Isnin, Mei 17, 2010

Lapan IPT diberi kuasa mengakreditasi program pengajian ditawarkan

PUTRAJAYA 17 Mei – Lapan institusi pengajian tinggi (IPT) dianugerahkan status swaakreditasi untuk mengakreditasi program pengajian sendiri tanpa perlu melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, IPT berkenaan adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya, pada masa sama empat kampus cawangan IPT luar negara berstatus swaakreditasi yang telah diperoleh kampus induk universiti berkenaan turut diberi kuasa itu.

Jelas beliau, antaranya ialah Monash University Kampus Sunway, University of Nottingham Kampus Malaysia, Swinburne University of Technology Kampus Sarawak dan Curtin University of Technology Kampus Sarawak.

“Hasil audit yang telah dijalankan oleh panel MQA mendapati lapan IPT ini memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kod Amalan Audit Institusi (COPIA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penganugerahan Status Swaakreditasi di pejabat Kementerian Pengajian Tinggi di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Datuk Dr. Sharifah Hapsah; Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr. Ghauth Jasmon; Naib Canselor UPM Profesor Datuk Dr. Nik Mustapha Abdullah dan wakil USM, Profesor Datuk Dr. Maufauzy Mohamed.

Terdapat 554 program yang akan diakreditasi secara dalaman oleh lapan IPT berkenaan.

Mohamed Khaled berkata, kesemua lapan IPT yang diaudit mempunyai sistem kualiti dalaman pada tahap yang dapat menjamin kualiti proses pendidikan dilaksanakan serta kelayakan yang dianugerahkan.

Justeru, katanya, IPT berkenaan diminta membangunkan sistem akreditasi dalaman menyamai apa yang dilaksanakan MQA sebelum ini.

“Antaranya aspek proses akreditasi sementara sebelum program ditawarkan dan proses akreditasi penuh di tahun akhir pengajian kohort pertama pelajar.

“Seterusnya semakan semula akreditasi dalaman tempoh bersesuaian dan senat atau jawatankuasa akademik tertinggi IPT dipertanggungjawabkan untuk memuktamadkan akreditasi tersebut,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, IPT tersebut perlu menyesuaikan sistem kualiti dalaman sedia ada dengan keperluan berkaitan proses pembangunan, pemantauan dan semakan semula program serta sistem peningkatan kualiti.