Selasa, Mei 18, 2010

Mengenang 40 Tahun Penubuhan UKM : Usaha UKM capai visi 2018


UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) yang lahir 40 tahun lalu kini penuh azam menuju visi 2018 untuk menjadi salah satu daripada 50 universiti paling terkemuka di seluruh dunia.

Bilangan alumninya telah pun meningkat sehingga 124,000. Antara mereka ialah hampir 5,000 dari Indonesia, iaitu lebih 60 peratus daripada jumlah alumni antarabangsa.

Demikian antara catatan beberapa terbitan UKM termasuk yang terbaru, Senadi bagi golongan alumni. Sebelumnya ialah Senada, buletin bulanan dan Resonance, buletin antarabangsa.

Isu pertama Senadi dilancarkan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan, salah seorang alumni UKM dan dahulunya begitu aktif dalam pelbagai kegiatan persatuan pelajar bersama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Editor akhbar Star.

Laporan utama dalam isu pertama Senadi ialah pelancaran Alumni UKM Cabang Indonesia (AUKMCI) yang dirasmikan oleh Naib Canselor Tan Sri Dato Dr. Sharifah Hapsah, di Jakarta pada awal bulan April 2009.

Peristiwa bersejarah itu disaksikan oleh wakil-wakil dari UKM, kira-kira 180 alumni dari Indonesia, Profesor Dr. Kusnaka Adminhardje wakil para profesor dari Indonesia.

Memberi keterangan mengenai peranannya ialah Prof. Dr. Kamaruddin M. Said, pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, juga Ketua Penerbit UKM. Bukan "Alumni Dana," beliau segera menjelaskan lalu menyambung: "Saya belum bersedia berimaginasi bahawa AUKMCI ialah sebuah alumni dana, yang mindanya akan terfokus kepada peranan kewangan untuk membantu alma mater. Perkara ini akan terjadi juga, tetapi bukan sekarang, kerana ia akan mengambil waktu yang agak panjang."

Ia berkemungkinan besar memainkan peranan yang lebih besar di luar daripada lingkungan kewangan, tetapi lebih terfokus kepada bidang akademik dan keilmuan yang luas. Ini ialah alumni keilmuan, khusus untuk membantu memantapkan keilmuan Nusantara. Warga alumni kini ialah warga akademik yang sedang mencurahkan bukti keilmuan di seluruh Republik Indonesia.

GENERASI MUDA

Menurutnya AUKMCI bersifat "alumni mentor" yang boleh memberi bimbingan strategik kepada "generasi pelapis atau generasi muda yang ingin melanjutkan pengajian tinggi ke UKM khususnya atau ke Malaysia umumnya.

UKM kini salah sebuah daripada empat universiti yang telah diangkat menjadi "universiti penyelidikan" di Malaysia. Prof. Kamaruddin menyebut betapa pada majlis Konvokesyen 2008 sejumlah 7,251 graduan menerima ijazah dan diploma, termasuk 188 orang yang menerima ijazah Ph.D.

"Tahun 2008 ialah tahun yang mencatatkan bilangan graduan Ph.D yang tertinggi, bukan sahaja dalam sejarah UKM, bahkan juga dalam sejarah pengajian tinggi di Malaysia.

Bilangan pelajar Indonesia yang telah lulus dan mendapat ijazah sarjana dan Ph.D daripada UKM sudah agak besar bilangannya kini. Inilah anggota alumni yang akan memainkan peranan membangun sebuah alumni keilmuan bagi Nusantara.

AUKMCI ialah sebuah organisasi yang mewakili 220 juta rakyat Indonesia yang terdiri daripada kira-kira 300 kumpulan etnik dan 700 kumpulan dialek dan tersebar di 11,000 pulau yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan biodiversitinya".

Prof. Kamaruddin mengulangi saranan supaya diterbitkan Jurnal Dunia Nusantara (The World of Nusantara) dalam tiga bahasa (bahasa Indonesia, Melayu dan Inggeris) lalu menambah: "Nusantara ialah wilayah dunia rumpun Melayu, iaitu Melayu dengan pengertian cukup luas, termasuk kesemua suku bangsanya".Dalam pada itu diingatkan mengenai pengalaman sejarah sosial Nusantara "tidak terlepas daripada ancaman konflik". Kerana itu alumni UKM dapat melaksanakan peranan penting dalam usaha cuba memahami punca konflik dan mencari jalan penyelesaiannya.


SUMBER : Utusan-Online