Jumaat, Mei 14, 2010

13 Mei : Hapus Entiti Perkauman Sempit

KUALA LUMPUR : Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang mewakili seluruh mahasiswa di malaysia menolak mana-mana pihak yang cuba menggunakan agenda perkauman untuk mencetuskan sesuatu yang boleh menggugat keamanan dan keadilan di Malaysia.

"Cukuplah pengalaman pahit dan hitam yang berlaku pada 13 Mei 1969 menjadi pengajaran dan pedoman buat seluruh rakyat Malaysia.

"Jangan ada segelintir pihak yang cuba dan berusaha mengeruhkan semangat muhibbah di antara kaum di Malaysia ini," tegas Setiausaha SMM Mohd Ridzuan Bin Othman dalam kenyataan medianya kepada erapakatan.com.

Bagi beliau, keamanan yang wujud ketika ini perlu diteruskan dan dijaga agar bentuk-bentuk perkauman tidak akan dicanang dan merosakkan semangat antara kaum di Malaysia.

Beliau yang mewakili Mahasiswa berpendapat 13 Mei haruslah dibiarkan menjadi sejarah di dalam benak sanubari setiap masyarakat Malaysia dan memastikan bahawa tidak akan berlakunya peristiwa sebegitu lagi pada masa akan datang.

"Segala anasir-anasir perkaumanan yang wujud akan ditolak sekeras-kerasnya oleh Mahasiswa," tegas beliau lagi.

Menurut Ridzuan, biarlah masyarakat Malaysia hidup bertoleransi di dalam segala aspek di dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

"SMM juga ingin menegaskan bahawa segala bentuk politik yang berentitikan perkauman akan ditolak oleh mahasiswa kerana ini bukan sahaja membawa kepada kesatuan bangsa semata-mata bahkan akan menjarakkan lagi jurang di antara kaum di Malaysia ini," kata beliau