KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi memberi jaminan tiada tindakan akan diambil terhadap mahasiswa yang memberikan pandangan kritis, termasuk mengkritik dasar kerajaan atau universiti, ketika berpidato di Sudut Pidato institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pandangan mahasiswa sekali pun berbeza dengan dasar harus dihormati kerana mereka mungkin ada pertimbangan dan rasional tersendiri dalam menilai suatu perkara atau isu.
Justeru, beliau mengingatkan pihak universiti tidak bersikap terlalu `keras’ dalam membuka peluang berpidato itu dan jangan sewenang-wenang mengenakan tindakan tata tertib serta melabel mahasiswa yang meluahkan pandangan berbeza sebagai golongan berhaluan kiri mahu pun antikerajaan.

“Saya memberi jaminan pihak universiti tidak akan, malah mereka tidak sepatutnya mengambil tindakan, selagi mahasiswa yang berpidato tiada melakukan perbuatan menghasut yang jelas melanggar undang-undang.
“Kita mesti menghidupkan budaya berfikiran kritis di kampus, satu daripada tujuh kemahiran insaniah yang penting untuk dikuasai oleh mahasiswa sebagai pemimpin pelapis,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Akhbar semalam melaporkan kebimbangan dikenakan tindakan oleh pihak universiti dan tidak berminat berpidato adalah antara sebab Sudut Pidato di IPTA mendapat sambutan dingin mahasiswa.
Perkara itu didedahkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mendakwa pihak Hal-Ehwal Pelajar (HEP) IPTA juga akan menganggap mahasiswa yang berpidato isu sensitif sebagai penyokong pembangkang.
Dalam konteks ini, Saifuddin turut menasihatkan pihak universiti tidak mengenakan pelbagai syarat yang boleh menyebabkan mahasiswa berasa dikekang untuk berpidato.
Sebagai contoh, beliau berkata, universiti tertentu mensyaratkan mahasiswa mendaftar diri, malah ada yang meminta teks ucapan untuk tujuan saringan, sebelum mereka dibenar menggunakan Sudut Pidato.
“Semua ini tidak perlu, sebaliknya pihak universiti harus memberi sedikit kepercayaan bahawa mahasiswa akan bertanggungjawab (ketika berpidato).
Mahasiswa boleh mengeluarkan pandangan berbeza dan pendapat mereka itu boleh dibalas balik oleh mahasiswa lain yang tidak bersetuju melalui pentas Sudut Pidato,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian tidak berhasrat untuk mengeluarkan pekeliling khusus atau mengadakan perjumpaan khas dengan IPTA sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan mahasiswa dan pentadbir universiti selaras kuasa autonomi yang diberikan.
BH Online