada inisiatif MDeC untuk menggalakkan usaha menukar IP yang diwujudkan oleh institusi pengajian tinggi tempatan serta institusi-institusi penyelidikan kepada sumber kewangan.

Ini dapat dicapai dengan menyediakan peluang bagi syarikat-syarikat dengan status MSC Malaysia untuk memperoleh hak bagi meneroka dan menjadikan IP ini sebagai aplikasi komersil inovatif.

"Program MSC Malaysia IP Connect menyediakan kepada syarikat-syarikat dengan status MSC Malaysia peluang untuk mentransformasi harta intelek yang diwujudkan oleh universiti serta institusi penyelidikan tempatan kepada idea inovatif serta teknologi untuk meningkatkan produktiviti, dan akhirnya tingkatkan daya saing antarabangsa Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif MDeC Datuk Badlisham Ghazali (gambar) kepada Bernama.

Secara tradisi, syarikat-syarikat bergantung pada sumber dalaman masing-masing untuk mencipta, membangun dan menyampaikan produk-produk baru ke pasaran. Bagaimanapun, menerusi program MSC Malaysia IP Connect mereka boleh mencari dan membeli inovasi teknikal tersedia dan menerapkannya dalam pembangunan produk mereka.

"Ia membenarkan syarikat-syarikat dengan status MSC Malaysia untuk mengakses serta menilai pengetahuan teknikal dan mengubahnya menjadi aplikasi yang menambah baik dan meningkatkan amalan perkilangan," tambah Badlisham.

PENGKOMERSILAN SERTA EKSPLOITASI MAKSIMUM IP

Nilai IP menjadi maksimum apabila ia diekspolitasi dalam sebanyak cara yang mungkin.

Hak IP boleh diperuntuk, dilesen dan dieksploitasi secara strategik melalui pegangan ekuiti atau usahasama dengan pihak ketiga untuk mengambil kesempatan daripada eksklusiviti sebagai balasan kepada royalti.

Mana-mana pihak yang mahu mengkomersil IP harus menimbangkan segala pilihan yang ada dan menganalisa potensi kelemahan, kekuatan dan kewajaran setiap strategi. Setiap pilihan yang terdapat bagi menggunakannya harus dipertimbangkan, termasuk pilihan untuk memperluaskannya lagi.

Rakan-rakan kongsi harus mempunyai satu perjanjian formal terhadap hakmilik, hak untuk akses, royalti dan tanggungjawab dalam mengkomersilkannya sebelum mereka menurunkan tandatangan. Pemilik hak-hak ini boleh merelisasi nilai daripadanya dengan membuat dan menjual produk atau menawarkan perkhidmatan di bawah perlindungan IP.

"Dalam menggunakan IP milik institusi pengajian tinggi dan pusat-pusat penyelidikan, rakan yang berada dalam kedudukan terbaik dan paling mampu meraih nilai komersil harus menjadi pilihan untuk memastikan IP itu dapat direalisasi dengan sepenuh dan jayanya," kata Badlisham.

Di MSC Malaysia IP Connect programme, institusi-institusi seperti MIMOS Bhd, Malaysia Multimedia University (MMU), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Asia Pacific Institute of Information Technology (APIIT) menyumbang dan berkongsi maklumat akan lebih daripada 100 paten yang difail serta prototaip, bersama syarikat-syarikat dengan status MSC Malaysia.

Tujuan utama program MSC Malaysia IP Connect ialah untuk memastikan bahawa IP milik institusi-institusi ini digunakan sepenuhnya demi manfaat komersil syarikat-syarikat berstatus MSC Malaysia, yang akan menjana pendapatan bagi pemilik IP dan pelesen.

Selain daripada itu, aplikasi komersil IP yang dihargai oleh pasaran boleh membawa impak positif terhadap reputasi universiti atau institut penyelidikan terbabit.

MENDORONG TRANSFORMASI

Komponen-komponen utama bagi satu infrastruktur IP yang utuh adalah agensi serta institusi yang menggalakkan R&D dan bakat-bakat artistik, pembiayaan serta insentif kewangan untuk menggalakkan aktiviti kreatif, serta program untuk menggalakkan pembentukan minda kreatif dan semangat keusahawanan.

Dipertanggungjawab untuk memudahcara, membangun dan menggalakkan inisiatif MSC Malaysia, MDeC sejak 2004 memperkenalkan pelbagai program serta aktiviti IP yang berkaitan bagi syarikat-syarikat dengan status MSC Malaysia serta syarikat-syarikat ICT yang lain; yang bertujuan memangkinkan pembangunan dan pertumbuhan IP selaras dengan aspirasi kerajaan bagi negara meningkat maju dalam rantaian nilai kepada sebuah ekonomi yang berlandaskan inovasi.

Ini termasuk Skim Geran Penyelidikan & Pembangunan MSC Malaysia (MGS), Program Pembangunan Keupayaan MSC Malaysia(CDP), dan Program Latihan Penyelidik-Industri MSC Malaysia; kesemuanya sebahagian daripada Program Pembangunan Keupayaan IT MSC Malaysia (CDP IP).

Sehingga hari ini, lebih daripada 1600 syarikat telah mendapat manfaat melalui program-program ini.

MEMBENTUK SYARIKAT ICT BERTARAF DUNIA

MDeC berusaha bersama-sama dengan pelbagai pihak dan agensi kerajaan untuk menyediakan persekitaran pertumbuhan ideal bagi syarikat-syarikat dengan status MSC Malaysia untuk menggunakan potensi penuh teknologi ICT dan multimedia untuk berubah menjadi syarikat-syarikat ICT bertaraf dunia.

Sehingga September 2009, terdapat 2,436 syarikat dengan status MSC Malaysia yang bersama-sama menyediakan sejumlah 92,201 peluang pekerjaan, dan telah menjana lebih daripada RM21.75 bilion dalam hasil.

Sementara inisiatif MSC Malaysia menyediakan persekitaran pertumbuhan ideal bagi PKS ICT Malaysia untuk berubah kepada syarikat-syarikat ICT bertaraf dunia, MDeC merupakan pemacu yang mendorong transformasi ini.

Memandangkan maklumatbalas positif yang diterima daripada lebih 40 syarikat dengan status MSC Malaysia dan pusat-pusat penyelidikan yang mengambil bahagian dalam sesi perintis MSC Malaysia IP Connect, MDeC akan memperluaskan program ini ke wilayah-wilayah utara termasuk institusi pendidikan tinggi yang lain.

-- BERNAMA

Rabu, Mei 19, 2010

Negara Asia Perlu Ubah Sistem Pendidikan - Suen

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Negara-negara di Asia perlu mengubah sistem pendidikan masing-masing agar dapat melahirkan golongan cerdik pandai serta menarik kepakaran luar bagi mengekalkan pembangunan sosioekonomi di rantau ini.

Menteri Pendidikan Hong Kong Michael Suen Ming-yeung berkata perubahan dalam sistem pendidikan akan memastikan generasi masa depan dilengkapi dengan kepakaran bagi menghadapi cabaran.

Katanya negaranya telah melaksanakan perubahan sistem pendidikan sejak 10 tahun lalu bagi muncul sebagai negara ekonomi berasaskan pengetahuan dan membangunkan perkhidmatan tambah nilai yang tinggi.

"Misalnya, kurikulum baru sekolah menengah tinggi dan Dilpoma Pendidikan Menengah di negara kami adalah petanda aras peringkat antarabangsa dan ia menerima respon menggalakkan daripada komuniti akademik di United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya bertajuk "Memupuk Bakat Bagi Asia" pada majlis jamuan tengah hari perniagaan anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di sini Selasa.

Oleh itu, katanya, apa yang Hong Kong laksanakan dalam sistem pendidikan pada masa ini akan membantu memupuk bakat bagi Asia dan dunia kerana sudah menjadi kebiasaan untuk orang muda belajar dan bekerja di luar negara.

Suen berkata sistem pendidikan negara itu juga membantu institusi pendidikan Hong Kong diiktiraf dunia dengan tiga daripada universitinya berada kelompok lima terbaik di Asia dalam ranking QS Asian University yang dikeluarkan minggu lepas.

Ranking dunia juga menggalakan dengan tiga universiti negara itu diiktiraf antara 50 universiti terbaik dunia oleh majalah London, Times Higher Education Supplement, pada 2009, katanya.

Katanya Hong Kong juga menjalankan program Eksekutif Masters Pengurusan Perniagaan (EMBA) terbaik dunia pada 2007 dan 2009.

Menurutnya ketika ini 13 peratus pelajar asing mengikut program pengajian di negara itu termasuk lebih 140 pelajar Malaysia manakala 3,000 pelajar mengikuti program pertukaran pelajar setiap tahun.



-- BERNAMA

HEP UKM Didesak Gugur Pertuduhan 4 Pelajar Sains Politik

KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (HEP UKM) supaya menggugurkan pertuduhan terhadap empat pelajar jurusan Sains Politik universiti itu.

Kesemua mereka yang juga Ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM iaitu Hilman Idham (Presiden), Ismail Aminuddin (Naib Presiden), Azlin Shafina Adzha (Setiausaha Agung) dan Wong King Chai (Exco) ditahan polis pada 22 April lalu di pekan Rasa dan Ampang Pecah sewaktu Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Kejadian itu menyebabkan empat pelajar terbabit bakal didakwa di mahkamah UKM kerana melakukan kesalahan menyalahi undang-undang Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Hilman akan didakwa secara berasingan pada 2 Jun ini manakala yang lain akan didakwa sehari selepas itu.

Pengerusi SMM, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, tindakan HEP UKM itu menyimpang dari norma kebebasan akademik dan hak serta kebebasan untuk bergerak sebagai warganegara di negara ini.

“Ia dilihat untuk menyekat dan menakutkan seluruh pergerakan mahasiswa dengan menyatakan bahawa tindakan keras akan diambil terhadap mereka sekiranya terus lantang menyuarakan hak dan pandangan masing-masing,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu merupakan satu tekanan bukan sahaja kepada mereka, tetapi juga seluruh pergerakan mahasiswa di samping 'membunuh' fungsi golongan itu dalam masyarakat.

Menurut Shazni, tindakan tersebut disifatkan jauh ke belakang daripada keadaan Malaysia yang menuju kepada sebuah negara berasaskan kebebasan jitu.

“Keadaan itu meletakkan mahasiswa dalam kondisi yang salah walaupun tiada hukum, tetapi seolah-olah mereka bersalah.

“Oleh itu, pihak UKM perlu tampil ke hadapan sekiranya tidak bersetuju dengan tindakan mahasiswa dan berhujah mengenainya,” tambahnya.

SMM juga kesal dengan peraturan universiti yang menyekat hak dan kebebasan akademik pelajar dalam mengorientasikan pembelajaran di dalam kuliah.

Ini katanya, jelas ditunjukkan HEP UKM yang mendakwa pelajar terbabit sedangkan mereka adalah mahasiswa jurusan Sains Politik UKM sendiri tidak dibenarkan hadir menyaksikan pilihan raya bagi mengaplikasi dan memperkukuhkan pemahaman dalam jurusan yang diambil.

Hilman sekali lagi ditahan polis dalam sekatan jalan raya sehari selepas itu iaitu 23 April dan ketika itu beliau bersama empat aktivis lain dan ditemui sekeping video cakera padat (VCD) ceramah parti politik.

Sementara itu, Setiausaha Gerakan SMM, Mohd Ridzuan Othman pula berkata, pihaknya akan mewakili mahasiswa terbabit dalam kes tersebut, namun ia masih dalam perancangan.

“Setiap pertubuhan mahasiswa akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kes ini dan menghantar memorandum kepada Suruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai AUKU,” katanya.

KPT Kecewa Sudut Pidato Di IPTA Tiada Sambutan

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kecewa apabila sudut pidato yang diwujudkan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak mendapat sambutan.

Perkara itu disuarakan Timbalan Menteri Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) apabila ruang yang disediakan pihak universiti itu tidak berfungsi seperti yang diharapkan.

"Malah ada di sesetengah IPTA, sudut pidato didapati terus sepi sejak ia dilancarkan empat bulan lepas," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar mengenai Pesta Intelek dan Hujah (PETAH) 2010 di sini pada Rabu.

Saifuddin berkata lebih mendukacitakan apabila sudut pidato itu hanya aktif ketika pilihan raya kampus, sedangkan ia diwujudkan bukan hanya untuk tujuan politik sahaja sebaliknya untuk mengetengahkan isu-isu lain yang dapat memberi manfaat kepada mahasiswa.

"Apabila tidak disediakan ruang, kata pentadbir universiti sekat kebebasan tetapi bila ada tidak digunakan pula. Ada juga mahasiswa yang tidak tahu kewujudan sudut pidato di universiti mereka kerana kurang promosi," katanya.

Sementara itu, mengenai PETAH 2010, Saifuddin berkata ia akan diadakan pada 27 Mei hingga 1 Jun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur dan akan berlangsung selama 111 jam tanpa henti.

-- BERNAMA

Model Autonomi Pentadbiran Universiti Harus Diperjuangkan - Tuanku Muhriz

BANGI, 18 Mei (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah bahawa model autonomi bagi pentadbiran universiti harus diperjuangkan untuk memandu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Baginda yang juga Canselor UKM bertitah model autonomi yang dibangunkan itu harus dapat memperkasa tadbir urus dan perundangan universiti, di mana institusi pengajian tinggi itu mempunyai kuasa membuat dan melaksana keputusan sendiri berdasarkan tadbir urus yang cekap dan akauntabiliti yang tinggi bagi mencapai matlamat universiti, pembangunan negara dan masyarakat sejagat.

Ia juga perlu mencapai matlamat peningkatan autonomi pengurusan kewangan dan penjanaan pendapatan, peningkatan autonomi pengurusan akademik dan kemasukan pelajar serta peningkatan autonomi pengurusan modal insan, di mana universiti berkuasa menetapkan dasar berkaitan pembangunan organisasi, sistem saraan dan urusan perkhidmatan bagi menarik, membangun dan mengekalkan modal insan terbaik.

"Autonomi mestilah diungkap sebagai suatu instrumen peningkatan keberkesanan pentadbiran bagi membantu UKM dalam mencapai matlamat menjadi universiti penyelidikan terkehadapan.

Bertitah sempena sambutan ulang tahun UKM ke-40 di sini hari ini, autonomi institusi merangkumi perluasan atau penurunan kuasa membuat dan melaksana keputusan sendiri berdasarkan sistem tadbir urus yang cekap dan berkesan.

Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud turut berangkat pada majlis itu.

Tuanku Muhriz bertitah sejajar dengan Misi UKM, Bahasa Melayu harus terus dimantap dan dimartabatkan dalam pelbagai peranan kerana ia adalah bahasa istana, bahasa adat istiadat, bahasa perdagangan, bahasa ilmu dan bahasa wahana pembentukan jati diri kebangsaan.

Malah titah baginda, Bahasa Melayu juga sebagai bahasa antarabangsa, yang dikaji di beberapa institusi terkemuka dunia seperti di School of Oriental and African Studies, University of London dan Victoria University of Wellington, New Zealand.

"Beta percaya UKM harus terus menerus menjana ilmu yang menjadi rujukan tertinggi di peringkat global, dengan cara memperkaya khazanah ilmu watan dan serantau. Dengan cara menyumbang kepada khazanah ilmu sedemikian, UKM akan dapat menarik para ilmuwan dunia datang untuk bersama-sama menyelidik dan menyebar ilmu yang dibina di rantau ini.

"UKM mesti cemerlang di dunia tetapi tidak asing dan berakar umbi pada masyarakatnya," titah baginda.

Pada majlis itu, Tuanku Muriz turut melancarkan 80 buku terbaru keluaran UKM, setem kenang-kenangan dan sampul surat hari pertama serta portal berita UKM.

-- BERNAMA

Selasa, Mei 18, 2010

Sambutan 40 tahun UKM

UKM Bangi, 18 Mei - UKM berjaya menyambut ulangtahun penubuhannya yang ke-40. Bersempena dengan hari bersejarah ini, sambutan Ulang Tahun ke-40 UKM mencapai kemuncak dengan majlis Titah Perdana DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus,Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir,selaku Canselor UKM yang sudi mencemar duli bersama Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, DYMM Tunku Ampuan Besar geri Sembilan Darul Khusus.

Majlis bermula sekitar 3 petang dengan keberangkatan tiba DYMM Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan dimulakkan dengan bacaan doa dan seterusnya ucapan Naib Canselor, Y. Bhg Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Majlis mencapai kemuncaknya dengan Titah Perdana DYMM Tuanku Canselor dan Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-40 UKM. Di dalam Titah Perdana, baginda menekankan sejarah penubuhan UKM sehinggalah ke Era Pengiktirafan UKM (2006-kini) yang telah mencapai pelbagai pencapaian cemerlang di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.

Seterusnya persembahan multimedia, persembahan Koleksi Buku Syarahan Perdana dan Acara di Foyer Canselori Aras 2 menyusul setelah berakhirnya Titah Perdana DYMM Tuanku Canselor. Antara acara di Foyer Canselori Aras 2 adalah acara menandatangani Plak sambutan 40 Tahun UKM, pelancaran Setem dan & Sampul Surat Hari Pertama UKM, laman web baru UKM dan Buku-buku Terbitan UKM.

Pameran di Foyer Canselori

Majlis berakhir setelah berlangsungnya lawatan ke pameran dan keberangkatan pulang DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus yang diiringi DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus,

Jutaan penghargaan kepada DYMM Tuanku Canselor dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan di atas perkenan baginda mencemar duli di bumi UKM ini bagi menyempurnakan Sambutan Ulang Tahun ke-40 UKM ini.

Akhir kalam, memetik kata-kata Dato’ Seri Naib Canselor berdasarkan rekod , seusia 40 tahun penubuhannya, UKM telahpun melahirkan seramai 131,259 graduan; 113,975 Graduan Sarjana Muda; 15,895 Sarjana dan 1,389 PhD. Justeru diharapkan semoga lebih ramai ahli-ahli intelektual akan dilahirkan di bumi UKM untuk menyumbang kepada negara seterusnya menaikkan nama UKM di mata dunia.Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti untuk negara.

MENGILHAM HARAPAN,MENCIPTA MASA DEPAN

Pertemuan MPP bersama TNC HEPA

UKM Bangi, 18 Mei 2010 : Satu pertemuan telah diadakan antara MPP Mahasiswa bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal pelajar dan Alumni(HEPA) UKM, YBhg Profesor Dato’ Dr Mohamad Razak yang bertempat di pejabat TNC HEPA, Aras 5 Bangunan Canselori UKM.

Pertemuan ini bertujuan membincangkan isu-isu kebajikan pelajar yang memerlukan perhatian segera. MPP yang terlibat adalah MPP Umum saudari Nabilah bt Mohamad Maiyidin, MPP Fakulti Pendidikan saudara Wan Ahmad Fahmi bin Wan Abdul Hamed dan MPP FSKB saudari Nur Ili bt Mohamad Tarmizi .

Dari kiri : MPP Nabilah, MPP Ili, Prof Dr Mohamad dan MPP Fahmi

Antara isu utama yang diketengahkan adalah berkenaan isu penempatan kolej kediaman apabila berdasarkan data maklumat yang dikumpulkan, didapati ramai pelajar yang bergiat aktif di kolej masing-masing tidak mendapat penempatan mereka di kolej kediaman asal pelajar. Dalam kesempatan ini MPP Mahasiswa telah menyerahkan satu kertas kerja yang mengandungi lenarai lengkap berkenaan dengan pelajar aktif tetapi dibuang daripada kolej asal mereka di samping senarai nama pelajar yang mendapat merit rendah dan ada juga markah kosong tetapi mendapat tempat di kolej-kolej yang dipohon tertentu seperti kolej Ibrahim Yaacob dan Kolej Ibu Zain.

Berdasarkan itu MPP Mahasiswa menuntut supaya diletakkan satu 'standard' atau piawaian yang terperinci bagi seseorang pelajar bagi melayakkan seseorang pelajar untuk menduduki kolej yang dipohon bukan berdasarkan kepada budi bicara pengetua dan pengurus kolej semata-mata di samping piawaian itu mesti diselaraskan pada setap kolej kediaman.


Selain itu MPP Mahasiswa berjaya mendapatkan penjelasan berkenaan perlaksanaan Sistem Penilaian Kompentasi Generik (SPKG) yang menjadi kontroversi di kalangan mahasiswa sejak dikuatkuasakan secara rasmi pada tahun 2008 yang jelas terdapat kelemahan dalam perlaksanaan dan pemantauan sistem tersebut. YBhg Prof. menjelaskan bahawa pihak pengurusan hal ehwal pelajar masih dalam kajian semula untuk penambahbaikkan sistem tersebut .Justeru para mahasiswa tidak perlu risau tentang sistem yang dijalankan.

Dalam kesempatan pertemuan ini, dibangkitkan juga isu yang berlaku di peringkat fakulti seperti isu penempatan pelajar fakulti Pendidikan, kemudahan -kemudahan dewan kuliah pelajar di fakulti Perubatan dan masalah pendaftaran awal kursus mahasiswa fakulti Pendidikan.

Berkenaan dengan masalah pendaftaran kursus pelajar di fakulti Pendidikan terutama pelajar yang mengambil Pendidikan Khas, Sains dan Pendidikan Islam yang mana berlaku pertindihan masa kuliah bagi kursus wajib fakulti dan wajib major yang perlu diambil oleh pelajar pada semester yang sama. Keadaan ini diburukkan lagi apabila kursus yang diambil berlaku pertidihan masa tersebut seperti kursus yang ditawarkan oleh fakulti-fakulti lain seperti Fakulti Sains dan Teknologi dan Fakulti Pengajian Islam yang memerlukan kepada penyelarasan antara kedua-dua pihak . Prof Dato’ memberi jaminan perkara ini akan dibawa kepada mesyuarat bersama dekan-dekan fakulti bagi menangani masalah yang berlaku.


Bagi MPP FSKB Saudari Ili, isu-isu yang dibawa menjurus kepada permohonan ATM Bank Islam di Kampus KL, isu bayaran tinggi di Plaza Rah dan penaiktarafan dewan kuliah di kampus KL. Menyentuh mengenai isu ATM Bank Islam di kampus KL yang telah pun berlarutan dalam masa setahun, YBhg Prof. sedia maklum akan hal ini. Beliau memahami masalah kesulitan pelajar untuk ke Bank Islam yang terletak jauh dari kampus. Malah beliau memberi jaminan bahawa pihak universiti sedang berusaha menyelesaikan masalah tersebut dalam jangkamasa setahun.

Berhubung isu bayaran yang tinggi di Plaza Rah pula, YBhg Prof. memaklumkan pihak UKM telah berunding dengan pemilik Plaza Rah bagi menurunkan bayaran bagi pelajar UKM, namun penurunan bayaran tidak dapat dilakukan atas sebab-sebab tertentu. Subsidi juga tidak dapat diberikan kerana pihak universiti mengalami masalah kurang peruntukan kewangan.

Setelah sekian lama, dewan kuliah di kampus KL memerlukan proses penaiktarafan seiring dengan peningkatan prestasi UKM terutamanya bagi para pensyarah dan Pelajar Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi yang menggunakan dewan kuliah tersebut. Penaiktarafan dewan-dewan kuliah ini adalah perlu kerana kampus KL sering menerima kunjungan daripada pelawat-pelawat luar dan pensyarah dari luar negara dan bagi memberikan keselesaan dan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar kampus KL. Justeru MPP Mahasiswa kampus KL akan mengambil inisiatif menyiapkan kertas kerja bagi permohonan penaiktarafan dewan kuliah ini dan menyampaikannya terus kepada pihak TNC HEPA bagi tindakan selanjutnya.

Selain daripada isu-isu kebajikan, perbincangan turut berfokus kepada isu-isu semasa berhubung universiti seperti kejatuhan UKM dalam dalam 2010 QS Asian University Ranking (AUR) dan peranan pelajar UKM dalam menyumbang kepada UKM dalam terma universiti penyelidikan.

Akhir kalam setinggi-tinggi penghargaan kepada
YBhg Prof. Dato' Dr Mohammad kerana meluangkan masa bagi membincangkan isu-isu kebajikan kritikal pelajar dan amatlah diharapkan semoga jalan penyelesaian dapat diambil segera bagi mengatasi masalah-masalah yang telah diutarakan.

Suara anda keutamaan kami

Mahasiswa desak UKM batal pertuduhan

Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana didakwa berkempen di Hulu Selangor mendesak universiti berkenaan membatalkan pertuduhan terhadap mereka.

Mahasiswa terbabit - yang akan didakwa pada awal bulan depan - membuat tuntutan itu kerana "sebagai pelajar jurusan sains politik, mereka perlu turun padang menyaksikan percaturan sebenar politik."

"Menjadi adat sebagai mahasiswa jurusan sains politik untuk turun ke lapangan pilihan raya. Kalau mahasiswa perubatan turun ke hospital. Bagi jurusan sains politik, kami turun ke lapangan pilihan raya untuk lihat bagaimana politik (yang) sebenar berlaku," kata Muhammad Hilman Idham.

Lagi pun, tambahnya, ia setelah banyak pilihan raya yang disertainya "tidak pernah menjadi masalah".

Dua lagi rakannya yang akan didakwa - Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha - bagaimanapun tidak hadir kerana sedang bercuti semester.

Kesemua pemimpin Kelab Sains Politik UKM itu menerima surat pertuduhan pada 13 Mei, menyatakan mereka akan didakwa bawah Seksyen 15 (5) AUKU yang berbunyi:

"Tiada seorang pun pelajar universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut perlembagaan boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap - (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia".

Pada 22 April lalu, Muhammad Hilman ditahan bersama Azlin Shafina di Pekan Rasa, Hulu Selangor kerana "membawa dan memiliki CD, risalah berunsur sokongan atau simpati dengan atau bangkangan terhadap parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan itu".

Muhammad Ismail pula ditahan polis di Ampang Pecah pada 22 April bersama tiga individu - termasuk seorang lagi rakan sekuliahnya - dalam sebuah van yang mengandungi risalah berunsurkan politik.

Seorang lagi rakan mereka bagaimanapun setakat ini belum menerima sebarang pertuduhan daripada universiti.

Muhammad Hilman bagaimanapun ditahan lagi sehari oleh pihak polis, selepas itu kerana didakwa engkar kepada arahan pasukan pemantauan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UKM supaya beredar dan tidak terlibat dengan kempen pilihan raya tersebut.

Beliau akan dibicarakan di mahkamah univerisiti pada 2 Jun depan. Manakala Muhammad Ismail dan Azlin Shafina pula dihadapkan ke mahkamah tersebut pada sehari berikutnya.

Dalam sidang media di ibu negara pagi ini, Muhammad Hilman berkata akan berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu berhubung persediaan mereka menghadapi kes itu.

Ditanya mengenai tujuan beliau ke kawasan pilihan raya itu, Muhammad Hilman memberitahu, "hanya menumpang kereta seorang aktivis" dan "bukan untuk berkempen".

Beliau juga berkata, setahunya berdasarkan AUKU, beliau boleh dibuang universiti atau digantung pengajian sekiranya disabitkan kesalahan.

Bentuk hukuman itu tidak dinyatakan dalam surat pertuduhan terhadapnya, tambah pelajar tahun akhir universiti itu.

Turut hadir dalam sidang media itu, pemimpin mahasiswa daripada pelbagai persatuan, antaranya Solidariti Mahsiswa Malaysia (SMM), Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) bagi menyatakan sokongan mereka.

Dalam kenyataan bersamanya, persatuan pelajar tersebut mendakwa pertuduhan terhadap tiga pelajar UKM itu "telah menyimpang daripada norma-norma kebebasan akademik, dan hak kebebasan untuk bergerak selaku wargenegara Malaysia".

"Seluruh mahasiswa mengutuk tindakan HEP (Hal Ehwal Pelajar) UKM yang dengan sengaja dan tidak bertanggungjawab cuba untuk menakut-nakutkan mahasiswa dengan peraturan dan tindakan yang jauh menyimpang dengan nilai intelektual yang seharusnya diterapkan oleh pentadbiran universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dibacakan bersama oleh kesemua pemimpin mahasiswa yang hadir, termasuklah Pengerusi SMM Shazni Munir Mohd Ithnin, Presiden Gamis Mohd Idris Mohd Yusoff dan Setiuasaha Dema Yap Heng Lung.

SUMBER : malaysiakini.com

Mengenang 40 Tahun Penubuhan UKM : Usaha UKM capai visi 2018


UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) yang lahir 40 tahun lalu kini penuh azam menuju visi 2018 untuk menjadi salah satu daripada 50 universiti paling terkemuka di seluruh dunia.

Bilangan alumninya telah pun meningkat sehingga 124,000. Antara mereka ialah hampir 5,000 dari Indonesia, iaitu lebih 60 peratus daripada jumlah alumni antarabangsa.

Demikian antara catatan beberapa terbitan UKM termasuk yang terbaru, Senadi bagi golongan alumni. Sebelumnya ialah Senada, buletin bulanan dan Resonance, buletin antarabangsa.

Isu pertama Senadi dilancarkan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan, salah seorang alumni UKM dan dahulunya begitu aktif dalam pelbagai kegiatan persatuan pelajar bersama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Editor akhbar Star.

Laporan utama dalam isu pertama Senadi ialah pelancaran Alumni UKM Cabang Indonesia (AUKMCI) yang dirasmikan oleh Naib Canselor Tan Sri Dato Dr. Sharifah Hapsah, di Jakarta pada awal bulan April 2009.

Peristiwa bersejarah itu disaksikan oleh wakil-wakil dari UKM, kira-kira 180 alumni dari Indonesia, Profesor Dr. Kusnaka Adminhardje wakil para profesor dari Indonesia.

Memberi keterangan mengenai peranannya ialah Prof. Dr. Kamaruddin M. Said, pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, juga Ketua Penerbit UKM. Bukan "Alumni Dana," beliau segera menjelaskan lalu menyambung: "Saya belum bersedia berimaginasi bahawa AUKMCI ialah sebuah alumni dana, yang mindanya akan terfokus kepada peranan kewangan untuk membantu alma mater. Perkara ini akan terjadi juga, tetapi bukan sekarang, kerana ia akan mengambil waktu yang agak panjang."

Ia berkemungkinan besar memainkan peranan yang lebih besar di luar daripada lingkungan kewangan, tetapi lebih terfokus kepada bidang akademik dan keilmuan yang luas. Ini ialah alumni keilmuan, khusus untuk membantu memantapkan keilmuan Nusantara. Warga alumni kini ialah warga akademik yang sedang mencurahkan bukti keilmuan di seluruh Republik Indonesia.

GENERASI MUDA

Menurutnya AUKMCI bersifat "alumni mentor" yang boleh memberi bimbingan strategik kepada "generasi pelapis atau generasi muda yang ingin melanjutkan pengajian tinggi ke UKM khususnya atau ke Malaysia umumnya.

UKM kini salah sebuah daripada empat universiti yang telah diangkat menjadi "universiti penyelidikan" di Malaysia. Prof. Kamaruddin menyebut betapa pada majlis Konvokesyen 2008 sejumlah 7,251 graduan menerima ijazah dan diploma, termasuk 188 orang yang menerima ijazah Ph.D.

"Tahun 2008 ialah tahun yang mencatatkan bilangan graduan Ph.D yang tertinggi, bukan sahaja dalam sejarah UKM, bahkan juga dalam sejarah pengajian tinggi di Malaysia.

Bilangan pelajar Indonesia yang telah lulus dan mendapat ijazah sarjana dan Ph.D daripada UKM sudah agak besar bilangannya kini. Inilah anggota alumni yang akan memainkan peranan membangun sebuah alumni keilmuan bagi Nusantara.

AUKMCI ialah sebuah organisasi yang mewakili 220 juta rakyat Indonesia yang terdiri daripada kira-kira 300 kumpulan etnik dan 700 kumpulan dialek dan tersebar di 11,000 pulau yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan biodiversitinya".

Prof. Kamaruddin mengulangi saranan supaya diterbitkan Jurnal Dunia Nusantara (The World of Nusantara) dalam tiga bahasa (bahasa Indonesia, Melayu dan Inggeris) lalu menambah: "Nusantara ialah wilayah dunia rumpun Melayu, iaitu Melayu dengan pengertian cukup luas, termasuk kesemua suku bangsanya".Dalam pada itu diingatkan mengenai pengalaman sejarah sosial Nusantara "tidak terlepas daripada ancaman konflik". Kerana itu alumni UKM dapat melaksanakan peranan penting dalam usaha cuba memahami punca konflik dan mencari jalan penyelesaiannya.


SUMBER : Utusan-Online

Isnin, Mei 17, 2010

Lapan IPT diberi kuasa mengakreditasi program pengajian ditawarkan

PUTRAJAYA 17 Mei – Lapan institusi pengajian tinggi (IPT) dianugerahkan status swaakreditasi untuk mengakreditasi program pengajian sendiri tanpa perlu melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, IPT berkenaan adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya, pada masa sama empat kampus cawangan IPT luar negara berstatus swaakreditasi yang telah diperoleh kampus induk universiti berkenaan turut diberi kuasa itu.

Jelas beliau, antaranya ialah Monash University Kampus Sunway, University of Nottingham Kampus Malaysia, Swinburne University of Technology Kampus Sarawak dan Curtin University of Technology Kampus Sarawak.

“Hasil audit yang telah dijalankan oleh panel MQA mendapati lapan IPT ini memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kod Amalan Audit Institusi (COPIA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penganugerahan Status Swaakreditasi di pejabat Kementerian Pengajian Tinggi di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Datuk Dr. Sharifah Hapsah; Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr. Ghauth Jasmon; Naib Canselor UPM Profesor Datuk Dr. Nik Mustapha Abdullah dan wakil USM, Profesor Datuk Dr. Maufauzy Mohamed.

Terdapat 554 program yang akan diakreditasi secara dalaman oleh lapan IPT berkenaan.

Mohamed Khaled berkata, kesemua lapan IPT yang diaudit mempunyai sistem kualiti dalaman pada tahap yang dapat menjamin kualiti proses pendidikan dilaksanakan serta kelayakan yang dianugerahkan.

Justeru, katanya, IPT berkenaan diminta membangunkan sistem akreditasi dalaman menyamai apa yang dilaksanakan MQA sebelum ini.

“Antaranya aspek proses akreditasi sementara sebelum program ditawarkan dan proses akreditasi penuh di tahun akhir pengajian kohort pertama pelajar.

“Seterusnya semakan semula akreditasi dalaman tempoh bersesuaian dan senat atau jawatankuasa akademik tertinggi IPT dipertanggungjawabkan untuk memuktamadkan akreditasi tersebut,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, IPT tersebut perlu menyesuaikan sistem kualiti dalaman sedia ada dengan keperluan berkaitan proses pembangunan, pemantauan dan semakan semula program serta sistem peningkatan kualiti.