KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Negara-negara di Asia perlu mengubah sistem pendidikan masing-masing agar dapat melahirkan golongan cerdik pandai serta menarik kepakaran luar bagi mengekalkan pembangunan sosioekonomi di rantau ini.
Menteri Pendidikan Hong Kong Michael Suen Ming-yeung berkata perubahan dalam sistem pendidikan akan memastikan generasi masa depan dilengkapi dengan kepakaran bagi menghadapi cabaran.
Katanya negaranya telah melaksanakan perubahan sistem pendidikan sejak 10 tahun lalu bagi muncul sebagai negara ekonomi berasaskan pengetahuan dan membangunkan perkhidmatan tambah nilai yang tinggi.
"Misalnya, kurikulum baru sekolah menengah tinggi dan Dilpoma Pendidikan Menengah di negara kami adalah petanda aras peringkat antarabangsa dan ia menerima respon menggalakkan daripada komuniti akademik di United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya bertajuk "Memupuk Bakat Bagi Asia" pada majlis jamuan tengah hari perniagaan anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di sini Selasa.
Oleh itu, katanya, apa yang Hong Kong laksanakan dalam sistem pendidikan pada masa ini akan membantu memupuk bakat bagi Asia dan dunia kerana sudah menjadi kebiasaan untuk orang muda belajar dan bekerja di luar negara.
Suen berkata sistem pendidikan negara itu juga membantu institusi pendidikan Hong Kong diiktiraf dunia dengan tiga daripada universitinya berada kelompok lima terbaik di Asia dalam ranking QS Asian University yang dikeluarkan minggu lepas.
Ranking dunia juga menggalakan dengan tiga universiti negara itu diiktiraf antara 50 universiti terbaik dunia oleh majalah London, Times Higher Education Supplement, pada 2009, katanya.
Katanya Hong Kong juga menjalankan program Eksekutif Masters Pengurusan Perniagaan (EMBA) terbaik dunia pada 2007 dan 2009.
Menurutnya ketika ini 13 peratus pelajar asing mengikut program pengajian di negara itu termasuk lebih 140 pelajar Malaysia manakala 3,000 pelajar mengikuti program pertukaran pelajar setiap tahun.
-- BERNAMA
Rabu, Mei 19, 2010
Negara Asia Perlu Ubah Sistem Pendidikan - Suen
08:55
Persatuan Mahasiswa UKM Sesi 2014/2015