Khamis, Mei 20, 2010

Tingkat Kemahiran Dan Pengetahuan Demi Keperluan Industri

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Kelebihan daya saing hanya boleh dicapai melalui kerjasama. Setiap daripada inovasi teknikal yang diwujudkan oleh sama ada universiti atau institut penyelidikan berpotensi dijadikan produk atau khidmat komersil yang menguntungkan.

Dalam dunia inovasi 'terbuka' hari ini, kejayaan memihak kepada firma-firma yang mengambil kesempatan daripada penemuan serta inovasi saintis dan penyelidik dalam menghasilkan aplikasi komersil yang canggih, produk serta peranti. Kedua-dua pihak mendapat manfaat daripada kerjasama seperti ini.

Para penyelidik mendapat hasil dengan menukar harta intelek (IP) masing-masing kepada bentuk wang sementara syarikat-syarikat membangunkan peluang komersil dengan mewujudkan produk serta khidmat canggih serta berkualiti tinggi menggunakan IP terbabit.

Bersama-sama, mereka boleh wujudkan nilai yang lebih lagi berbanding apa yang mereka boleh lakukan bersendirian. Kemajuan ekonomi oleh itu, sebahagian besarnya, bergantung bagaimana negara boleh menjana permintaan bagi produk serta khidmat yang dijana daripada IP yang diwujudkan di negara ini.

Untuk meningkatkan kapasiti negara daripada segi pengetahuan, kreativiti serta inovasi, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC) mengesyor supaya kejayaan pengkomersilan projek-projek penyelidikan turut diambil kira sebagai antara faktor penyumbang kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi universiti-universiti awam tempatan.

RAPATKAN JURANG

Selaras dengan tumpuan untuk mengkomersil IP tempatan dengan cepat dan jayanya, yang merupakan satu daripada lapan inisiatif reformasi strategik yang digariskan dalam rangkakerja Model Ekonomi Baru (NEM), Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) baru-baru ini melancarkan Program MSC Malaysia IP Connect, yang membolehkan universiti tempatan dan institusi-institusi penyelidikan bekerjasama dengan syarikat-syarikat berstatus MSC Malaysia.

Malaysia IP Connect merupakan sebuah daripada inisiatif MDeC untuk menggalakkan usaha menukar IP yang diwujudkan oleh institusi pengajian tinggi tempatan serta institusi-institusi penyelidikan kepada sumber kewangan.

Ini dapat dicapai dengan menyediakan peluang bagi syarikat-syarikat dengan status MSC Malaysia untuk memperoleh hak bagi meneroka dan menjadikan IP ini sebagai aplikasi komersil inovatif.

"Program MSC Malaysia IP Connect menyediakan kepada syarikat-syarikat dengan status MSC Malaysia peluang untuk mentransformasi harta intelek yang diwujudkan oleh universiti serta institusi penyelidikan tempatan kepada idea inovatif serta teknologi untuk meningkatkan produktiviti, dan akhirnya tingkatkan daya saing antarabangsa Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif MDeC Datuk Badlisham Ghazali (gambar) kepada Bernama.

Secara tradisi, syarikat-syarikat bergantung pada sumber dalaman masing-masing untuk mencipta, membangun dan menyampaikan produk-produk baru ke pasaran. Bagaimanapun, menerusi program MSC Malaysia IP Connect mereka boleh mencari dan membeli inovasi teknikal tersedia dan menerapkannya dalam pembangunan produk mereka.

"Ia membenarkan syarikat-syarikat dengan status MSC Malaysia untuk mengakses serta menilai pengetahuan teknikal dan mengubahnya menjadi aplikasi yang menambah baik dan meningkatkan amalan perkilangan," tambah Badlisham.

PENGKOMERSILAN SERTA EKSPLOITASI MAKSIMUM IP

Nilai IP menjadi maksimum apabila ia diekspolitasi dalam sebanyak cara yang mungkin.

Hak IP boleh diperuntuk, dilesen dan dieksploitasi secara strategik melalui pegangan ekuiti atau usahasama dengan pihak ketiga untuk mengambil kesempatan daripada eksklusiviti sebagai balasan kepada royalti.

Mana-mana pihak yang mahu mengkomersil IP harus menimbangkan segala pilihan yang ada dan menganalisa potensi kelemahan, kekuatan dan kewajaran setiap strategi. Setiap pilihan yang terdapat bagi menggunakannya harus dipertimbangkan, termasuk pilihan untuk memperluaskannya lagi.

Rakan-rakan kongsi harus mempunyai satu perjanjian formal terhadap hakmilik, hak untuk akses, royalti dan tanggungjawab dalam mengkomersilkannya sebelum mereka menurunkan tandatangan. Pemilik hak-hak ini boleh merelisasi nilai daripadanya dengan membuat dan menjual produk atau menawarkan perkhidmatan di bawah perlindungan IP.

"Dalam menggunakan IP milik institusi pengajian tinggi dan pusat-pusat penyelidikan, rakan yang berada dalam kedudukan terbaik dan paling mampu meraih nilai komersil harus menjadi pilihan untuk memastikan IP itu dapat direalisasi dengan sepenuh dan jayanya," kata Badlisham.

Di MSC Malaysia IP Connect programme, institusi-institusi seperti MIMOS Bhd, Malaysia Multimedia University (MMU), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Asia Pacific Institute of Information Technology (APIIT) menyumbang dan berkongsi maklumat akan lebih daripada 100 paten yang difail serta prototaip, bersama syarikat-syarikat dengan status MSC Malaysia.

Tujuan utama program MSC Malaysia IP Connect ialah untuk memastikan bahawa IP milik institusi-institusi ini digunakan sepenuhnya demi manfaat komersil syarikat-syarikat berstatus MSC Malaysia, yang akan menjana pendapatan bagi pemilik IP dan pelesen.

Selain daripada itu, aplikasi komersil IP yang dihargai oleh pasaran boleh membawa impak positif terhadap reputasi universiti atau institut penyelidikan terbabit.

MENDORONG TRANSFORMASI

Komponen-komponen utama bagi satu infrastruktur IP yang utuh adalah agensi serta institusi yang menggalakkan R&D dan bakat-bakat artistik, pembiayaan serta insentif kewangan untuk menggalakkan aktiviti kreatif, serta program untuk menggalakkan pembentukan minda kreatif dan semangat keusahawanan.

Dipertanggungjawab untuk memudahcara, membangun dan menggalakkan inisiatif MSC Malaysia, MDeC sejak 2004 memperkenalkan pelbagai program serta aktiviti IP yang berkaitan bagi syarikat-syarikat dengan status MSC Malaysia serta syarikat-syarikat ICT yang lain; yang bertujuan memangkinkan pembangunan dan pertumbuhan IP selaras dengan aspirasi kerajaan bagi negara meningkat maju dalam rantaian nilai kepada sebuah ekonomi yang berlandaskan inovasi.

Ini termasuk Skim Geran Penyelidikan & Pembangunan MSC Malaysia (MGS), Program Pembangunan Keupayaan MSC Malaysia(CDP), dan Program Latihan Penyelidik-Industri MSC Malaysia; kesemuanya sebahagian daripada Program Pembangunan Keupayaan IT MSC Malaysia (CDP IP).

Sehingga hari ini, lebih daripada 1600 syarikat telah mendapat manfaat melalui program-program ini.

MEMBENTUK SYARIKAT ICT BERTARAF DUNIA

MDeC berusaha bersama-sama dengan pelbagai pihak dan agensi kerajaan untuk menyediakan persekitaran pertumbuhan ideal bagi syarikat-syarikat dengan status MSC Malaysia untuk menggunakan potensi penuh teknologi ICT dan multimedia untuk berubah menjadi syarikat-syarikat ICT bertaraf dunia.

Sehingga September 2009, terdapat 2,436 syarikat dengan status MSC Malaysia yang bersama-sama menyediakan sejumlah 92,201 peluang pekerjaan, dan telah menjana lebih daripada RM21.75 bilion dalam hasil.

Sementara inisiatif MSC Malaysia menyediakan persekitaran pertumbuhan ideal bagi PKS ICT Malaysia untuk berubah kepada syarikat-syarikat ICT bertaraf dunia, MDeC merupakan pemacu yang mendorong transformasi ini.

Memandangkan maklumatbalas positif yang diterima daripada lebih 40 syarikat dengan status MSC Malaysia dan pusat-pusat penyelidikan yang mengambil bahagian dalam sesi perintis MSC Malaysia IP Connect, MDeC akan memperluaskan program ini ke wilayah-wilayah utara termasuk institusi pendidikan tinggi yang lain.

-- BERNAMA