Ahad, April 03, 2011

VIOS Beri Manfaat Kepada Mahasiswa


Bangi, 3 April - Program View Of Success (VIOS) anjuran MPM FST Tahun 3,  Nor Amalina Sazali dengan kerjasama PMFST berjalan dengan baik di bilik Aktiviti Pelajar, PMFST semalam pada jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang dengan peserta berjumlah 48 orang. Objektif program ini diadakan adalah untuk mempersiapkan diri mahasiswa tahun akhir ke alam pekerjaan.

VIOS menampilkan Encik Md Hatta Bin Md Jauhar, Penolong Pengarah Tenaga Kerja, Pusat Jobs Malaysia, Cyberjaya yang mengendalikan 2 buah slot iaitu slot penulisan resume dan slot temuduga. En Hatta menyambut baik jemputan ini dan berharap lebih banyak program seperti ini diadakan lagi.

Dalam slot resume, En Hatta menekankan tentang penulisan resume yang menarik hati para penemuduga. Katanya, bahagian paling penting adalah 'extra curriculum activity' yang mampu membezakan antara seorang calon dengan calon yang lain. Calon yang mempunyai skil kepimpinan akan dipilih terlebih dahulu kerana calon inilah yang boleh memberikan millage yang baik kepada syarikat sebagai frontliner

Kesinambungan dari penulisan resume, En Hatta menerangkan ketika slot kedua bahawa penemuduga boleh membaca personaliti sebenar calon dengan soalan-soalan yang tersirat bagi menilai tahap emosi calon. Cara menjawab dan personaliti diri yang sebenar ada ditunjukkan dalam slot ini. Beliau turut menerangkan cara memohon pekerjaan dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

Perasmian penutup dihadiri oleh Presiden PMUKM, Saudara Ahmad Muzzammil dan Timbalan Presiden, Saudara Mohd Abdullah.