Jumaat, Mei 21, 2010

Budaya penarafan universiti

Oleh SHAHARUDIN IDRUS
dinn6358@gmail.com

SUMBER : Utusan Online

Mengambil kira sindiran tajam yang dikemukakan oleh pemain perseorangan utama China, Lin Dan bahawa kedudukannya di ranking nombor 2 dunia bukanlah penghalang utama untuk beliau berasa merendah diri dan sukar untuk menundukkan pemain nombor 1 dunia ketika ini iaitu Datuk Lee Chong Wei dalam pertemuan separuh akhir kejohanan Piala Thomas di antara Malaysia dan China baru-baru ini.

Menurut Lin Dan apa yang lebih penting dan utama ialah menjuarai kejohanan-kejohanan utama seperti Olimpik, Kejohanan Dunia, All England dan membantu pasukannya menjuarai kejohanan Piala Thomas daripada memikirkan tentang ranking peribadi sendiri.

Pandangan ini agak menarik sekiranya sindiran ini diaplikasi dan disesuaikan dengan kedudukan ranking universiti di Asia dan di dunia. Tidaklah sukar untuk mengatakan bahawa ranking yang dikejar oleh kebanyakan universiti di Malaysia terutamanya untuk berada di dalam senarai 100 mahupun di 10 ranking terbaik dunia bukanlah sesuatu yang wajar dengan menggemblengkan seluruh tenaga, usaha dan masa warga universiti untuk terlibat sama dalam proses tersebut.

Sementelahan pula senarai kedudukan universiti yang dikeluarkan untuk menarafkan universiti itu bukanlah datang dari sebuah badan yang benar-benar berwibawa dan diiktiraf di peringkat antarabangsa serta menggunakan indikator-indikator yang sepunya serta pengadil yang mendapat latihan dan menggunakan peraturan dan garis panduan yang sama sebagaimana yang digunakan dalam badan sukan antarabangsa, misalnya Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) atau Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Laporan sebuah akhbar baru-baru ini mengenai senarai kedudukan universiti-universiti di Asia dengan meletakkan empat universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM); dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengikut kedudukan 100 di Asia menunjukkan bahawa ranking ini tidaklah menunjukkan sesuatu yang begitu penting dan utama.

Oleh yang demikian, apa yang membuatkan sesebuah universiti itu lebih dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat antarabangsa adalah sumbangan besar yang diberikan oleh universiti tersebut walau dalam apa juga bidang yang ditumpukan dan bukannya ranking itu semata-mata.

Salah satu tugas utama universiti adalah untuk menjana pelbagai ilmu baru yang dapat dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat negara ini dan dunia amnya. Tenaga para ahli akademik universiti perlu digembleng untuk menjalankan penyelidikan yang berterusan dalam bidang kepakaran masing-masing dan mampu menghasilkan teori dan ilmu baru yang mungkin merubah pandangan dunia.

Kerja penyelidikan dan penelitian bersungguh-sungguh yang dilakukan secara berterusan, sistematik, berkala dalam tempoh jangka masa yang panjang (misalnya satu generasi) untuk meneliti pokok persoalan dalam konteks bidang yang dikaji dan disokong oleh dana yang berterusan akan menghasilkan sesuatu yang baru -- teori, konsep, epistemologi, metodologi - yang akan mengubah pandangan dunia serta mengiktiraf kedudukan penyelidik di negara ini.

Penyelidikan yang dijalankan pula tidak seharusnya terkongkong dalam kelambu penyelidikan monodisiplin tetapi harus melewati sempadan penyelidikan bersifat multi-disiplin mahupun trans-disiplin sebagaimana kajian yang dilakukan oleh penyelidik luar negara terutamanya oleh universiti-universiti tersohor dunia.

Penyelidikan yang dijalankan dengan bersungguh-sungguh ini akan mengungkap pemahaman dari fenomena sedia ada dan berdasarkan budaya setempat yang terhasil daripada kekayaan ruang yang diteliti serta keluwesan epistemologi yang dipilih.

Persoalan pokok yang dikaji tersebut sedikit demi sedikit difahami, diperhalusi, dirungkai, digarap dan seterusnya dapat diartikulasikan agar menyerlahkan hubung kait di antara persoalan pokok yang dikaji tadi dengan rangkaian pemacu-pemacunya bagi mendapat bentuk dan memahami proses realiti setempat sepenuh mungkin.

Hasil penyelidikan secara berterusan ini membantu keyakinan dan kejelasan hubung kait fenomena tersebut serta menambah nilai kepada pemacu sedia ada. Penelitian sebegini yang dijalankan secara berterusan dalam tempoh masa tertentu berasaskan kerangka persoalan bidang penyelidikan akan membantu dalam menjana model, metodologi dan teori setempat.

Pembinaan dan peneguhan model, penjanaan metodologi dan teori yang didukung oleh budaya setempat akan menjadi lebih bermakna dalam mengungkapkan ruang dan persekitaran bidang penyelidikan pada masa kini dan akan datang. Teori atau hipotesis yang diungkapkan itu akan mampu menyanggah dan memperdebatkan teori atau model luar yang dipamerkan dan seterusnya meningkatkan wacana dan perbahasan dalam sesuatu bidang penyelidikan yang berhadapan dengan persoalan yang lebih mendalam.

Penyelidikan berasaskan realiti dan budaya setempat ini akan menjadi penyumbang kepada pembinaan korpus ilmu dalam bidang yang diselidiki itu sendiri dan pada masa yang sama akan mencorakkan pembangunan hala tuju bidang tersebut pada masa hadapan.

Perenungan yang dibuat mengandaikan bahawa setelah memerhatikan sekian lama pola dan aturan sesuatu kejadian itu, maka terungkaplah pula dakwaan, hipotesis, metodologi, model dan akhirnya teori yang diasaskan kepada budaya tempatan yang mampu mengungkapkan dan pentafsiran ilmu dalam kosmologi tempatan, melahirkan falsafah dan epistemologi ilmu berdasarkan nilai, pemikiran dan budaya kita sendiri.

Justeru, jika berdasarkan pandangan dan sindiran Lin Dan, menghasilkan seorang penyelidik yang bergelar Nobel Prize atau setaraf dengannya adalah jauh lebih baik daripada mengejar ranking sehingga tersenarai dalam kedudukan 100 mahupun 10 universiti terbaik di dunia.

Janganlah usaha mengejar ranking ini menjadi suatu rally yang cukup panjang dan terlalu terikut-ikut dengan rentak yang tidak mendatangkan keuntungan kepada sesiapa pun dan akhirnya "yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran" atau sekadar "menang sorak kampung tergadai".

PENULIS ialah Felo Penyelidik/Pensyarah Kanan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia