Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) ingin menarik perhatian umum berkenaan jumlah yang membimbangkan rakyat Malaysia yang membunuh diri sehingga tahun lalu , berdasarkan laporan kepada Dewan Negara oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika menjawab soalan tambahan Senator Usha Nandhini di Dewan Negara semalam.
Saudara Ezuan Saad selaku Setiausaha Agung PMUKM ketika mengulas isu ini berpandangan 'trend' membunuh diri sewajibnya diambil berat oleh pihak kerajaan melalui agensi-agensi yang berkuasa. Isu bunuh diri ini tidak seharusnya dipandang enteng dan diklasifikasikan sebagai kes terpencil, kerana menurut beliau, jumlah individu yang melebihi 700 orang tersebut menunjukkan 'ada sesuatu tidak kena' dengan sistem sosial di Malaysia.
" Daripada laporan yang dibentang dan dilaporkan di televisyen, Datuk Rosnah (Timbalan Menteri Kesihatan) semalam yang sempat saya ikuti, menunjukkan kecenderungan membunuh diri ini banyak disebabkan faktor sosio-ekonomi; seperti masalah pekerjaan, keluarga, dan tidak kurang masalah gagal dalam akademik.
" Tidak timbul isu bangsa mana yang 'mendominasi' trend membunuh diri. (Malah) pandangan saya, adalah tidak sopan mengelaskan 'trend' ini (membunuh diri) ini mengikut komposisi bangsa. Isu (membunuh diri) ini adalah masalah negara. (Justeru) apa yang lebih penting dibincangkan adalah mekanismenya, bagaimana ingin mengatasi atau sekurang-kurangnya mengurangkan kadar tersebut.
" Sebagai mahasiswa, kita melihat (isu bunuh diri) ini amat membimbangkan. Kita melihat ada perlunya kita merujuk kembali kepada faktor utama (yang menyebabkan) hal ini berlaku, " komen saudara Ezuan.
Saudari Aida Rahayu binti Mohd Badri selaku Pengerusi Biro Informasi & Penerangan PMUKM ketika mengulas pula berkata;
" Dengan kadar inflasi yang tinggi, menyebabkan institusi keluarga (mula) keberantakan apabila si suami-isteri terpaksa pulang lewat (kerana) 'overtime' menyebabkan ahli-ahli keluarga (anak-anak) mula putus hubungan. Rasa terbiar dan kurang perhatian (bagi anak-anak) di samping pengaruh kawan-kawan menyebabkan (mula) menyebabkan berlakunya masalah ponteng, lalu akademik mula menurun. Dan ini berterusan (sehingga) terbawa-bawa kepada penyelesaian yang kurang matang seperti (gejala) menghisap dadah, meragut dan lain-lain.
" Ada pula di kalangan (individu) profesional yang walaupun sudah mempunyai kerjaya yang stabil di pejabat-pejabat, tetapi turut mengalami masalah tekanan di tempat kerja disebabkan tekanan oleh bos (ketua) dan rakan-rakan sekerja. Apabila masalah tekanan ini gagal dikendalikan (dengan baik), (maka) berlaku masalah sosial yang teruk, (lalu) membawa kepada penagihan dadah dan alkohol dengan mereka gemar menghabiskan di tempat-tempat hiburan; yang kita ketahui tiada manfaatnya.
" Itu antara salah satu daripada 1001 kisah benar yang berlaku di luar sana; khususnya bagi masyarakat bandar seperti kita. Langkah mengatasinya akan jelas apabila kita jujur melihat faktor-faktor yang menyebabkannya, " ulas panjang MPM Aida.
" Maka kita di PMUKM mencadangkan kepada pihak kerajaan agar isu (bunuh diri) ini bukan sahaja difikirkan pihak Kementerian Kesihatan sahaja tetapi turut melibatkan kementerian-kementerian yang lain.
" Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat sebagai contoh, melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) perlu segera memperkenalkan polisi-polisi yang mesra membina keluarga. Institut Sosial Malaysia dibawah kementerian ini juga perlu melakukan kerja-kerja penyelidikan yang serius berkenaan perkara ini dan kemudian digunapakai oleh agensi-agensi perlaksana yang lain.
" Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi Malaysia pula dicadangkan menggabungkan tenaga pakar (untuk) membentuk modul dan sistem pendidikan yang komprehensif dan bermakna serta tidak terlalu 'exam-oriented' yang kita ketahui di akhirnya sekadar melahirkan rakyat yang pandai di dalam akademik, tetapi kosong di dalam 'survival' hidup mereka.
" Dalam pada itu, langkah kerajaan yang membangunkan Pelan Strategik Kebangsaan Pencegahan Bunuh Diri dan rawatan susulan bagi pesakit mental klinik-klinik kesihatan seluruh negara seperti yang disebut dalam laporan semalam; kita puji kerana inisiatif ini dilihat mampu mengurangkan jumlah pesakit-pesakit mental di Malaysia.
" Tetapi apa yang lebih bermakna buat kita sebagai rakyat Malaysia ingin lihat adalah usaha-usaha dan langkah-langkah untuk mengatasinya, dan usaha tersebut perlu membumi (praktikal). Justeru, kami selaku mahasiswa UKM kita ingin mencadangkan pihak kerajaan memaksiumkan pengupayaaan agensi-agensi kerajaan sepenuhnya; jangankan sudah terhantuk, baru ingin terngadah, " tambah saudari Aida lagi.
Mengikut rekod Daftar Statistik Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia bagi tempoh tiga tahun sejak 2007-2010, seramai 731 individu dilaporkan telah membunuh diri di negara ini dan daripada angka itu membabitkan 545 lelaki dan 186 wanita,dan menunjukkan 321 kes membabitkan pasangan berkahwin, 29 bercerai, 34 balu dan 298 kes golongan bujang.
Menurut Laporan Kabinet kepada Dewan Negara itu semalam, gejala bunuh diri di kalangan rakyat Malaysia tersebut berlaku akibat beberapa penyebab yang berkait seperti faktor biologi, genetik, psikologi, sosioekonomi, budaya dan persekitaran dengan faktor kemiskinan, tiada pekerjaan, kegagalan akademik, hutang dan putus hubungan romantik juga menyumbang kepada kejadian itu. Gangguan untuk bunuh diri atau psikiatri seperti kemurungan, skizofrenia, penyalahgunaan substans dan alkohol dan gangguan personaliti juga boleh mendorong kepada perlakuan bunuh diri.