SUMBER : Utusan Online
FENOMENA institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan sekadar melahirkan pekerja sederhana dan separuh mahir di pasaran kerja bukanlah sesuatu yang baru di negara ini.
Di sektor-sektor awam misalnya, isu ini lebih parah apabila kredibiliti pekerja terutama yang berurusan secara langsung dengan keperluan orang ramai acap kali dipersoalkan. Kerja-kerja yang sepatutnya dapat dilangsaikan dalam masa sehari pada era serba elektronik hari ini masih lagi mengambil masa sehingga berminggu-minggu.
Sudah semestinya, persekitaran pekerjaan yang hanya dipenuhi dengan kakitangan yang bertaraf sederhana seperti ini tidak akan membantu kemajuan sesebuah organisasi baik di pihak kerajaan mahu pun swasta. Perkara ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya pasaran pekerjaan tempatan hari ini disokong oleh kakitangan yang cekap, agresif dan bertanggungjawab. Tidak kira di peringkat mana sekali pun seseorang kakitangan itu, dedikasi terhadap bidang tugas mereka akan mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan berdaya saing.
Malangnya persekitaran kerja sebegitu tidak begitu ketara di negara kita lebih-lebih lagi di sektor awam.
Meskipun sering ditekankan mengenai pembangunan modal insan ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berkesan, namun rungutan di pihak pengguna juga tidak pernah berkurang.
Tidak keterlaluan untuk diandaikan perkara itu berlaku kerana ia diwarisi daripada budaya serupa ketika masih bergelar mahasiswa.
Budaya menunggu disuap dan pasif bukanlah sesuatu yang menghairankan di IPT dan ia kekal menjadi cabaran kepada penggerak universiti sehingga kini. Sesuatu yang jelas, budaya itu turut dibawa ke alam pekerjaan sehingga mewujudkan kelompok pekerja bertaraf sederhana dalam jumlah yang besar.
Ia amat membimbangkan dalam tempoh yang hanya berbaki tidak sampai 10 tahun sahaja lagi untuk Malaysia mencapai sasaran status negara maju.
Untuk menyertai negara-negara berstatus maju seperti Jepun, Rusia dan Amerika Syarikat, kita memerlukan sekurang-kurangnya 35 hingga 50 peratus tenaga kerja profesional.
Sedangkan hakikatnya ketika ini, hanya 26 peratus sahaja daripada sejumlah 10.6 juta orang pekerja di Malaysia yang tergolong dalam kumpulan itu.
Lebih mendukacitakan perkara ini berlaku bukan kerana tidak ada peluang untuk rakyat negara ini meningkatkan kemahiran diri.
Peluang untuk mereka sebaliknya terbuka luas. Bukan sahaja di IPT dan pusat-pusat kemahiran tempatan, malah ada yang diberi tempat dan ditaja ke universiti terkemuka dunia.
Malangnya tidak ramai yang merebut peluang disediakan, barangkali kerana berasa selesa dengan apa yang mereka miliki ketika ini.
Tidak ramai yang sedar bahawa "dunia pekerjaan hari ini adalah proses pembangunan karier dalam karier" seperti ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebaliknya lebih ramai yang mudah selesa dan natijahnya, golongan ini akan terus ketinggalan.
Untuk menuju negara maju, kelompok kecil pekerja dengan kepakaran dan kemahiran cemerlang ini perlu diperbesarkan. Negara memerlukan sekelompok besar pekerja yang agresif untuk merealisasikan perencanaan kerajaan termasuk dalam usaha pengukuhan ekonomi.
Tanpanya, pelbagai sektor di negara ini tidak akan melalui proses transformasi yang besar sebaliknya terus kekal di takuk lama.
Budaya pasif, menunggu disuap atau mengharapkan tuah datang bergolek - hanya menyebabkan rezeki kita dirampas oleh orang lain termasuk imigran yang lebih agresif mengejar peluang.
Di zaman putaran dunia globalisasi yang sangat pantas dan kadang-kala ganas, bukan sahaja graduan bahkan pekerja sektor awam dan swasta, lebih-lebih lagi rakyat tempatan perlu meningkatkan usaha berlipat kali ganda bagi menambah nilai diri untuk bersaing dalam pasaran terbuka.
Sekiranya kita masih belum sedar, masih mahu menunggu disuapkan insentif dan peluang oleh kerajaan, selama-lamanya kita akan menjadi bangsa 'pak turut' dan bukannya pencetus perubahan.