Selasa, Mei 18, 2010

Pertemuan MPP bersama TNC HEPA

UKM Bangi, 18 Mei 2010 : Satu pertemuan telah diadakan antara MPP Mahasiswa bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal pelajar dan Alumni(HEPA) UKM, YBhg Profesor Dato’ Dr Mohamad Razak yang bertempat di pejabat TNC HEPA, Aras 5 Bangunan Canselori UKM.

Pertemuan ini bertujuan membincangkan isu-isu kebajikan pelajar yang memerlukan perhatian segera. MPP yang terlibat adalah MPP Umum saudari Nabilah bt Mohamad Maiyidin, MPP Fakulti Pendidikan saudara Wan Ahmad Fahmi bin Wan Abdul Hamed dan MPP FSKB saudari Nur Ili bt Mohamad Tarmizi .

Dari kiri : MPP Nabilah, MPP Ili, Prof Dr Mohamad dan MPP Fahmi

Antara isu utama yang diketengahkan adalah berkenaan isu penempatan kolej kediaman apabila berdasarkan data maklumat yang dikumpulkan, didapati ramai pelajar yang bergiat aktif di kolej masing-masing tidak mendapat penempatan mereka di kolej kediaman asal pelajar. Dalam kesempatan ini MPP Mahasiswa telah menyerahkan satu kertas kerja yang mengandungi lenarai lengkap berkenaan dengan pelajar aktif tetapi dibuang daripada kolej asal mereka di samping senarai nama pelajar yang mendapat merit rendah dan ada juga markah kosong tetapi mendapat tempat di kolej-kolej yang dipohon tertentu seperti kolej Ibrahim Yaacob dan Kolej Ibu Zain.

Berdasarkan itu MPP Mahasiswa menuntut supaya diletakkan satu 'standard' atau piawaian yang terperinci bagi seseorang pelajar bagi melayakkan seseorang pelajar untuk menduduki kolej yang dipohon bukan berdasarkan kepada budi bicara pengetua dan pengurus kolej semata-mata di samping piawaian itu mesti diselaraskan pada setap kolej kediaman.


Selain itu MPP Mahasiswa berjaya mendapatkan penjelasan berkenaan perlaksanaan Sistem Penilaian Kompentasi Generik (SPKG) yang menjadi kontroversi di kalangan mahasiswa sejak dikuatkuasakan secara rasmi pada tahun 2008 yang jelas terdapat kelemahan dalam perlaksanaan dan pemantauan sistem tersebut. YBhg Prof. menjelaskan bahawa pihak pengurusan hal ehwal pelajar masih dalam kajian semula untuk penambahbaikkan sistem tersebut .Justeru para mahasiswa tidak perlu risau tentang sistem yang dijalankan.

Dalam kesempatan pertemuan ini, dibangkitkan juga isu yang berlaku di peringkat fakulti seperti isu penempatan pelajar fakulti Pendidikan, kemudahan -kemudahan dewan kuliah pelajar di fakulti Perubatan dan masalah pendaftaran awal kursus mahasiswa fakulti Pendidikan.

Berkenaan dengan masalah pendaftaran kursus pelajar di fakulti Pendidikan terutama pelajar yang mengambil Pendidikan Khas, Sains dan Pendidikan Islam yang mana berlaku pertindihan masa kuliah bagi kursus wajib fakulti dan wajib major yang perlu diambil oleh pelajar pada semester yang sama. Keadaan ini diburukkan lagi apabila kursus yang diambil berlaku pertidihan masa tersebut seperti kursus yang ditawarkan oleh fakulti-fakulti lain seperti Fakulti Sains dan Teknologi dan Fakulti Pengajian Islam yang memerlukan kepada penyelarasan antara kedua-dua pihak . Prof Dato’ memberi jaminan perkara ini akan dibawa kepada mesyuarat bersama dekan-dekan fakulti bagi menangani masalah yang berlaku.


Bagi MPP FSKB Saudari Ili, isu-isu yang dibawa menjurus kepada permohonan ATM Bank Islam di Kampus KL, isu bayaran tinggi di Plaza Rah dan penaiktarafan dewan kuliah di kampus KL. Menyentuh mengenai isu ATM Bank Islam di kampus KL yang telah pun berlarutan dalam masa setahun, YBhg Prof. sedia maklum akan hal ini. Beliau memahami masalah kesulitan pelajar untuk ke Bank Islam yang terletak jauh dari kampus. Malah beliau memberi jaminan bahawa pihak universiti sedang berusaha menyelesaikan masalah tersebut dalam jangkamasa setahun.

Berhubung isu bayaran yang tinggi di Plaza Rah pula, YBhg Prof. memaklumkan pihak UKM telah berunding dengan pemilik Plaza Rah bagi menurunkan bayaran bagi pelajar UKM, namun penurunan bayaran tidak dapat dilakukan atas sebab-sebab tertentu. Subsidi juga tidak dapat diberikan kerana pihak universiti mengalami masalah kurang peruntukan kewangan.

Setelah sekian lama, dewan kuliah di kampus KL memerlukan proses penaiktarafan seiring dengan peningkatan prestasi UKM terutamanya bagi para pensyarah dan Pelajar Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi yang menggunakan dewan kuliah tersebut. Penaiktarafan dewan-dewan kuliah ini adalah perlu kerana kampus KL sering menerima kunjungan daripada pelawat-pelawat luar dan pensyarah dari luar negara dan bagi memberikan keselesaan dan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar kampus KL. Justeru MPP Mahasiswa kampus KL akan mengambil inisiatif menyiapkan kertas kerja bagi permohonan penaiktarafan dewan kuliah ini dan menyampaikannya terus kepada pihak TNC HEPA bagi tindakan selanjutnya.

Selain daripada isu-isu kebajikan, perbincangan turut berfokus kepada isu-isu semasa berhubung universiti seperti kejatuhan UKM dalam dalam 2010 QS Asian University Ranking (AUR) dan peranan pelajar UKM dalam menyumbang kepada UKM dalam terma universiti penyelidikan.

Akhir kalam setinggi-tinggi penghargaan kepada
YBhg Prof. Dato' Dr Mohammad kerana meluangkan masa bagi membincangkan isu-isu kebajikan kritikal pelajar dan amatlah diharapkan semoga jalan penyelesaian dapat diambil segera bagi mengatasi masalah-masalah yang telah diutarakan.

Suara anda keutamaan kami